Taman Pengetahuan extract
bibliographical notes on Editorials in Malay Newspapers
index of Editorials in Malay Newspapers extracts
    • locate in index of extracts taken from Editorials in Malay Newspapers

 

Taman Pengetahuan, 1 Jun 1904

Editorial.

Bahawa dengan kudrat Tuhan rabbal-`alamin dan syafa`at saiyidul-mursalin dan berkat do`a sekalian Muslimin kemudian daripada beberapa menanggung Hai Hui dan percintaan yang ter-tatih2 dikarangan waswas dan sangka yang beralun di lautan syak dan zan maka beberibu syukurlah kita ke hadhrat kadhi al-hajat kerana telah luputlah percintaan yang tersebut itu sebab sangat diminta oleh tuan2 terutama di selat ini mengeluarkan suatu akhbar. Maka bersetujuanlah ikhtiar itu dengan fikiran kita kerana kita lihat dalam England sahaja banyaknya akhbar Inggeris 4,800 dan dalam negeri2 ta`aluk kepada Inggeris 1,800 dan akhbar bahasa Inggeris di dalam Amerika Eropah Cina dan Jepun 2,000. Jumlah akhbar Inggeris yang bernama2 sahaja di dalam dunia ini 9,100. Maka oleh yang demikian dengan beberapa usaha dan belanja kita mengadakan sebuah taman ini Insha´ Allah Ta`ala lambat laun dapatlah barangkali digelarkan dia Bustanul-Ariffin. Akan tetapi darihal kita namai akan dia Taman Pengetahuan. Bukannya murid pengetahuan itu di sini kepandaian iaitu kehendak kita sekadar memberitahu.

Shahadan sungguh pun kita perbuat taman itu dengan pengharapan segala tuan2 kelak menghiasi akan dia dengan pelbagai jambangan serta bunga2an yang harum semerbak ke mana2 baunya supaya banyak kumbang datang menyeri dia ya`ani kita minta belas kasihan tuan2 pada hal menolongi kita mendirikan syarat kita menyempurnakan kemegahan Melayu kita serta diharapkan bantuan tuan2 dalam pekerjaan ini kerana jika cukup kita beroleh bantuan daripada tuan2 tiada pula banyak harganya suatu akhbar dalam enam bulan $3.00 dan setahun $5.00 tetapi dipinta mendahulukan bayarannya itu. Ada puri akhbar ini kelak dicuba keluarkan seJuma`at sekali dahulu dan kalau baik jalannya baharulah dikeluarkan dua atau tiga kali seJuma`at sebesar contohnya ini ((delapan muka)) dan kesah dan isinya pun seperti contohnya ini juga iaitu bergambar dan diisikan dengan perkhabaran

1. negeri asing

2. khabaran jajahan Islam dan Tanah Melayu

3. khabar perang

4. harga barang2 dagangan

5. khabar kapal2 yang keluar masuk serta muatannya

6. tukaran wang

7. sedialah kita kelak menerima dengan bayaran yang amat murah segala jenis i`lan fasal jual beli dan sebagainya.

Al-maddu, ada pun pekerjaan ini pada fikiran kita teramat besar tiada rupa bagi kita menanggung dia kalau tidak dengan pertolongan tuan2 sekalian mustahillah boleh menjadi pekerjaan yang sebesar ini kerana kita ketahui dengan sehabis2 pengetahuan beberapa akhbar yang telah hilang di sini seperti Syamsul Kamar, Nujumul Fajar dan Sekola Melayu melainkan yang kita tahu, bahawa Jawi Peranakan. Itulah suatu akhbar yang telah berdiri 11 tahun lamanya. ((Terkhilaf gerangan tuan pengarang ini mengatakan akhbar Jawi Peranakan itu berdiri 11 tahun lamanya pada hal akhbar ini masa berumur 17 tahun masih tegap dan sihat lagi. - Lihat rencana pengarang Jawi Peranakan itu yang telah disalinkan dahulu)). Maka bukanlah di sini sahaja bahkan di Pulau Pinang dan di Perak pun telah jadi beberapa akhbar tetapi sekaliannya itu mati. Muda belaka melainkan sekarang ini ada suatu akhbar bernama Cahaya Pulau Pinang. Itulah kita lihat bercahaya2 menyuluhi seluruh jajahan selat ini terang benderang nampaknya laksana pernama raya. Maka haraplah kita dengan sepenuh2 pengharapan kekal kasar kiranya akhbar itu supaya jadi kapit kita kelak. Maka apabila kita teringat akan akhbar2 yang telah mati itu gementarlah rasanya tulang sendi anggota kita sehingga berbangkit demam seluruh tubuh kita waktu hendak menghela kalam menyuratkan alam Taman Pengetahuan, ini kerana dipalu oleh sering berdebar2 takut kalau2 siapa tahu menjadi kelak seperti akhbar yang tersebut itu tiada kasar, tetapi haraplah kita diperhubungkan pertolongan tuan2 ke atas Taman Pengetahuan ini supaya kekal kasar ia selama2nya.

Akhirul-kalam kita mendahulukan do`a kita:

Illahi berilah hambaMu ini

Luputlah kalam di hati yang seni

Saki wai beri syarbat arphani

Ayohai sekalian encik dan tuan

Terima-kasih wai bangsawan

Tolongi kita akan ketahuan

Taman Pengetahuan dapat mengawan

Mengawan pada tangan bangsawan

Terus mesra ke hati gunawan

Wa'llah kelak mabuk cendawan

Taman Pengetahuan empunya guruan

Jika beradu sedang nyedar

Taman Pengetahuan datang beredar

Datang mengulit memberi sedar

Membawa khabar sekalian bandar

Bangunlah kelak tuan pendeta

Taman Pengetahuan disambut serta

Tertinggallah kelak peraduan geta

Demikianlah hikmat akhbar fa`etah*.