Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 10 Dec 1934, p.1

Leader Article.

Surat Sembah Anak-Anak Melayu Ke Bawah Duli Raja-Raja Melayu.

Ampun Tuanku Beribu-ribu ampun ... sembah patik-patik pacal-pacal harap diampun.

Datang bertelut mengadap Ke Bawah Tapak Cerpu-Cerpu Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku Sultan bagi Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu Khalidullah Ta`ala wa-Malikum wa-Sultanahum, Amin Ya Rabbiul Alamin.

Ampun Tuanku-Tuanku beribu-ribu ampun, harap diampun sembah patik-patik pacal-pacal yang hina anak-anak Melayu; merakamkan sembah Ke Bawah Tapak Cerpu Duli-Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan-Sultan Raja-Raja Melayu adalah keutamaan bagi anak-anak Melayu yang diadakan kerajaan itu sebenar-benarnya endah cerita daripada rupa?

Ampun Tuanku Beribu-ribu ampun ... sembah patik-patik pacal-pacal harap diampun.

Oleh sebab faedah-faedah pacal-pacal yang hina merakamkan sembah yang sedemikian, pada masa diadakan jawatan-jawatan sukatan getah yang baru ini yang dapat menjunjung jawatan pemeriksa kedai-kedai getah di Taiping, di Ipoh dan di Teluk Anson, itu semuanya terpulang kepada kaum Cina dan Keling.

Ampun Tuanku Beribu-ribu ampun ... sembah patik-patik pacal-pacal harap diampun.

Dan kerani sukatan getah di Batu Gajah seorang Keling yang telah bersara dan seorang Cina, di Ipoh di Pejabat Kastam seorang Keling dan seorang Cina. Yang dua orang itu yang akhir ini hanyalah semata-mata dikatakan lulus darjah tujuh di dalam sekolah Inggeris.

Ampun Tuanku Beribu-ribu ampun ... sembah patik-patik pacal-pacal harap diampun.

Al-akhir hal yang tersebut di atas telah ditulis oleh patik-patik pacal yang hina anak Melayu di dalam akhbar orang-orang putih dan Melayu. Tetapi belum ada nampaknya gerak-geri pihak yang berkeras memaksa dan menyiasatnya sungguh pun sudah empat bulan lebih kurang lamanya.

Apakah sebabnya anak-anak Melayu tidak layak bagi jawatan yang tersebut; pada hal pekerjaan Malay Officer beratus anak-anak Melayu sudah menjunjungnya.

Ampun Tuanku Beribu-ribu ampun ... sembah patik-patik pacal-pacal harap diampun.

Al-akhir beratus-ratus patik-patik pacal-pacal yang hina anak-anak Melayu jati yang telah lulus darjah delapan dan sembilan dan setengahnya telah ada jua menjunjung jawatan di dalam sukatan getah dahulu, memohonkan jawatan-jawatan yang tersebut. Tetapi hampalah sahaja permohonan patik-patik pacal yang hina itu sekaliannya.

Ampun Tuanku Beribu-ribu ampun ... sembah patik-patik pacal-pacal harap diampun.

Al-akhir maka dengan wasitah akhbar ini diharap Ke Bawah Tapak Cerpu-Cerpu Duli-Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan-Sultan Raja-Raja Melayu mengurniakan timbangan belas kasihan kepada patik-patik pacal-pacal yang hina sekaliannya; mudah-mudahan dapatlah patik-patik pacal-pacal sekaliannya elokkan pagi dan petang.

Ampun Tuanku Beribu-ribu ampun ... sembah patik-patik pacal-pacal harap diampun.

Al-akhir harap diampun jua jika sekiranya ada kesalahan di atas surat sembah patik-patik pacal-pacal yang hina ini adanya. Tamat.

Patik-Patik Pacal-Pacal Yang Hina.

Anak-Anak Melayu.

4.12.34.