Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 10 Oct 1931, p.8

Editorial.

Apa Akan Jadi Jikalau Berpanjangan Hal Yang Demikian Ini?

Daripada akhbar bulan September yang lepas sehingga hari ini, hal kehidupan dan perniagaan telah bertambah-tambah dahsyat daripada kesempitan dan kesusahan yang telah lalu. Terlebih dahulu daripada akhbar September yang telah lalu, perniagaan telah mati dan wang sangat-sangat payah.

Maka dengan sebabnya segala barang-barang telah turun harganya hingga orang-orang yang miskin dengan dua tiga kupang boleh bergerak makan anak beranak laki bini. Tetapi daripada akhbar September dengan terkejut telah jatuh harga ringgit kita dan naik harga wang lain-lain kerajaan dan naik harga emas, maka menurunlah naik sertanya segala barang-barang yang datang dari lain-lain negeri.

Tidaklah juga hairan kita jikalau naik harga barang-barang dari Belanda kerana naik harga rupiah dan naik harga barang-barang Eropah kerana naik harga Poundnya atau wang-wang kerajaan Eropah bagaimana naik harga wang Jepun, Cina dan Siam.

Tetapi yang tersangat-sangat hairan, naik harga barang-barang makanan yang tiada kena-mengena dengan kenaikan harga wang ini, seumpama barang-barang makanan cabai, garam, dan beras Rangoon atau rumput-rumput yang dijual di kedai-kedai Cina.

Apalah hal akan jadi kehidupan kita jikalau berkekalan lama lagi hal yang demikian ini? Barang-barang perniagaan hasil bumi negeri kita tidak ada harga, wang kita jatuh harganya daripada wang lain-lain kerajaan, orang-orang kaya negeri bertambah-tambah kuat menyimpan wangnya, orang-orang tua apatah lagi, barang-barang makanan bertambah-tambah naik harganya, orang yang tiada pekerjaan tentu akan bertambah-tambah bilangannya, hasil-hasil kerajaan wajib ditunaikan pada tiap-tiap masanya dengan tiada rahmat rahim bagi meringankan dia.

Pengharapan kita bari pertukaran pemerintah kerajaan di dalam London daripada kebangsaan belum ada tampak satu apa-apa pun pergerakannya, hanyalah masa ini di dalam berbuat-buat memilih member-member Parliament baru, maka adakah pengharapan kita lagi boleh dapat mendengar apa-apa rundingan kerajaan dengan bersegera pada meringankan bala yang telah menimpa dan yang akan menimpa lagi, apakah macamnya bagi masa yang akan datang?

Wahai sekalian saudara! Sedar dan ingatlah!!! Dunia akan Kiamat, baiklah berkira persediaan bekal perjalanan yang akan bertukar ke alam yang lain daripada alam yang telah biasa kita hidup di dalamnya selama ini.

Tidakkah Tuan-Tuan sekalian ketahui sekarang ini barang-barang mas kita pada tiap-tiap hari ada keluar daripada negeri kita pergi ke sebelah benua Eropah tidak kurang daripada harga tujuh delapan puluh ribu ringgit satu hari. Maka berapa lamakah lagi boleh tahan tidak habis mas yang ada di dalam negeri kita ini, jikalau kekal setiap-tiap hari perjualan sebanyak itu bagi kegunaan negeri-negeri luar? Tidaklah pada wang kita jatuh harganya, maka mas kita pula ditarik oleh orang keluar negeri kita, pada akhirnya apakah yang boleh tertinggal kepada kita lagi?

Ingat! Ingat! Ingat! Saudara! Saudara! Saudara! Bagi kehidupan masa yang akan datang!!