4.1 PENGENALAN

ingga abad ke-14 bahasa Melayu telah mengalami benturan dengan tiga bahasa yang besar, iaitu bahasa Sanskrit, bahasa Jawa, dan bahasa Arab. Tulisannya yang asal, iaitu huruf Rencong tersisih tetapi kosa katanya bertambah kaya.

Memang sudah ditakdirkan bahawa bahasa Melayu akan terus hidup. Walaupun tulisannya tidak dapat digunakan, timbul pula tulisan baru, iaitu tulisan Jawi. Menerusi tulisan Jawi inilah bahasa Melayu terus maju sama ada di bidang kesusasteraan, pendidikan, ekonomi, budaya, perhubungan, agama, falsafah, politik, pemerintahan, dan yang lainnya.

Para mubaligh Islam yang datang ke Nusantara ini sememangnya sudah mahir membaca dan menulis huruf Arab dan mereka juga sudah mahir berbahasa Melayu. Mereka tidak puas hati menyampaikan ajaran Islam itu dengan lisan sahaja. Oleh yang demikian, mereka cuba mengajar anak tempatan pengetahuan membaca dan menulis huruf Arab berdasarkan bahasa al-Quran, iaitu mulai daripada alif - ya hinggalah pandai membaca al-Quran.

Pengetahuan membaca dan menulis bahasa Arab yang dikatakan di atas ternyata tidak cukup kerana masyarakat tempatan telah memiliki bahasanya sendiri, iaitu bahasa Melayu. Oleh yang demikian, tulisan Melayu perlu dicipta. Masalah yang timbul ialah huruf Arab tidak cukup melambangkan perkataan Melayu manakala huruf Rencong yang sudah sedia ada pula tidak mereka fahami.

Para mubaligh dan cerdik pandai Melayu cuba mengenal pasti bunyi bahasa Melayu yang tidak terdapat dalam abjad bahasa Arab. Kekurangan abjad tersebut mereka ambil daripada huruf Parsi dan huruf lain yang mereka cipta sendiri dengan menambah tanda pada huruf Arab yang sudah sedia ada (lihat Bab 3). Tulisan Jawi yang terdapat pada Batu Bersurat Kuala Berang memperlihatkan bahawa tulisan Jawi telah mengenal abjad bahasa Melayu secara agak lengkap.

Perhatikan abjad yang terdapat dalam perkataan yang tertulis pada batu bersurat tersebut seperti: a (ada), b (bagi), c (cucuku), d (dengan), e (emas), f (fardhu), g (tiga), h (hamba), i (itu), j (juma'at), k (keluarga), l (lalu), m (mereka), n (perempuan), o (orang), p (penentu), r (rasul), s (seri), t (tuhan), u (ugama), w (wa's-salam), y (yang).
Jika kita perhatikan keseluruhan wacana yang terdapat pada Batu Bersurat Kuala Berang di atas, hanya huruf q, v, x, dan z sahaja yang tidak ditemui di dalamnya, tetapi ini juga tidaklah bermakna bahawa huruf q dan z tidak ada pada zaman itu, sebab huruf ini sudah sedia ada dalam abjad bahasa Arab, iaitu qaf ( r ) dan zai ( g ), hanya bahasa Melayu waktu itu belum menggunakannya.

Pada masa itu penulisan kitab agama mahupun kesusasteraan tumbuh dengan suburnya di Aceh. Hal ini adalah kerana Raja Aceh memberi keutamaan tentang penulisan keagamaan dan kesusasteraan bercorak Islam. Para pujangga diberi layanan yang istimewa. Dengan demikian tulisan Jawi itu sedikit demi sedikit semakin sempurna dan kelak dikenali sebagai ejaan Jawi Aceh.

4.2 HIKAYAT NUR MUHAMMAD DAN HIKAYAT AMIR HAMZAH

Dengan sempurnanya huruf abjad Jawi maka ulama Islam sama ada yang berasal dari negara Arab mahupun ulama Islam tempatan yang telah mendalami pengetahuan agama Islam mulai menulis risalah terutama berkenaan dengan "... huraian kalimah shahadat, rukun Islam yang lima perkara, rukun Iman yang enam perkara, sifat dua puluh, demikian juga segala yang wajib diketahui oleh orang-orang Islam".

