Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 9 Aug 1932, p.1

Leader Article.

Apakah Gunanya Membaca Suratkhabar dan Majalah-Majalah.

Bahwa sesungguhnya telah ada banyaklah sudah penulis-penulis suratkhabar-suratkhabar dan majalah menerangkan di atas kegunaan atau kelebihan orang yang membaca suratkhabar dan majalah, akan tetapi di sini inginlah rasanya di hati hendak menulis di atas qadar pendapatan saya pada mencuba atau menerangkan pertanyaan yang di kepala rencana ini, itu pun lamun sudi kiranya Tuan Pengarang Saudara ini masukkan di celah-celah ruangan akhbarnya yang termashyur di alam Melayu ini, mudah-mudahan dapat ia memberi ingat kepada yang lupa kena memberi ketahui pada orang yang tak tahu iaitu:

Siapa hendak melihat pati kebajikan insan yang syatar bacalah suratkhabar dan majalah.

Siapa hendak merasai tersingsing tangan baju hemahnya dan naik gembira hatinya mencapai perkara yang memberi manfaat selalulah perhatikan suratkhabar dan majalah.

Siapa hendak mendengar petir atau halilintar pergerakan kemajuan baru di dalam dunia, lihatlah suratkhabar dan majalah.

Siapa mengetahui rahsia dirinya jahil dan hina serta bodoh boleh juga didapati di dalam suratkhabar dan majalah.

Siapa berhajat kepada guru datang ke rumahnya hingga dapat nikmat lazat syarahnya sambil melintang atas tempat tidur dan pengajarannya boleh masuk ke dalam dada cubalah ambil suratkhabar dan majalah.

Siapa yang hendak mengiburkan hatinya daripada dukacita ambillah erti suratkhabar atau majalah.

Siapa hendak menjadi penyuluh kaum atau menggilap fikirannya bagi memimpin kaum janganlah bercerai daripada suratkhabar dan majalah.

Siapa hendak luas pemandangan mata zahir atau mata hatinya ulang atau selalu diperhatikan makalah Tuan-Tuan Pengarang dan Penulis yang bijaksana di dalam suratkhabar atau majalah.

Umum pada mulut orang hal keadaan berkata ((engkau ahli siasat)) khutbahnya kepada orang yang tiada bercerai dengan suratkhabar dan majalah.

Siapa hendak berjumpa dengan kepala hikmat perhatilah di dalam suratkhabar dan majalah.

Orang yang sayang akan tarikh masanya iaitulah orang yang menyimpan suratkhabar dan majalah.

Siapa hendak mengetahui perkara yang wajib atas dirinya bagi tanahairnya dan boleh keluar daripada kelebur leceh dan hina sekolah, baca suratkhabar dan majalah.

Siapa hendak mengetahui membela dirinya yang sebenar dan menunjukkan seterunya yang menjerat batang lehernya boleh juga dengan wasitah suratkhabar dan majalah.

Siapa hendak mengetahui dan melihat, mendengar dengan nyaringnya akan percawangan atau peperangan insan di medan yang luas -- berbagai macam aneka tombak meriam letup senapang serta pencak silat cakap, tombak menombak dan tangkis-menangkis perbahasan kerana menuntut kebenaran ialah suratkhabar dan majalah.

Orang yang bijaksana hendak mengetahui kekayaan Allah Ta`ala di dalam alam mengikut peredaran masanya tiadalah susah kerana tiada berpegang dengan suratkhabar dan majalah.

Utusan umum rakyat bagi rajanya atau pemerintahnya iaitulah suratkhabar dan majalah.

Utusan bangsanya yang jauh datang memberi tahu hal ehwalnya kepada anak watannya, lebih senang diketahui di dalam suratkhabar dan majalah.

Tanggungan yang berat tiada seorang pun yang upaya cakap menanggungnya, itu pun boleh ditanggung oleh suratkhabar dan majalah.

Tempat menangis rakyat atau hamba kerana ditimpa bala sengsara, iaitulah di dalam suratkhabar dan majalah.

Pemimpin umat kemudian tamadun dan tempat mesyuarat am iaitulah suratkhabar dan majalah.

Seteru orang yang zalim iaitulah suratkhabar dan majalah.

Mengetahui rahsia sesuatu terkadang terbentang di dalam suratkhabar dan majalah.

Torpedo atau meriam besar umat menembak seterunya yang zalim iaitulah suratkhabar dan majalah.

Rakyat yang hendak mengetahui zalim rajanya bacalah suratkhabar dan majalah.

Tidak lepas pemandangan lebih daripada lingkungan dapurnya melainkan kemudian daripada membaca suratkhabar dan majalah.

Boleh juga keluar daripada umpama katak di bawah tempurung dengan wasitah suratkhabar dan majalah.

Yang selalu bermakalah di dalam suratkhabar dan majalah, pendapatnya amatlah panjangnya faedah dan besar gunanya suratkhabar atau majalah itu.

Maka padalah kiranya saya sebutkan pada ini atas mengambil ingatan dan pengetahuan pada merebak-merebak yang tersebut di atas adanya. Was-salam.

Ibn Abdul Rahman.