Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 5 Dec 1932, p.3

General Article.

Kesedaran Orang-Orang Melayu Kampung.

Langkah Melayu Kuala Selangor.

Pembantu kita mewartakan bahwa sesuatu mesyuarat memikirkan kemuslihatan kampung telah diadakan di Pejabat Pegawai Jajahan Kuala Selangor pada 30 November yang lalu, diketuai oleh Pegawai Jajahan ((Tuan N.T. Newbold)), dihadiri oleh Penolong Pegawai Jajahan ((Encik Muhammad Yusuf)), Tuan-Tuan Simon, Fateh Akhir, Raja Roma dan kira-kira 30 orang di antara penghulu-penghulu jajahan di serata ketua-ketua kampung, mesyuarat yang demikian itu memang telah ditetapkan sebulan sekali di Kuala Selangor.

Di dalam Mesyuarat itu Penghulu Tanjung Karang ((Encik Abdul Manan)) telah mengesyorkan supaya dibangunkan syarikat kanak-kanak sekolah Melayu berternak ayam di dalam jajahan Kuala Selangor. Syarikat itu harus dibela dan dijaga oleh guru sekolah sendiri.

Modal syarikat itu amat sedikit. Tiap-tiap murid hanya bermodalkan seekor ibu ayam dari rumah masing-masing sedang ayam itu akan ditanda kepunyaan masing-masing, pada asal reban ayam itu akan dibangunkan berdekatan dengan rumah sekolah masing-masing di bawah tadbir gurunya.

Maksudnya ialah supaya menggalakkan anak-anak Melayu kepada suka membela ayam sedang keuntungan ayam atau telurnya akan dibahagi sama banyak di antara murid-murid sekolah itu pada masa tiap-tiap seseorang sambil berlatih ilmu membela ayam pula dan itulah sebenar-benar maksud.

Syor itu telah diterima baik dengan sekolah Kuala Selangor serta sekolah Tanjung Karang, akan memulakan syarikat itu. Barangkali inilah syarikat murid Sekolah Melayu yang pertama sekali di dalam Selangor.

Tuan Newbold ((Pegawai Jajahan)) sangat-sangat bergirang hati atas syor dan cita-cita ini. Tidak tersembunyi lagi bahwa Tuan Yang Berbahagia ini memang mengidam akan kemajuan Melayu bukannya di dalam perkara berternak ayam, tetapi telah terbukti bahwa Tuan Yang Dikasihi itu telah berpenat lelah menasihatkan orang-orang Melayu kampung di dalam perkara perniagaan kelapa kering, sawah bendang, sayur-sayuran dan bahwa pertujuan tanam-tanaman yang diadakan baru-baru ini adalah semata-mata usaha Tuan itu kepalanya supaya memberangsangkan hati orang-orang Melayu berkampung menerima nasihat-nasihat pegawai-pegawai kerajaan. Tidaklah hairan bahwa pertujuan yang begitu jaya di Kuala Selangor itu khas di antara orang-orang Melayu sahaja.

Oleh kerana Tuan itu sangat-sangat berharap kepada kemajuan Melayu, Tuan itu telah tampil akan menghantar Penghulu Tanjung Karang ((Encik Abdul Manan)) serta dengan Guru Besar Sekolah Melayu Tanjung Karang ((Encik Sulaiman)) ke Seremban, mendapatkan Tuan Barnes di sana supaya menuntut ilmu berternak ayam.

Tuan Pegawai Jajahan itu memang telah sedia berternak ayam supaya akan jadi contoh dan pencubaan di Kuala Selangor sudah mesyuarat itu Tuan itu telah mempersilakan Penghulu dan Guru Tanjung Karang melawat ayamnya.

Kesedaran Melayu Kalumpang, Ulu Selangor.

Pembantu kita mewartakan lagi bahwa di dalam suatu mesyuarat di sana, orang-orang kehidupan telah sebulat akan membuka jalan yang akan menyambungkan Kampung Sungai Manggis dengan jalan besar supaya menjadi kesenangan bagi penduduk-penduduk kampung itu membawa keluar dagangan mereka itu bukan sekadar itu sahaja, tetapi jalan yang akan dibuka sendiri itu akan menjadi sangat-sangat berguna bagi kanak-kanak kehidupan itu berulang-alik ke sekolah.

Rupanya setelah orang-orang Melayu di sana sedar bahwa pakatan bersama itu sangat-sangat berguna bagi perjalanan hidup di dunia tidaklah mereka lalai dari mengadakan mesyuarat yang akan memikirkan jalan bagi kemajuan kampung.

Kemajuan Kampung Sungai Manggis di Kalumpang itu bergantung kepada perhubungan kampung dengan jalan besar. Sekarang mereka telah tampil akan bekerja-kerjasama membuka jalan ini dan tidaklah pula mereka ingin hendak menanti-nanti rahim kerajaan sebagaimana kelakuan orang-orang Melayu di dalam masa-masa yang telah lalu.

Riwayat Batang Kali.

Di Batang Kali juga orang-orang Melayu tidak mahu ketinggalan; sebidang tanah di dalam mukim itu sangat molek dijadikan sawah, tetapi mustahil air tidak ada.

Di dalam masa yang telah lalu orang Melayu di sana berharap-harap akan rahim Tuhan sahaja, kalau-kalau boleh terentang sendiri sebuah tali air. Bukan sedikit doa yang telah dibaca mereka tetapi tenaga belum ada.

Baru-baru ini orang-orang kampung yang telah sedar itu telah mengadakan mesyuarat sama sendiri di dalam mesyuarat itu telah ditetapkan akan dibuka sesebuah tali air yang cukup mengairkan sawah yang akan dibuka itu. Mudah-mudahan Allah memberkati tenaga mereka.

Melayu Ulu Yam dengan sawahnya.

Sebagaimana diketahui bahwa tanah-tanah Melayu di Ulu Yam itu telah diserang oleh lumpur yang tersebab dari lombong-lombong kapal. Tanaman mereka selamanya di dalam bahaya.

Sekarang orang-orang Melayu di sana sedang berkira dengan bersatu hati hendak mendirikan mana penyakit serangan lumpur-lumpur itu supaya tanam-tanaman mereka dapat diselamatkan. Sebelum orang-orang Melayu di sana sedar kepada faedah bekerja untuk sekaum, belumlah cita-cita yang demikian itu pernah terlintas.

Di mana juga orang-orang kampung yang sedar kepada faedah bekerja berkaum-kaum, maka kampungnya akan bersemangat dan penghidupan ahli kampung itu akan dimurahkan Allah.