Orang Melayu pun semakin ramai belajar agama di negara Arab. Apabila mereka kembali ke tanahair banyaklah buku agama diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Mereka juga menyedari bahawa kesusasteraan merupakan cara yang mudah untuk menyampaikan fahaman keagamaan kepada masyarakat. Oleh yang demikian, ada di antara mereka yang giat menulis hikayat. Dari sini lahirlah cerita Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat nabi bercukur, Hikayat Nabi Muhammad mengajar anaknya Fatimah, Hikayat Nabi Yusuf, Hikayat Nabi Ibrahim, Hikayat Nabi Daud, dan hikayat nabi yang lain. Perhatikan bahasa yang terdapat dalam petikan Hikayat Nur Muhammad dan nabi bercukur dan nabi wafat adanya, seperti yang berikut ini:

Wabihi nasta'inu billahi ta'ala. Ini hikayat peri menyatakan Nur Muhammad Rasulullah sollollohu 'alaihi wasallam. Bermula maka tatkala itu semata-mata 'alam pun belum jadi,'arasy dan kursi pun belum jadi, langit dan bumi pun belum jadi, darat dan laut pun belum jadi, langit dan bumi pun belum jadi, tersebut Luh pun belum tersurat dan seperti Nabi sollollohu 'alaihi wasallam kepada Nabi Adam 'alaihissalam, yakni Adam antara tanah dan seperti sabda Nabi sollollohu 'alaihi wasallam 'awwalu ma kholaqollohu ta'ala nuri'. Ertinya, pertama-tama dijadikan Allah ta'ala itu cahayaku ini maka ia pun sujud dengan firman Allah menyuruh sujud. Demikianlah firman Allah sujudlah engkau lima puluh tahun lamanya. Telah sudah ia sujud maka firman Allah 'Hai kekasihku Nur Muhammad' maka bangkitlah ia Nur Muhammad itu.

Bahasa yang terdapat dalam petikan di atas terlihat susunannya tidak teratur dan berlaku beberapa kali perulangan perkataan. Keadaan ini dapat difahami kerana karya ini merupakan awal penulisan daripada cerita yang biasanya disampaikan secara lisan.
Demikian juga kesusasteraan Parsi; mereka terjemahkan ke dalam bahasa Melayu, seperti: Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad 'Ali Hanafiah. Perhatikan bahasa yang terdapat dalam kutipan Hikayat Amir Hamzah ini:

Alkisah diceterakan oleh yang empunya cetera ini, sekali peristiwa ada seorang raja di sebuah negeri, Mada'in namanya. Raja itu bernama Kobat Syahril. Negeri terlalulah luas dan maha besar. Adapun raja itu terlalu adil dengan murahnya, bangsawan lagi budiman dan dermawan. Baginda dikasihi oleh segala menteri dan hulubalang; segala rakyat isi negeri Mada'in itu amat kasih akan raja itu, sebab adil dan murahnya. Seorang pun raja-raja tiada dapat melalui titahnya, dan tiada dapat mengikut kelakuannya. Segala negeri di dalam tanah Arab itu takluk di bawah perintahnya.

Lama-kelamaan beberapa perkataan Parsi pun diserap ke dalam bahasa Melayu, seperti: istana, dewan, askar, syahbandar, nobat, nafiri, rebab, saudagar, nakhoda, kelasi, gandum, dan anggur.

Ada pula di antara pujangga yang sudah begitu mesra dengan kesusasteraan Hindu menulis cerita tersebut dalam tulisan Jawi. Namun, penulisan mereka ini telah dijalin dengan nama Arab atau campuran Hindu-Arab termasuk gelaran rajanya, seperti: Candra Nur Lela, Malik Indra, dan Maharaja Bikrama Indra Dewa mempunyai gelaran lain, iaitu Paduka Seri Sultan Putera Jaya Pati Sifat Alau'ddin Shah. Perkataan lain yang kini sudah sebati dengan bahasa Melayu di antara lain: saya, suara, neraka, syurga, puasa, cuka, muka, masa, pahala, utara, bahaya, kepala, putera, puteri, negeri, bahasa, bumi, cahaya, agama, sayembara, raja, raya, manusia, dewa, rahasia, raksasa, rasa, ragam, biaya, restu, sentosa, anggota, dan saudara.

