etakat ini bahasa yang memiliki cara pembinaan kata dan pembinaan ayat yang serupa dengan bahasa Melayu hanya terdapat di kawasan Nusantara. Bahasa yang seiras dengannya ialah bahasa yang terdapat di pulau yang terdapat di Lautan Hindi seperti di Pulau Madagaskar di sebelah Barat dan bahasa yang terdapat di beberapa buah pulau yang terdapat di Lautan Pasifik, iaitu bahasa Austronesia, Mikronesia, Melanesia, dan Polinesia. Bahasa seperti ini tidak ditemui di Asia Tengah.

Kekeluargaan bahasa ini memperlihatkan bahawa bahasa Melayu tumbuh dan berkembang di kawasan Nusantara atau alam Melayu, dan beberapa bukti menunjukkan bahawa pertumbuhan tersebut bermula di kawasan Jambi dan Palembang di Sumatera Selatan. Buku ini lebih berkecenderungan mengatakan bahawa asal bangsa yang mendiami Palembang tersebut pada awalnya datang daripada Asia Barat tempat lahirnya para nabi.

Tulisan asal orang Melayu ialah tulisan/aksara Rencong (tulisan yang terdapat di Sumatera Selatan) yang dicipta oleh orang Melayu berdasarkan benda yang ada di alam sekitar mereka seperti ranting kayu, akar, rotan, dan sungai. Hal ini dapat dikaitkan pada penciptaan susastera Melayu yang asal, iaitu pantun yang menggunakan pengisi alam sebagai pembayang maksud atau sampiran sebelum menyatakan isi pantunnya.

Semasa pertumbuhan awal bahasa Melayu ini, ia sesungguhnya telah memiliki aturan pengimbuhan dan penyusunan ayatnya sendiri. Walaupun sebahagian besar perkataan asing dapat dimelayukan oleh bahasa Melayu sendiri, namun kerana desakan yang kuat serta kehadiran bahasa asing yang begitu sangat diperlukan bagi keperluan perhubungan masyarakat, maka aturan tadi menjadi bercampur-baur.

Walaupun pelbagai aturan bahasa asing datang mendesaknya, pelbagai perkataan baru daripada bahasa asing datang menambahnya, namun aturannya sendiri berjalan terus daripada bahasa Melayu Purba hinggalah bahasa Melayu Tinggi sekarang ini. Gambaran perjalanan bahasa Melayu Purba hingga bahasa Melayu Tinggi diperlihatkan di dalam rajah 7.1.
Bahasa Melayu Purba ialah bahasa Melayu sebelum ditemui bukti sejarahnya. Sumatera Selatan telah ada penduduknya sebelum orang India mendirikan Kerajaan Sriwijaya. Sebelum itu juga mereka telah mengembara sebagai pelaut ke mana-mana di kawasan Nusantara ini dan menggunakan bahasa mereka di tempat yang baru serta membawa pulang bahasa yang mereka temui bagi yang kembali ke tempat asalnya.

Ini bermakna, perkataan yang terdapat pada Batu Bersurat Palembang yang tidak berasal daripada bahasa Sanskrit dapat dianggap sebagai bahasa Melayu Purba, kerana tidak ditemui bahasa asing lain yang mempengaruhi bahasa Melayu tersebut. Bahasa lain yang terdapat di Nusantara ini selain daripada bahasa Melayu dianggap sebagai dialek pada masa itu.
Bahasa yang terdapat pada beberapa Batu Bersurat Palembang tersebut dikatakan sebagai bahasa Melayu Kuno, iaitu campuran bahasa Melayu dan dialeknya dengan bahasa Sanskrit. Oleh kerana penulis Batu Bersurat tersebut merupakan ahli pahat yang didatangkan dari India dan juga menggunakan tulisan Sanskrit, kemungkinan penyebutan bahasa Melayu tersebut telah diubah suai sesuai dengan keadaan bentuk aksara Sanskrit tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rajah 7.1. Gambaran perjalanan bahasa Melayu Purba hingga bahasa Melayu Tinggi

Keterangan:

BMP = Bahasa Melayu Purba, D = Dialek, BA = Bahasa Asing, BMK = Bahasa Melayu Kuno, BMKL = Bahasa Melayu Klasik, BMM = Bahasa Melayu Moden, BMT = Bahasa Melayu Tinggi, X = Selepas bahasa Melayu Tinggi.

