malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 16 Nov 1939
Editorial.
Sesungguhnya pada pagi ini kita dengan hati yang tawadhu` dan tulus ikhlas mengucapkan syukur ke hadzrat Tuhan rabul `alamin yang telah menyempurnakan cita2 yang tersangat2 dihajati iaitu membina pergerakan akhbar Majlis daripada keluarannya tiga kali seminggu kepada keluaran hari2 maka mulai daripada hari ini menjadilah khabar Majlis sebuah akhbar hari2 yang tunggal diterbitkan di kepala Negeri Persekutuan yang berhaluan berkhidmat kepada bangsa dan tanah air Melayu dan ugama ta`at setia kepada raja kerajaan.
Ada pun akhbar Majlis ini sudah diterbitkan pada 17 September 1931 hari Khamis iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu pengarangnya Tuan Haji Abdul Rahim Kajai pengarang Utusan Melayu pada masa ini. Maka berbetulan pada hari Khamis 16 November 1939 sampailah satu peredaran di Kuala Lumpur kepada satu perubahan lagi berhubung dengan alam pengeluaran surat khabar iaitu Kuala Lumpur jolong2 kali mendapat surat khabar harian yang akan membawa berita2 "Reuter" perkhabaran2 luar negeri dan dalam negeri dan lain2 mengikut keadaan surat2 khabar zaman ini.
Sanya bolehlah diaku pergerakan Majlis telah berjalan mengikut peredaran bangsanya yang telah nyata daripada semasa ke semasa beransur2 jaya dan sedar akan perdiriannya pada masa ini.
Maka sekali lagi kita mengulang akan seruan Majlis sembilan tahun yang lalu menyerukan kaumnya supaya bekerjasama2 kerana bangsa dan tanah air dan hari ini kita telah memulakan pekerjaan bersama2 kerana watan dan bangsa maka marilah kita rapatkan bagi "Ikatan kebangsaan kita itu hingga bangsa kita menjadi suatu bangsa iaitu bangsa yang hidup mempunyai watan dan darjah yang sama." Sanya lebih dua million orang2 kita di Tanah Melayu. Lebeh 60 million lagi orang2 kita Melayu di seluruh Gugusan Pulau2 Melayu dan lebih dua million orang2 kita yang merantau di India, Ceylon, Afrika Selatan, Cina, Jepun, Siam dan lainnya. Maka nyatalah bangsa kita Melayu tidak kurang daripada 65 million jiwa maka nyatalah kita suatu bangsa yang ramai tetapi oleh lemah semangat kebangsaan, lemah pengalaman, lemah di atas serba serbinya bangsa Melayu telah menjadi satu bangsa yang corot dan berpecah belah kerana kebanyakan orang2 kita hanyalah berkasih kepada puak2 tidaklah kasih kepada bangsa-akan tetapi mulai sekarang orang2 kita telah memulakan ikatan kasih kepada bangsa oleh itu dipercayai 65 million bangsa Melayu akan bangun, iaitu bangun sebagai suatu bangsa yang mempunyai tamaddun dan kesopanan sekurang2nya akan menjadi satu bangsa yang hidup di selatan Benua Asia hidup dengan tanah airnya. Maka bagitulah akhbar "Majlis" telah zahir semenjak sembilan tahun yang lalu hingga berubah kepada keluaran hari2 pada hari ini ialah akhbar kebangsaan Melayu Majlis menyusun jari mengadap kepada khasnya dua million orang2 Melayu di Malaya amnya kepada 65 million orang2 Melayu di Gugusan Pulau2 Melayu dan diseluruh dunia menyerukan supaya merapatkan lagi barisan kebangsaan kita. Bahawa Majlis sedia bekerja bahkan zahirnya Majlis ialah kerana bangsa dan tanah airnya. Maka Majlis tidaklah berubah tulisannya melainkan tetap dengan tujuannya yang awal ......
Bagi menutup makalah kita hari ini sesudah meletakkan harapan dan kepercayaan yang penuh kepada kemajuan bangsa dan tanah air Melayu maka sekali lagi mengucapkan sepenuh2 syukur ke hadzrat Tuhan yang Maha Kuasa diharapkan selamatlah cita2 kita iaitu "Selamatlah bangsa Melayu" adanya.
top |