Kebanyakan karya kesusasteraan pada zaman ini tidak diketahui penulisnya sama ada kesusasteraan tersebut bercorak Hindu ataupun bercorak Islam. Hal ini berlaku kerana cerita tersebut berasal daripada cerita lisan atau cerita yang disadur beberapa kali daripada cerita asalnya. Lagi pula pada masa itu, karya kesusasteraan dianggap milik bersama. Sebarang penonjolan nama perseorangan dianggap bongkak, sombong, dan dituduh melanggar adat resam orang Melayu.

4.3 DAFTAR KATA BAHASA MELAYU-CINA

Seperti telah dihuraikan pada bahagian terdahulu bahawa orang Cina yang singgah di alam Melayu ini bukan hanya pedagang tetapi juga mereka yang ingin belajar agama Budha di India. Semasa singgah di beberapa pelabuhan di Kepulauan Melayu ini ada yang mencatat perkataan Melayu yang didengarinya.

Satu senarai perkataan bahasa Melayu-Cina dipercayai telah ada dalam tahun 1403-1511 M mengandungi sebanyak 482 kata masukan. Walaupun ia barulah berbentuk senarai, namun para pengkaji bahasa Melayu menganggap ia sebagai kamus pertama bahasa Melayu.

4.4 HIKAYAT RAJA PASAI

Hasil kesusasteraan Melayu yang dianggap terawal ditulis oleh orang Melayu, mengisahkan masyarakat Melayu dan menggunakan bahasa Melayu (tulisan Jawi) ialah Hikayat Raja Pasai. Tidak dapat dipastikan tarikh awal hikayat ini ditulis kerana pada masa itu tradisi menceritakan semula cerita orang lain (seperti yang dilakukan pada cerita lisan) berlaku dan dianggap sebagai sesuatu yang wajar. Perhatikan bahagian awal petikan Hikayat Raja Pasai yang berikut ini:

Alkisah peri mengatakan cerita raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka adalah diceriterakan oleh orang yang empunya cerita ini, negeri yang di bawah angin ini, Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah. Maka ada raja dua bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad. Adapun yang tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu hendak berbuat negeri di Samarlanga.
R.O. Winstedt menjangka Hikayat Raja Pasai selesai ditulis pada abad ke-15, Amin Sweeney berpendapat abad ke-14, dan A.H. Hill mengatakan di antara tahun 1383 M hingga 1390 M manakala Hooykaas mendakwa bahawa Hikayat ini seawal-awalnya dikarang sekitar tahun 1350 M.
Pada bahagian akhir Hikayat Raja Pasai yang diusahakan oleh R. Jones (1987) tercatat:

Tamat Hikayat Raja Pasai. Selamat sempurna yang membaca dia dan segala yang menengarkan dia, istimewa yang menyuratkan dia, dipeliharakan Allah subhanahu wataala apalah kiranya dari dunia datang ke akhirat, berkat syafaat Nabi Muhammad mustafa, sallallahu alaihi wasaalam.

Tamat hari Isnin, kepada hari
dua puluh sa, kepada bulan
Muharam, sanat za
Hijratul Nabi
1230

Sangking Kyai Suradimanggala, bupati sapu (pu) nagari Demak nagari Bagor, warsa 1742.

Tarikh yang tercatat pada bahagian akhir Hikayat Raja Pasai ini bukanlah bermakna penulisan pertama cerita tersebut, melainkan merupakan salinan daripada beberapa salinan cerita yang terdahulu. Penyalinan ini juga memperlihatkan bahawa ketika itu kesusasteraan Melayu tersebar luas di seluruh Nusantara.

4.5 HUKUM KANUN

Hukum Kanun atau biasa juga disebut Undang-undang Melaka pada mulanya merupakan peraturan yang tidak bertulis. Peraturan itu diadakan untuk melindungi kerajaan, rakyat, dan negeri Melaka. Walaupun Hukum Kanun ini sudah dijalankan pada masa pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah (1446-1456 M) namun ia baru ditulis dan disusun secara teratur setelah pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1489-1511 M). Itulah sebabnya Hukum Kanun ini dianggap ada setelah tahun 1489 M. Perhatikan bahasa yang digunakan dalam petikan Hukum Kanun atau Undang-undang Melaka ini:

Lima perkara, yang tiada beroleh kita menurut kata itu, melainkan raja yang kerajaan juga. Pertama-tama 'titah', kedua 'berparik', ketiga 'murka', keempat 'karunia', kelima 'anugerah'. Maka segala kata ini tiada dapat kita mengatakan dia. Dan jikalau orang keluaran berkata demikian itu, digocoh hukumnya.


