Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 19 Sep 1932, p.4

General Article.

Melayu Belum Layak Menjadi Member Sanitary Board Pun?

Di dalam Mesyuarat Majlis Kesihatan kota ini ((Kuala Lumpur Sanitary Board)) dan kemudian daripada telah menjalankan pekerjaannya seperti biasa, masalah Ahli Member Melayu telah disebut-sebut sebagaimana berikut.

Pengerusi ((Chairman)) menghala kepada sesuatu soal yang diterimanya dari Mr. Lai Tek Loke bertanyakan adakah masih ada sebuah kerusi yang bukan rasmi di dalam Majlis Sanitary Board itu untuk utusan Melayu. Jika ada, apakah sebabnya kerusi itu tertinggal kosong selama tiga tahun, dan adakah tidak dihajatkan supaya kerusi itu diduduki selekas-lekasnya?

Pengerusi itu menerangkan bahwa bilangan kerusi di dalam Majlis itu tidak dihadkan dan pada masa ia datang di dalam tahun 1929, adalah pada masa itu seorang Member Melayu yang berhenti sendiri tahun itu juga. Ia telah mencuba tahun 1930 dan tahun 1931. Demikian lagi di dalam tahun ini hendak mencari seorang Member Melayu dan telah mengadakan penyelidikkan mencari orang yang patut, iaitu seorang gentlemen Melayu yang tahu bahasa Inggeris serta berada; semacam keadaan Tuan-Tuan sekalian.

Tetapi percubannya mencari seorang Member Melayu itu tak jadi, dan ia suka menerima siapa-siapa yang disyorkan oleh Member-Member.

Towkay Lai Tet Loke tak tahu, adakah Pengerusi itu bersungguh-sungguh mencari. Katanya mesti ada seorang Melayu di dalam kota ini yang layak di dalam sebarang hal untuk menduduki sebuah kerusi di dalam Majlis itu. Ia tak tahu juga adakah Pengerusi itu telah bertanya kepada Persekutuan-Persekutuan Melayu.

Pengerusi menjawab, berkata; saya telah menyebutkan hal itu kepada tiap-tiap satu daripada Resident yang ada di dalam tempoh itu, dan hasilnya sama juga ((yakni Member Melayu yang layak tidak ada)). Ia akan bersukacita jika Towkay Lai Tet Loke boleh mengesyorkan kepadanya.

Towkay Lai Tet Loke merasa dukacita kerana bahwa selama tiga tahun, sebahagian daripada tempohnya kerusi itu telah diduduki oleh seorang Melayu yang di dalam jawatan kerajaan dan di dalam fikirannya orang-orang Melayu itu sendiri patut bersedia mengesyorkan siapa?

Pengerusi, yang demikian itu boleh mendukacitakan, saya bersetuju.

Towkay Lai Tet Loke juga menghalakan perkataannya kepada kerusi-kerusi orang putih yang kosong selama beberapa bulan itu. Kemudian berbalik bercakap tentang masalah kerusi Melayu. Kata tauke itu:

Telah menyebabkan saya berfikir dengan teramat dahsyat bahwa kemudian daripada 50 tahun di bawah pernaungan Inggeris di dalam negeri-negeri ini maka orang-orang Melayu itu terlalu banyak dari mereka itu saya kira sebagai sahabat-sahabat saya, masih belum boleh memenuhi kerusi kosong. Yang demikian itu, oleh kerana mereka sokai ((makan lazat-lazat)) dan penakut, kecemiduan, dan kebetina-betinaan.

Ia berharap bahwa percubaan itu bolehlah diganda-gandakan supaya diperoleh wakil Melayu di dalam Majlis itu supaya jangan timbul sungutan yang Sanitary Board itu dijalankan dengan tidak ada percampuran mereka.

Pengerusi bertanya kiranya jika terbayang yang muslihat-muslihat Melayu itu telah dilupakan dan diketepikan?

Towkay Lai Tet Loke: Saya tak berhajat memberi sangka yang demikian itu.

Pengerusi: Apakah sangka-sangka yang lain yang boleh diletakkan di atasnya?

Tuan Hinds menerangkan bahwa tidak disyaratkan di dalam undang-undang Sanitary Board menguntukkan bilangan kerusi kepada sebarang bangsa.

Di bahas di dalam Ruangan Pengarang.