Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 24 Nov 1932, p.5

Editorial.

Sir Samuel Wilson dengan Takhyul Bangsa Asing.

Semenjak sampai ke Tanah Melayu yang dimuliainya di Pulau Pinang pada 10 November yang lalu, Brigadier General Sir Samuel Wilson telah sibuk melawat dan meraikan jemputan segenap golongan, rasmi dan tidak rasmi.

Sebagai utusan dari Pejabat Menteri Jajahan Takluk Inggeris yang bermakna juga dari kerajaan yang maha tinggi di England, Sir Samuel Wilson telah dialu-alukan baru-baru ini di Perak oleh kaum Cina, India dan Ceylon, hinggakan kaum Chetty sama-sama sempat mengirim utusan berserta dengan surat-surat bukan sahaja fikiran di atas perubahan baru, tetapi ialah jua bersulam dengan permohonan meminta dan menyebut itu dan ini.

Sebenarnya segenap golongan boleh mendapat sepenuh-penuh kebebasan mengadap Sir Samuel Wilson; tetapi tentulah janggal jika disembahkan permohonan meminta lebih nasib, meminta pertimbangan atau meminta hak yang bersamaan dengan hak anak negeri, apalagi jika muafakat dan mengeja budi atau jasa sendiri membuka negeri ini.

Kita tidak cemburu dan tidak pula kita khuatir di atas bangsa asing kerana selamanya kita berkeyakinan bahwa kerajaan yang maha besar di England itu tidak sekali-kali akan mencuaikan amanah pertaruhan Raja-Raja kita yang tersimpan di dalam surat-surat perjanjian ((Treaty-Treaty)) yang tidak pernah disulitkan itu.

Kita hanya merasa kasihan kepada bangsa asing di sini, rupanya mereka sampai begitu gelap tak memilih tempat lagi di mana sahaja tidaklah mereka segan mengeja dan membaca-baca jasa sendiri supaya mendapat hak dan diakui sebagai anak negeri, rupanya mereka itu lupa atas apa Sir Samuel Wilson diutus datang ke Semenanjung.

Di Perak, Sir Samuel Wilson telah menerima utusan Cina dan India, apakah persembahan mereka? separuhnya mengandungi perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam urusan Tuan Yang Dihormati itu maka tidaklah hairan di dalam jawabnya Tuan Yang Dihormati itu berkata yang ia akan membentangkan perkara-perkara yang dihadapkan kepadanya itu di hadapan Tuan Yang Terutama High Commissioner.

Lain daripada perkara-perkara yang bukannya di atas itu Sir Samuel Wilson datang pihak Cina telah menyatakan kekhuatiran perdirian mereka pada masa yang akan datang, tetapi Sir Samuel berkata yang ia tidak mengetahui apakah sebabnya Cina khuatir pada masa yang akan datang.

Lebih jauh Sir Samuel Wilson telah berkata bahwa negeri ini adalah negeri Melayu maka semata-mata menurut tabiat ilmu bahwa orang-orang Melayu itu mendapat kelebihan hak.

Di Ipoh pula, Tuan yang dihormati itu telah menerangkan bahwa aturan yang akan didatangkan itu kelak bagi kemuslihatan dan kebajikan Semenanjung Tanah Melayu lain tidak.

Di kota ini, Sir Samuel Wilson telah menerangkan kepada wakil suratkhabar Malay Mail bahwa beberapa banyak perkara yang telah dibawa kehadapannya tidak kena-mengena dengan perubahan baru atau perkara membalikkan kuasa, tetapi hanya perkara-perkara yang ada di dalam urusan Tuan Yang Terutama High Commissioner.

Sebanyak di atas memadalah keterangan kita bahwa rupanya banyak juga di antara orang-orang di sini salah faham, mujur bukanlah dari orang-orang Melayu, jika orang-orang Melayu, tentulah kita akan diketawakan orang.

Lain daripada itu, Sir Samuel Wilson telah menerangkan bahwa ia akan membentangkan pendapatnya di hadapan Menteri Jajahan Takluk Inggeris di atas perkara-perkara yang ia telah diutus ke sini itu, dan bahwa keputusan itulah kelak yang akan dijalankan.

Tetapi Tuan yang dihormati itu tak dapat mengagak bilakah. Ia hanya dapat berkata bahwa pendapatnya itu akan dibentangkan pada 5 February 1933. Begitu juga Sir Samuel Wilson belum tahu adakah penyata yang akan diperbuatnya itu harus dibawa ke dalam Jemaah Menteri, serta berkehendak kepada kebenaran kerajaan Inggeris.

Kita berkeyakinan bahwa perkara membalikkan kuasa itu akan berjalan bagi kemuslihatan dan kebajikan Semenanjung dan semata-mata akan mengukuhkan perdirian Raja-Raja Melayu rakyatnya dan kerajaannya. Dan bukanlah kiranya oleh kerana hendak memberi hak tanah pusaka atau hak tanah sawah atau pun hak mendapat jawatan tinggi bagi bangsa asing itu.