4.6 DAFTAR KATA BAHASA MELAYU-ITALI

Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511 M di bawah pimpinan Alfonso d'Albuquerque yang menggunakan bala tentera lautnya. Ketika itu nakhodanya ialah Ferdinand Magellan. Semasa kembali ke Portugal, Magellan membawa seorang lelaki Melayu yang memahami selok-belok pelayaran di Nusantara ini. Di samping itu pula, Magellan yang selalu berulang-alik antara Lisbon dan Kepulauan Melayu menggunakan lelaki tersebut sebagai jurubahasa Melayunya.

Pada 10 Ogos 1519, Magellan kembali membawa kapalnya mengelilingi beberapa pelabuhan besar di dunia sambil berniaga. Antonio Pegafetta menjadi Ketua Kelasi kapal Victoria tersebut. Sejak meninggalkan bandar Pelabuhan Seville di Sepanyol, Pegafetta tertarik dengan perbualan Magellan dan lelaki Melayu yang mereka sebut namanya Henry The Black atau dipanggil Enrique tersebut. Pegafetta pun mempelajari bahasa yang dituturkan oleh Enrique atau nama yang sebenarnya ialah Panglima Awang dari Melaka, yang kemudian diketahuinya bahasa tersebut disebut bahasa Melayu.

Apabila kapal tersebut singgah di Tidore (Kepulauan Maluku) pada tahun 1521 M untuk membeli rempah-ratus, Pegafetta mengambil kesempatan bercakap secara langsung dengan orang tempatan. Dengan bantuan Enrique, Pegafetta menyalin beberapa perkataan Melayu berdasarkan ejaan Itali. Oleh kerana Pegafetta bukanlah seorang ahli bahasa maka pertuturan yang disalinnya itu berdasarkan ejaan Itali dengan pendengaran orang Itali yang bekerja sebagai Ketua Kelasi. Pegafetta berjaya mengumpulkan 426 perkataan dan rangkai kata bahasa Melayu yang disalinnya itu. Senarai perkataan ini kemudian disusun semula oleh Alessandrio Bausani dan dibuat menjadi buku yang bertajuk Perbendaharaan Kata Itali-Melayu yang Pertama. Perhatikan beberapa contoh seperti yang berikut ini:

Bahasa Melayu Ejaan Itali Ejaan Rumi Bahasa Melayu

Alla Allah
Isilam Islam
mischit masjid
maulana maulana
catip khatib
mudin mudim
zambahehan de ala meschit sembahyang di dalam masjid
anach anak
saudala saudara
niny nenek
minthua mentua
poranpoan perempuan
capala kepala
dai dahi
matta mata
bugax beras

nior nyiur
aiambatina ayam betina
talor telur
azap asap

Daripada petikan di atas jelaslah terlihat bahawa ejaan rumi (sebelum itu bahasa Melayu belum ada ejaan Ruminya) mampu mentransliterasikan bunyi bahasa Melayu.

4.7 DAFTAR KATA BAHASA MELAYU-BELANDA

Mendengar kejayaan bangsa Portugis berniaga di Kepulauan Melayu maka Kerajaan Belanda pun mengirim Cornelis de Houtman membuat kajiselidik ke Nusantara ini sama ada sesuai atau tidak mengadakan perniagaan. Cornelis de Houtman diminta oleh Kerajaan Belanda untuk menyampaikan laporan tentang hasil kajiannya tersebut.
Cornelis de Houtman yang merupakan ahli pelayaran itu menjalankan tugasnya dan menulis laporannya dalam bahasa Belanda yang isinya mengatakan bahawa perniagaan bangsa Portugis tidaklah begitu kukuh dan bangsa Belanda mempunyai peluang yang baik berniaga di wilayah tersebut. Di akhir laporan itu diperturunkannya senarai perkataan Melayu. Perkataan Melayu ini dicatatnya semasa singgah di Pelabuhan Bantam. Oleh kerana Cornelis de Houtman bukanlah seorang ahli bahasa maka perkataan tersebut ditulisnya sebagaimana pemahaman ahli pelayaran Belanda menurut ejaan bahasa Belanda. Perhatikan beberapa contoh perkataan tersebut:

