Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 26 Dec 1932, p.7

General Article.

Melayu Tak Boleh Maju.

Oleh Ibni.

Telah habislah kita menatap rencana Encik Lela Wangsa, Pahang, di dalam Suara Benar yang berkepalakan, Adakah Orang Melayu Boleh Maju?

Kita terlebih dahulu boleh menjawab, tidak!

Adapun sebab-sebabnya kita berkata tidak kerana seperti sambungan rencana yang di dalam S.B. bilangan 26 muka 2, katanya membaca suratkhabar lebih baik daripada mendengar pengajaran mulut. Di sini kita akan berfikir panjang, kerana berdukacita kita melihatkan orang-orang kita Melayu kerana jarang-jarang sangat yang suka pada membaca suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah itu. Bagaimana mana pula ia akan mendapat tau apa juga nasihat yang telah tersunting di dalam suratkhabar itu seperti kata Encik Lela Wangsa; ini ialah terlalu berguna kepada orang-orang yang suka membaca akhbar-akhbar dan majalah sahaja.

Dan tentulah orang yang di kampung kita Melayu tak akan mengambil endah walaupun terlolong-lolong dan terpekik-pekik pengajaran dan nasihat di dalam suratkhabar itu tentulah mereka akan menutup telinganya sahaja; dan selalu juga kita angan-angankan kepada Orang Melayu di kampung-kampung berkenaan segala pengajaran dan nasihat di dalam suratkhabar-suratkhabar nanti apa kedapatan jawab daripadanya.

Oh! Apa suratkhabar itu cakap sahaja apa tak senang. Jikalau betul kenapa dia tak boleh buat seperti itu tiada juga kita tengok orang yang suka membaca suratkhabar itu kaya. Inilah jawabnya yang sangat-sangat hairan kita memikirkan kerana belum juga terlintas oleh orang kita Melayu bagi jalan hendak berkemajuan. Hanya mereka suka duduk bergoyang-goyang kaki berbual kosong sahaja dari pagi membawa ke petang, membanyakkan bohong. Dan orang kita Melayu masih ada juga lagi menyimpan benih hasad dengki hati sama sendiri itu. Itulah fikiran yang sangat berguna setengah daripada setengahnya kampung-kampung kita Melayu, bagaimana kita hendak mengatakan Melayu boleh maju.

Dan lagi sebelum beberapa tahun Orang Melayu kita ditampar oleh angin meleset dan semenjak Semenanjung dirasuk oleh dunia suratkhabar, Orang Melayu kita baru merasai sedar akan dirinya jauh sangat ketinggalan daripada serba serbinya daripada bangsa yang telah bermaharaja-lela di Semenanjung ini.

Barulah Orang Melayu kita terpekik-pekik sama sendiri ke hulu ke hilir kerana membawakan untung nasibnya. Sebab kesedaran Orang Melayu sekarang ditampar angin meleset taulah ia akan hendak mencari kemajuannya Semenanjung yang telah dibiarkannya sebegitu lama, dan barulah hendak bertitih mempelajari ilmu berniaga dan bermacam-macam lagi tenaganya kerana perut hampir-hampir akan tak berisi. Dan mengadakan pula Pekan-Pekan Mingguan. Zaman dunia getah berkisar-kisar dahulu, kenapa Orang Melayu kita tak tau hendak membuka Pekan-Pekan Mingguan? Jikalau zaman itu dibuka Pekan-Pekan Mingguan, bukankah senang pada masa ini? Anak-anak Melayu dah tau ilmu berniaga kesemuanya.

Oh barangkali malu diketawakan katak bawah tempurung pula agaknya, kerana masa itu bergelar tauke.

Pada masa sekarang Pekan-Pekan Mingguan itu ada berjalan merata-rata Semenanjung; boleh dikatakan jaya juga merata-rata kampung di dalam daerah negeri Selangor yang terutamanya Pekan-Pekan Mingguan di Kampung Baru sampai beranak-anak pula menjadi Pasar Malam. Demikian juga dalam Negeri Sembilan terutama jajahan Rembaulah yang tersangat sibuk Pekan-Pekan Mingguan itu. Dijajahan Seremban jua kita kedengaran dahulu pada hari julung perbukaannya ialah di kampung Hulu Beranang.

Akan tetapi kita berdukacita kerana tidak mendengar apa-apa kemajuan pekan itu sampai hari ini. Di Kuala Pilah pun ada juga Pekan-Pekan Mingguan di situ. Khabarnya ada mempersisihkan juga bangsa Indonesia ((Minangkabau)) bercampur ke dalam Pekan-Pekan Mingguannya sampai telah jadi suatu bahana di dalam medan suratkhabar-suratkhabar sedikit hari dahulu; masa ini sudah senyap, bagus maju!!

