Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 8 Aug 1931, p.4

General Article.

Beransur Subur Perniagaan Melayu.

Sebagaimana telah disiarkan dalam akhbar Saudara bertarikh lebih kurang tiga minggu dahulu berkepalakan "Diharapkan Maju", tentang perniagaan bangsa kita Melayu iaitu Encik Ahmad bin Tadi yang menumpang di kedai "America Hotel", nombor 66 Batu Road, Kuala Lumpur, dengan membuka dan menjual sedikit barang makanan bangsanya ((Melayu)), nampaknya beransur subur ((laku)) sebab dapat disokongi oleh saudara-saudaranya ((kaum Melayu)) pada membeli benda-benda itu.

Dengan jalan ini, Encik Ahmad bin Tadi itu, telah dapat membuka pula sebuah tempat kepunyaannya sendiri di jalan itu juga ((Batu Road)), di hadapan perhentian motokar-motokar sewa berhampiran panggung wayang gambar Coliseum.

Tempat makanan ini diberi pula nama olehnya Public Restaurant.

Bolehlah dikatakan inilah mula-mula satu daripada bangsa kita Melayu jati, sungguhpun peranakan Indonesia, penduduk-penduduk Kuala Lumpur yang berani melayarkan bahtera perniagaannya di dalam lautan dunia kesusahan. Bergirang hati penduduk-penduduk bandar ini dan juga pembaca-pembaca akhbar "Saudara" dapat mendengar dan melihat pertunjukan keberanian bangsanya sendiri yang telah sedar pada jalan kemajuan hidup yang sempurna.

Diharapkan berkekalan kelak Encik Ahmad bin Tadi ini melayarkan bahtera perniagaannya dengan berpedomankan mata angin kemajuan hidup sementara dengan pertolongan kelasi-kelasinya ((pembeli-pembeli)) daripada bangsanya ((Melayu)) hingga sampai dipelabuhan sentosa, buat memberi satu kenang-kenangan pada kaumnya dan pada bangsa lain Keling dan Cina.