Bahasa Melayu Ejaan Belanda Ejaan Rumi Bahasa Melayu

samaonga semuanya
pynanga pinang
kely beli
capyer kapur
ram boiet rambut
kereya kerja
kytab kitab
dyngin dingin
arijs hari
tauwn tahun

Senarai perkataan bahasa Melayu ini kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan diterbitkan di Paris pada tahun 1958.

4.8 HIKAYAT BAYAN BUDIMAN

Hikayat Bayan Budiman merupakan satu hikayat yang telah mengalami perjalanan yang panjang baru sampai ke bahasa Melayu, iaitu pada tahun 1600 M. Cerita ini pada mulanya merupakan sebuah hikayat tua Hindu yang bernama Sukasaptati (Cerita-Cerita Bayan). Cerita ini disalin dengan beberapa pengubahsuaian ke bahasa Parsi dengan nama yang baru, iaitu Tuti Nameh oleh Nakhshabi. Terjemahannya yang lain terdapat juga dalam bahasa Turki dan bahasa Hindustan.

Sukasaptati ini masuk ke alam Melayu mula-mula merupakan terjemahan dalam bahasa Jawa, Bugis, dan Makasar. Terjemahannya dalam bahasa Melayu merupakan salinan daripada riwayat terdahulu. Diduga terjemahan hikayat ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Namun, naskhah yang dianggap lengkap barulah ditemui bertarikh 1600 M. Salinan hikayat ini dalam bahasa Melayu ialah: Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Khoja Maimun, Hikayat Khoja Mubarrak, dan Cerita Taifah dalam tulisan Jawi. Perhatikan petikan Hikayat Bayan Budiman seperti yang berikut ini:

Adalah seorang saudagar di negeri Istambul; maka ia pergi belayar. Hatta, beberapa lamanya sudah ia pergi itu, maka peninggalnya isteri saudagar itu pun bermukahkah dengan kalandar. Sebermula, adapun akan saudagar itu ada ia menaruh seekor burung bayan. Kemudian tiada berapa lamanya, maka saudagar itu pun datanglah dari belayar itu, tetapi diketahuinya juga oleh saudagar itu dengan pengetahuannya sendiri akan pekerjaan isterinya itu. Maka tiadalah baik rasa hatinya saudagar itu akan isterinya, pada sehari-hari ia berbantah juga.

Jika kita perhatikan penggunaan perkataan dalam petikan ini sebahagian besar daripadanya tidak berubah hingga sekarang, kecuali perkataan peninggalnya yang seharusnya sepeninggalnya. Bagaimanapun, struktur ayatnya jelas menunjukkan pengaruh struktur bahasa Arab/Sanskrit. Perhatikan beberapa contoh seperti yang berikut ini:

(a) sudah ia pergi itu
(b) ada pun akan saudagar itu
(c) akan pekerjaan isterinya itu
(d) tiadalah baik rasa hatinya saudagar itu akan isterinya
(e) pada sehari-hari ia berbantah juga

4.9 SURAT RAJA ACEH KEPADA HARRY MIDDLETON

Jika Kerajaan Melaka telah menulis Hukum Kanun (Undang-undang Melaka) untuk melindungi kerajaan dan rakyatnya maka Kerajaan Aceh pula memberi perlindungan kepada pedagang yang ingin berniaga di bawah kekuasaan Kerajaan Aceh. Ketika itu Harry Middleton ialah seorang Ketua Kapal Susan yang ingin membeli rempah. Kapal yang diketuai oleh Harry Middleton itu dianggarkan tiba di Aceh yang juga singgah di Pariaman, Sumatera Barat pada tahun 1601 M dan kembali ke England pada 21 Jun 1603. Dengan demikian, Surat Raja Aceh (Sultan Alauddin Shah) kepada Harry Middleton diperkirakan ditulis pada tahun 1601 M semasa kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Aceh. Perhatikan petikan surat tersebut setelah ditransliterasikan daripada huruf Jawi ke huruf Rumi.

