Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 1 Sep 1932, p.8

General Article.

Kemajuan Perniagaan Melayu.

Daripada Penulis Kita Jambak.

Tidak boleh maju jika kita tidak campur pada pekerjaan perniagaan sebelumnya kita merasa nikmat-nikmat dan lazat-lazat pada keuntungannya belumlah kita tahu.

Adapun perniagaan itu iaitu suatu perniagaan yang sangat memberi gemar di hati sekalian manusia di muka alam ini. Iaitu tak dapat hendak dihitung kebajikannya melainkan siapa-siapa yang telah mahir dan biasa di dalam pekerjaan berniaga barulah ia tahu tali perhubungan di serata-serata negeri.

Dari itu, patutnya masa ini kita berkuat bersungguh-sungguh hati mengorbankan diri kita termasuk pada bilangan jemaah pada perniagaan.

Adapun perniagaan yang penulis kehendakan itu tidak sekali-kali berkehendakan modal yang besar mengikut kaum yang telah maju itu ((tidak!)).

Sekadarkan berharap kaum kita begini hari mulailah menjalankan ikhtiar terutama niat serta anggota dan bersungguh-sungguh hati menjalankan dengan perlahan-lahan seumpama pokok kayu yang kecil yang baru bertanam. Dan kita berharap sampai sedikit masa lagi, pokok itu membawa pada besar dan dapatlah kelak kita merasa buahnya dan keuntungannya yang berganda-ganda dengan sebab berganda-ganda keuntungannya itu mudahlah kita membeli pula tanahnya dan rumahnya dan isinya.

Agak penulis begitulah asal mereka-mereka yang mendapat kemajuan sehingga kita nampak pada hari ini kaya raya di hadapan kita.

Ya kaumku yang terbelakang! Tanamlah pokok-pokok itu atau yang seumpamanya itu supaya dapat kita menyaksikan berapakah keuntungannya tanaman pokok yang kecil itu. Dengan inilah jalan dapat pula kita pokok-pokok yang rendang besar membeli atau membuka perniagaan yang lain pula.

Penulis terlalu hairan kebanyakan kaum kita kononnya berjual barang-barang yang kecil itu segan benar-benar tidak memadai dengan keuntungannya.

Ya! Itu benar!

Tetapi jika untung 5 sen, sepuluh kali berapa?

Penulis menjawab jika jumlah 50 sen sehari dan berapakah sebulannya?

Jika 2-3 macam jenis perniagaan, tiga kali lima puluh, bukankah $1.50? Berapakah sebulannya?

Jika hitungan kasar $45, hampir sama dengan gaji kerani di dalam pejabat kerajaan. Dan jika bertambah lagi ganda keuntungan sama juga dengan gaji pegawai-pegawai tinggi.

Maka jawatan perniagaan masa ini tengah kosong terbuka di seluruh alam Melayu. Kiranya kaum kita Melayu yang ingin hendak berniaga bersungguh-sungguh, ambillah jawatan ini yang hampir beratus-ratus dan beribu-ribu kosong, hanya setengah bahagian Melayu belum juga sama dengan tauke-tauke dan naina-naina dan Tuan-Tuan dan Mister-Mister. Carilah ikthtiar supaya kita bersama-sama memegang jawatan kemajuan perniagaan Melayu.

Tak usahlah kita bermimpi hendak menjadi kerani atau pegawai-pegawai yang besar di dalam jawatan kerajaan kita yang telah penuh itu, memadailah surat akuan pelajaran itu ditukarkan dengan jawatan berdagang berjual beli. Kiranya untung dan maju bila-bila juga sesuatu masa kerajaan tidak juga lupa memberi kita JP atau Honourable ataupun MSC.

Pada fikiran penulis, bila-bila pun masa kalau sekadarkan hendak berjumpa Tuan Pesuruhjaya Besar, senang ditunjukkan sahaja card pekerjaan Tuan-Tuan yang berhajat hendak bercakap dan diterima lebih tinggi daripada pegawai-pegawai besar.