Pada sangkaan kita, Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu sahaja yang telah mengadakan Pekan-Pekan Mingguan, rupanya Negeri Melaka pun tak mau ketinggalan juga daripada bersama-sama mengikut saudara-saudaranya yang di Rembau itu, mereka ada beria-ria hati juga berkehendakan kemajuan bagaimana yang telah diperbuat oleh rakannya di Rembau.

Sampai juga cita-cita mereka mengadakan tiga Pekan Mingguan telah didirikan di dalam jajahan Alor Gajah, iaitu termasuk Pengkalan Balak. Akan tetapi Pangkalan Balak hampir-hampir akan membawa balak yang besar menimpa kepada kemajuan Pasar Mingguannya.

Kerana kerap kali sangat kita telah tersua di medan suratkhabar mau pun Majlis dan Suara Benar bekenaan hal ehwal Pekan Mingguannya kerana mempersisihkan Melayu Indonesia ((Minangkabau)) dengan Melayu Semenanjung, amnya Melaka, masuk bercampur ke dalam Pekan-Pekan Mingguannya itu.

Dan lagi sepanjang-panjang pekerjaan rencana kita ini kepada Pekan-Pekan Mingguan kita akan menghala balik ke atas kepada kepala rencana kita ini mengatakan Melayu tak akan boleh maju. Di Pekan Mingguan Pengkalan Balak, kita telah dapat keterangan yang cukup boleh meneka Melayu tak maju kerana belum pun berapa jalan kemajuan Melayu, dah! Ada-ada sahaja yang membangkang megah bangsa Indonesia ini masuk bercampur. Apa orang Indonesia itu bukan Melayukah?

Sekiranya tidak berpuas hati soal asal mereka itu Encik Asmara telah cukup membentangkan keterangannya di medan Majlis sedikit minggu dahulu. Belumkah berpuas hati juga lagi. Maka Encik Tenaga dan Cabai Melaka terlolong-lolong sahaja lagi di medan Suara Benar.

Dan sekarang marilah pula kita berjalan-jalan pula ke pasar yang sudah memang sedia untuk semua bangsa berniaga di merata pekan di Semenanjung ini. Inikah sudah kita lihat bangsa kita Melayu masuk bercampur berniaga di situ yang telah dibuka sekalian lama, melainkan bangsa Cina sahaja yang kita tersua ((jumpa)) di dalam pasar itu?

Ada juga dicampuri oleh seorang berdua bangsa India dan tiada pula dijumpa di dalam pasar itu hendak memilih bangsanya hendak masuk berniaga ke dalam pasar itu, hanya terbuka kepada semua bangsanya, baik Hokkien, Teochew, Hakka, Hock Chew, Hailam, semua dipukul rata boleh masuk berniaga juga dan tiada pula bangsa Cina itu merunsingkan bangsa India yang sekumin itu melainkan bangsa mereka sahaja didapati jarang-jarang pergi membeli ke kedai bangsa India, terkecuali jika barang-barang yang dikehendakinya tiada di kedai bangsanya sendiri.

Sebab itulah bangsa mereka boleh berkemajuan subur hidupnya. Bagaimana hendak kita mengatakan Melayu boleh maju? Inilah saya ulangi dua tiga kali.

Dan lagi, apakah salahnya jika dibenarkan Melayu Indonesia itu masuk bercampur berniaga. Janganlah anak-anak jati Melaka khasnya Pengkalan Balak datang membeli ke tempat perniagaan mereka supaya basi ataupun berlapuk segala dagangannya. Tak gunalah tiga empat minggu dagangannya tak laku, hendak ditunggunya sahaja tidak dapat tiada ia sendiri tau akan dirinya tak payah Encik Cabai Melaka terpekik-pekik lagi. tentulah ia akan membongkar segala dagangannya balik ia ke Port Dickson atau Bukit Tinggi.

Dan di sini saya akan berharap juga kiranya Encik Cabai Melaka dan Encik Tenaga akan memberi nasihat kepada orang-orang dan rakan Encik keduanya. Jika ada orang Indonesia masih berniaga lagi di Pekan-Pekan Mingguan itu, jangan membeli apa-apa barang kepadanya supaya bangat ia balik ke Fort de Kock, tiada merunsingkan Melayu Semenanjung.

Had inilah sahaja disudahi dengan berbanyak-banyak maaf kepada Tuan-Tuan Pembaca kerana banyak yang janggal di dalam karangan ini. Al-maklumlah, sahaja saya bukan ahli pengarang. Dan disudahi dengan berbanyak-banyak menerima kasih ke hadrat Tuan Pengarang kerana sudi melapangkan ruangannya. Was-salam.

19.12.32. Bukit Timah, Singapura.