Dengan anugerah Tuhan sarwa'alam sekalian, sabda yang maha mulia datang kepada segala panglima negeri dan pertuha segala negeri yang ta'aluk ke Aceh. Ada pun barang tahu kamu sekalian, bahawa kapal orang Inglitir ini, kapitannya bernama Harry Middleton, asalnya kapal ini berlabuh di labuhan negeri Aceh; beberapa lamanya ia di sana, maka mohon dirinya ia berlayar ke Jawa. Jika ia memeli lada atau barang sesuatu, diberinya akan kamu dirham atau barang sesuatu. Yang orang Inglitir ini suhbat kita Raja Inglitir, maka kapitannya dan segala saudagarnya itu hamba pada Raja Inglitir. Yang hamba Raja Inglitir itu serasa orang kitalah; jika ia meli berjual dengan kamu yang dalam teluk rantau Aceh itu, dengan sebenar-benarnya jua. Maka surat simi yang kita karuniai akan dia ini, dengan dipohonkannya daripada kita, supaya ia jangan dicabuli segala orang teluk rantau kita. Maka jika ditunjukkannya kepada kamu sekalian simi ini, hendaklah kamu permulia; dan janganlah seseorang daripada kamu mencabuli dia. Inilah sabda kita kepada kamu sekalian. Wassalam.

Sebahagian besar bahasa Melayu yang digunakan di dalam surat ini serupa dengan bahasa Melayu sekarang. Hanya beberapa perkataan sahaja yang kini sudah mengalami perubahannya. Contoh:

sarwa = segala, sekalian, seluruh
pertuha = pertua ketua
ta'aluk = takluk
Inglitir = Inggeris
kapitan = kapten (nakhoda kapal laut)
memeli = membeli
suhbat = sahbat, sahabat
meli berjual = berjual-beli
simi = surat kebenaran berniaga

Bahasa yang hampir sama juga terlihat di dalam surat kebenaran berniaga daripada Raja Aceh kepada James Lancaster bertarikh 1602 M.

Bahasa Melayu semakin meluas penyebarannya apabila orang Melayu bertambah ramai yang menjadi penulis. Para penulis ketika itu menghasilkan karya mereka melalui kesusasteraan yang berasaskan agama Islam. Oleh yang demikian, kesusasteraan sufi berkembang dengan meluas di seluruh Nusantara. Pada masa itu pula, kemahiran membaca tulisan Jawi sudah semakin dikuasai oleh masyarakat Melayu. Dengan demikian penyebaran bahasa Melayu lebih mudah dan lebih teratur perjalanannya.

4.10 HAMZAH FANSURI

Hamzah Fansuri berasal dari Barus, Sumatera. Ia mengembara ke pelbagai tempat untuk menambah pengetahuannya seperti ke Mekah, Madinah, Baghdad, Pahang (Tanah Melayu), dan Kudus (Pulau Jawa). Ia menguasai bahasa Arab dan Parsi di samping bahasa Melayu yang memang menjadi bahasa ibundanya. Bahasa Melayu yang digunakannya itu sudah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang.

Tidak diketahui secara pasti tarikh hasil karyanya itu ditulis kerana tidak ada catatan tentangnya. Yang diketahui ialah bahawa Hamzah Fansuri menghasilkan karyanya itu pada masa Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memerintah Aceh dalam tahun 1606-1636 M. Berdasarkan ini, dapatlah dikatakan bahawa karyanya itu tercipta pada awal abad ke-17. Ia menghasilkan beberapa buah syair dan prosa. Perhatikan bahasa yang terdapat dalam petikan Syair Perahunya ini:

Inilah gerangan suatu madah
Mengarangkan syair terlalu indah
Membetuli jalan tempat berpindah
Di sanalah i'tikad diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu
Ialah perahu tamsil tubuhmu
Tiadalah berapa lama hidupmu
Ke akhirat jua kekal diammu

Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetuli insan

Dengan penggunaan bahasa yang indah dan dengan perumpamaan yang sederhana, Syair Perahu ini pada suatu masa menjadi sebutan orang ramai. Ia digunakan oleh ibu bapa untuk menasihati anaknya agar mentaati ajaran Islam.
Perhatikan pula bahasa yang digunakan dalam petikan prosanya ini:

Jika seorang bertanya: "Jikalau Zat Allah kepada semesta sekalian lengkap, kepada najis dapatkah dikatakan lengkap?" Maka jawab: "Seperti panas lengkap pada sekalian 'alam, kepada Ka'bah pun lengkap, pada rumah berhala pun lengkap, kepada semesta sekalian pun lengkap; kepada najis tiada Ia akan najis; kepada busuk tiada Ia akan busuk; kepada baik tiada Ia akan baik; kepada jahat tiada Ia akan jahat; daripada Ka'bah tiada Ia beroleh kebajikan; daripada rumah berhala tiada Ia berolah kejahatan. Sedang panas demikian, istimewa Allah subhanahu wata'ala suci daripada segala suci, di mana Ia akan najis dan busuk?"

Nama penulis lain yang banyak mengembangkan bahasa Melayu melalui kesusasteraan termasuklah Shamsuddin al-Sumatrani, Syeikh Nuruddin al-Raniri, dan Abdul Rauf al-Singkeli. Walau bagaimanapun, kerana latar belakang pendidikan dan objek penulisan mereka sama, maka bahasa yang mereka gunakan juga tidaklah jauh berbeza di antara satu dengan yang lain. Hal ini diperkuat lagi kerana mereka sama-sama tinggal di tempat yang sama, iaitu Aceh.

4.11 SURAT RAJA ACEH KEPADA RATU ELIZABETH I

Walaupun penyebaran agama Islam begitu kuat di Aceh, ia tidaklah menutup pintu kemasukan saudagar asing ke alam Melayu ini. Inggeris, yang sejak awal telah mempunyai hubungan yang baik dengan Raja Aceh, terus menjalin persahabatan terutama dalam bidang perniagaan. Ratu Elizabeth I yang ketika itu memerintah Kerajaan Inggeris secara langsung telah meminta surat kebenaran berniaga seperti yang disyaratkan oleh pemerintah Aceh. Perhatikan bahasa yang digunakan oleh Raja Aceh kepada Ratu Elizabeth I, seperti petikan yang berikut ini:

Aku raja yang kuasa yang di bawah angin ini, yang memegang takhta kerajaan negeri Aceh dan Samudera dan segala negeri yang ta'luk ke negeri Aceh. Maka sekalian kamu yang menilik kepada surat ini, hendaklah dengan tilik kebajikan dan tilik yang sejahtera. Dan kamu dengarkan perkataan yang dalamnya, dan kamu fahamkan segala perkataannya. Bahawa aku telah bersabda dengan suka hatiku memeri kamu tahu ini: bahawa aku telah bersahabat dengan Raja Inglitir, dan kamu pun bersahabat dengan Raja Inglitir itu, seperti kamu bersahabat dengan segala manusia yang lain dalam dunia ini; dan berbuat baik kamu akan orang itu, seperti kamu berbuat baik akan orang yang lain itu.

Apabila kita perhatikan bahasa yang digunakan di dalam surat di atas dengan bahasa yang digunakan di dalam surat sebelumnya dan juga surat yang kemudian dikirimkan oleh Raja Aceh kepada Raja James I, nyatalah serupa. Hal ini dapatlah difahami bahawa yang menyalin atau menulis surat tersebut orang yang sama.

Bahasa Melayu terus menyebar ke tempat lain di alam Melayu ini. Ini dapat dibuktikan dengan bahasa yang terdapat di dalam Surat daripada Kapitan Laut Buton kepada Gurnador (Gabenor) General di Batavia (1670 M), Surat daripada Pangeran Ratu Jambi kepada Gurnador General di Batavia (1669 M), dan Surat daripada Raja Bendahara Paduka Seri Maharaja Birni (Brunei) kepada Kapitan Inggeris di Jambi (1752 M). Bahasa yang terdapat di dalam beberapa surat di atas ternyata hampir sama walaupun tempat di antara satu dengan yang lain saling berjauhan.