Dialek yang dimaksudkan di sini ialah bahasa lain selain daripada bahasa Melayu yang terdapat di Nusantara ini yang merupakan pecahan daripada bahasa Melayu Purba, seperti bahasa Batak dan Aceh. Bahasa ini berbeza dengan bahasa Melayu yang digunakan di Palembang walaupun ada juga beberapa persamaannya. Itulah sebabnya bahasa lain itu dianggap sebagai dialek kerana ia merupakan pecahan daripada bahasa Melayu Purba yang berkembang berasingan menurut keperluan masyarakat penuturnya.

Bahasa Melayu Klasik seperti yang terdapat di dalam susastera hikayat merupakan campuran bahasa Melayu, dialek, bahasa Sanskrit yang sudah sebati, dan juga bahasa Arab. Bahasa Arab menggunakan bentuk tulisan yang berbeza dengan Rencong dan juga Sanskrit. Kedua-dua bentuk tulisan yang awal ini sebenarnya hanya dikuasai oleh golongan tertentu sahaja dan orang ramai tidak memiliki kemahiran tulisan tersebut. Tulisan Arab juga ternyata tidak dapat merakam atau menulis pertuturan orang Melayu secara tepat. Oleh yang demikian, beberapa bentuk tulisan Arab perlu diubahsuai dan mana yang ada di dalam tulisan Parsi juga telah dimanfaatkan. Hasil pengubahsuaian inilah kemudian lahirnya tulisan Jawi. Pada masa itu tulisan Jawi dapat memenuhi keperluan bagi menulis perhubungan dan pemikiran orang Melayu atau orang lain yang memerlukannya.

Bahasa Melayu Moden merupakan perkembangan bahasa terdahulu ditambah dengan pengaruh bahasa asing yang lain seperti bahasa Inggeris, Belanda, Portugis, dan Cina. Tulisan Jawi mengalami kesulitan untuk menulis keperluan semasa kerana didapati lambangnya kurang. Lagi pula, bentuk tulisan Jawi ini agak mujarad sehingga satu perkataan dapat disebut dengan dua atau tiga bunyi.

Walaupun untuk keperluan perhubungan, tulisan Jawi tidak menimbulkan masalah namun di dalam dunia pendidikan yang semakin maju kekurangan lambang atau bentuk tersebut dirasai. Oleh yang demikian, sekali lagi bentuk tulisan untuk menuliskan bahasa Melayu ini berubah menjadi tulisan Rumi.

Walaupun tulisan Rumi mudah diterima dan dapat mengatasi kesulitan bagi melambangkan bahasa Melayu, namun tulisan Jawi tidak terus dilupakan. Kekurangan lambang terdahulu dilengkapi dan kini tulisan Jawi tetap digunakan bagi keperluan tertentu. Oleh kerana tulisan Jawi merupakan bentuk tulisan bahasa Melayu dan ia masih tetap dapat digunakan bagi keperluan tertentu, maka pengekalannya sememangnya wajar.20

Lagi pula, banyak khazanah pemikiran Melayu yang ditulis di dalam bentuk tulisan Jawi yang belum dibongkar seluruhnya. Pengkaji bahasa Melayu yang sebenarnya perlu mempelajari budaya Melayu dan salah satu warisan budaya Melayu tersebut ialah tulisan Jawi. Bahasa Melayu Tinggi ialah bahasa Melayu yang ingin kembali pada sifat bahasa Melayu yang sejati. Perkataan yang digunakan di dalam bahasa Melayu boleh berasal daripada bahasa mana pun sesuai dengan sejarahnya juga. Namun aturan pembinaan kata dan pembinaan ayatnya sedapat mungkin tidak mengikut cara bahasa lain, kerana ia memiliki aturannya sendiri. Kembali pada aturannya sendiri tidak bermakna bahawa bahasa Melayu Tinggi kembali pada bahasa Melayu Purba. Dengan menyerlahkan aturan yang sesuai dengan sifat semula jadinya, ia akan lebih cepat berkembang. Bahasa lain boleh masuk dan bahasa tersebut akan menjadi milik bahasa Melayu kerana telah dimelayukan oleh aturannya dan sifatnya sendiri.

