Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 13 Dec 1935, p.12

General Article.

Jalan Keuntungan Orang-orang Melayu.

Oleh Mahmud Tasi, Batu Gajah.

Bahwa satu daripada jalan memberi keuntungan kepada orang-orang Melayu pada masa ini sudah tertutup sama sekali ialah berkenaan dengan memiliki tanah lombong. Sungguh pun orang-orang Melayu lebih kurang tiga puluh tahun dahulu tidak berapa luas pengetahuannya, tetapi boleh dikatakan banyak yang ada memiliki tanah lombong dari mana mendapat cabut daripada tauke-tauke Cina membuat pekerjaan lombong itu.

Dan ada jua sedikit-sedikit orang-orang Melayu sendiri membuat pekerjaan mengambil bijih mengikut peraturan pada masa-masa itu.

Maka dengan jalan pendapatan daripada cabut yang tersebut ada jua setengahnya membuat harta di dalam pekan-pekan seperti rumah kedai, kerana sewanya dan membuat kebun-kebun dan ada jua membuat rumah besar-besar dan hebat mengikut bangunan yang disukainya pada masa itu. Maklumlah, jika ada wang bolehlah dilagakkan apa-apa yang bersetuju pada fikirannya.

Tetapi pada masa ini kecualinya jika seseorang banyak harta dan besar rumahnya banyak pula hutangnya. Dan jika ada memiliki tanah lombong pun, jarang-jarang barangkali sepuluh ribu satu pun payah.

Maka sungguh pun pada masa ini dikatakan Melayu maju, tetapi berkenaan dengan tanah lombong itu, sayup entah di mana-mana kita tinggal di belakang bangsa lain. Cubalah perhatikan apabila kita di dalam perjalanan di atas kereta api atau motorkar melalui jalan raya di dalam Malaya ini, tidak berjumpa sama sekali company lombong.

Walhal jika dicongkakkan dengan tanda penglihatan kasihkan tanahair Melayu, bolehlah mensayukan hati menitikkan air mata melihatkan lebuh luas pemandangan atas tanah-tanah kita sudah dibongkar oleh bangsa lain, diperah ambil apa-apa yang berharga di dalamnya dibawa ke lain negeri, dan setengah daripada tempat-tempat itu dahulunya kampung-kampung Orang Melayu dan ada pula kadang-kadang kubur orang-orang Islam.

Bersambung.