4.12 BUKHARY AL-JAUHARI

Kerajaan Aceh menjadi tumpuan sasterawan muslim. Hal ini kerana di samping Kerajaan Aceh merupakan satu kerajaan yang kuat, rajanya juga memberi kemudahan dan keistimewaan kepada penulis. Pada tahun 1603 M, Bukhary al-Jauhari telah menyadur sebuah kitab Parsi dan diberinya tajuk Taj us-Salatin atau Mahkota Raja-raja. Perhatikan bahasa yang terdapat dalam petikan berikut ini:

Segala puji bagi Allah jua Tuhan sarwa sekalian alam bahawa yang tiada ada dalam kerajaannya itu sekutu dan tiada ada yang menghukumkan. (Maka dihukumkan daripada sekalian hukum seperti hukum itu). Ia jua empunya kerajaan dan ia jua yang empunya hukum dan ialah (yang terkeras hukumannya) daripada sekalian hakim seperti kata dalam kitabnya yang qadim akan hambanya.

Sama ada menyadur atau menterjemah sesuatu bahasa ke dalam bahasa Melayu, ia tetap menguntungkan bahasa Melayu. Perkataan yang tidak terdapat dalam bahasa Melayu dikekalkan. Lama-kelamaan perkataan ini pun terserap ke dalam bahasa Melayu. Perbendaharaan kata bahasa Melayu semakin kaya. Dalam karya ini misalnya, kita menemui perkataan: kun, mahabbah, mihrab, ashab, qari, dan banyak lagi perkataan yang lain.

4.13 KESIMPULAN

Berdasarkan huraian di atas dapatlah disimpulkan bahawa:

(a) Masyarakat Melayu menerima agama Islam kerana sesuai dengan budi nurani orang Melayu. Dengan demikian, bahasa Arab juga mudah diterima sama ada melalui penyebaran agama Islam mahupun melalui kesusasteraan Arab.
(b) Penyebutan bahasa Arab disesuaikan dengan penyebutan orang Melayu dan ditulis dengan tulisan Jawi berdasarkan penyebutan orang Melayu.
(c) Tulisan Jawi semakin luas penggunaannya termasuk bagi kegunaan penulisan kesusasteraan, hukum, surat-menyurat rasmi, dan pendidikan.
(d) Pengaruh bahasa Sanskrit tidak lagi begitu berkembang dan pengaruh bahasa Arab pula semakin meluas.
(e) Bahasa Melayu mulai dikenali oleh bangsa Eropah.


A. Samad Ahmad. Sejarah kesusasteraan Melayu. Jil. 2, 1965, m.s. 2.
Hikayat Nur Muhammad dan nabi bercukur dan nabi wafat adanya, 1900?-1979?,
m.s. 2.
A. Samad Ahmad. Hikayat Amir Hamzah, 1987, m.s. 1.
A. Samad Ahmad. Sejarah kesusasteraan Melayu. Jil. 1, 1966, m.s. 76.
Safioedin, Asis. Tatabahasa Indonesia, 1963, m.s. 8.
Jones, R. Hikayat Raja Pasai, 1987, m.s. 1.
Ibid., m.s. v.
Annas Haji Ahmad. Sastera Melayu lama dan baru, 1982, m.s. 180.
Parkamin, Amron dan Bari, Noor. Pengantar sastera Indonesia, 1973, m.s. 130.
"Orang Melayu pertama mengelilingi dunia". Di dalam Utusan Malaysia, 23 Jun 1991, m.s. 6.
Harun Aminurrashid. Kajian sejarah perkembangan bahasa Melayu, 1966, m.s. 26-28.
Ismail Hussein. Sejarah pertumbuhan bahasa kebangsaan kita, 1984, m.s. 40.
A. Samad Ahmad. Sejarah kesusasteraan Melayu. Jil. 3, 1965, m.s. 25-26.
Winstedt, R.O. Hikayat Bayan Budiman, 1985, m.s. 11.
A. Samad Ahmad. Sejarah kesusasteraan Melayu. Jil. 3, 1965, m.s. 61.
Edrus, A.H. Persuratan Melayu II, 1960, m.s. 203.
Parkamin, Amron dan Bari, Noor. op. cit., m.s. 51.
A. Samad Ahmad. Sejarah kesusasteraan Melayu. Jil. 3, 1965, m.s. 56-57.
Khalid Hussain, Taj us-Salatin, 1966, m.s. 1.