Bahasa Melayu tidak akan berhenti setakat bahasa Melayu Tinggi sahaja. Ia akan terus berkembang dengan menerima kemasukan dialek (dalam pengertian yang luas dan sempit) dan juga bahasa asing. Beberapa tahun kelak mungkin istilah bahasa Melayu Tinggi akan berubah dengan istilah lain. Apa pun namanya tidaklah menjadi hal yang utama. Yang penting ialah bahasa Melayu terus maju sesuai dengan sifat dan aturan yang ada padanya.

Dengan demikian, bahasa Melayu dapatlah dikatakan satu bahasa yang pada mulanya sangat sederhana, tumbuh dan berkembang secara alamiah. Pertama kali bahasa ini dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dengan kedatangan saudagar dan penyebar agama Hindu ke Nusantara ini. Pengaruh yang kedua dikuasai oleh bahasa Arab. Bahasa Arab juga masuk ke alam Melayu dengan kehadiran para saudagar dan mubaligh Arab. Bahasa ini bertambah subur dengan didirikannya sekolah pondok yang mengajarkan bahasa Arab kepada penuntutnya. Ia diperkukuh lagi apabila ramai penduduk tempatan belajar agama Islam di Tanah Arab dan kembali ke tanahair menyebarkan pengetahuan agama Islam dengan menggunakan banyak perkataan dan istilah bahasa Arab.

Jadi, sehingga akhir abad ke-18, bahasa Melayu yang diperkaya oleh bahasa Sanskrit dan bahasa Arab dengan bentuk tulisan Jawi itu telah digunakan untuk segala keperluan ketika itu. Walaupun orang Portugis telah datang ke alam Melayu pada akhir abad ke-15, dan orang Belanda dan Inggeris datang pada permulaan abad ke-17, tetapi bahasa Portugis, Belanda, dan Inggeris ketika itu tidak banyak mempengaruhi para sasterawan sehingga bahasa yang terdapat di dalam hasil karya mereka tidak terlalu ketara.

Ini bukanlah bermakna bahasa asing yang lain tidak ada yang menyelusup masuk ke dalam bahasa Melayu ketika itu, melainkan perkataan atau istilah daripada bahasa tersebut telah diubahsuaikan sehingga yang muncul ialah bahasa Melayu.

Selanjutnya, sejak munculnya suratkhabar, majalah dan sistem pendidikan yang berkiblatkan pada pendidikan Inggeris, maka bahasa Inggeris telah masuk ke dalam bahasa Melayu tanpa kawalan. Dari satu segi, iaitu perbendaharaan perkataan, bahasa asing ini menguntungkan bahasa Melayu, tetapi dari segi yang lain terutama aturan sebutan dan struktur ayat, ia merugikan, kerana di antara kedua-duanya mempunyai aturan dan sifat yang berbeza.
Pengkaji bahasa Melayu menyedari pengaruh ini, tetapi oleh kerana mereka juga terdidik di dalam pendidikan Arab dan/atau Inggeris maka cara mereka mencerakinkan bahasa tentulah tidak dapat terlepas daripada pengaruh tersebut. Walau bagaimanapun, beberapa perkara yang mereka dapati terlalu kearaban atau terlalu keinggerisan mereka nyatakan kelemahannya untuk dikaji semula oleh pengkaji yang kemudian.

Dengan demikian, tugas mencari aturan bahasa Melayu yang telah hilang itu merupakan tugas kita. Sejarah membuktikan tidak ada bahasa yang paling baik kerana bahasa memiliki tugasnya yang khas. Bahasa Melayu merupakan cermin pemikiran bangsa Melayu. Bahasa Melayu yang tertib, tersusun, dan rapi memperlihatkan cara berfikir orang Melayu yang tertib, tersusun, dan rapi juga.

Sejarah Pertumbuhan Bahasa Melayu yang dikemukakan di sini berakhir sehingga penghujung abad ke-19 atau awal abad ke-20. Sejak awal abad ke-20 hingga kini pergolakan bahasa Melayu lebih hebat lagi dan bukan hanya tumbuh secara alamiah malah berkembang secara terancang. Dengan demikian, perkembangan bahasa selepas ini sesuai dinyatakan sebagai Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu.



20 Pedoman umum ejaan Jawi yang disempurnakan telah diterbitkan pada tahun 1987 dan Daftar ejaan Rumi-Jawi diterbitkan setahun kemudian, iaitu pada tahun 1988 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.