![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 15 Dec 1932, p.3
Advertisment.
Siapa Suka Harga Getah Mahal? Bacalah Iklan di bawah Ini!
Suatu Mesyuarat bagi sekalian penanam-penanam getah akan diadakan di Town Hall Kuala Lumpur, pada pukul 12 tengah hari pada hari Sabtu, 17 haribulan December 1932, dan di Dewan Panggung Wayang Towkay Yap Kean yang bernama Alladdin Theatre Hall, Kelang, pukul 12 tengah hari, pada hari Ahad, 18 December, dengan pimpinan Persekutuan Tuan-Tuan Kebun Getah Tanah Melayu ((The Malayan Estate Owners Association)) kerana hendak memikirkan serta mengesahkan tujuan-tujuan yang di bawah ini, jika dibenarkan.
1. Iaitu dari sebab hal yang mendatangkan kemakmuran bagi negeri itu suatu perkara yang berwajib, maka patutlah perusahaan mengeluarkan getah itu diadakan sekali lagi dengan jalan keuntungan.
2. Jalannya bagi mengurangi pengeluaran getah itu, mahulah diadakan sekatan yang disertai oleh beberapa kerajaan.
3. Maka dengan segeranya akan dipinta kerajaan membarui rundingannya dengan kerajaan Belanda serta kerajaan-kerajaan yang lain kerana mengadakan sekatan yang tersebut itu.
4. Maka apa-apa jua rundingan yang dijalankan oleh kerajaan atas tujuan ini, maka iaitu hendaklah dengan kesukaan Tuan-Tuan Kebun, yang terutama sekali patut difikirkan dahulu ialah Tuan-Tuan kebun bangsa Asia. Maka nasihat mereka-mereka yang bukan Tuan-Tuan kebun tiadalah akan dijemput.
5. Maka adalah syarat-syarat bagi menjalankan ikhtiar sekatan itu telah diaturkan mana-mana yang boleh bersetuju dengan kemahuan-kemahuan kerajaan Belanda, iaitu sepanjang yang telah diberi tahu mereka. Serta mana-mana yang perlu telah dinyatakan jua oleh persekutuan penanam-penanam getah ((RGA)). Dan lagi, adalah ikhtiar ini boleh menyamakan dan menguntungkan kepada ke semua mereka yang menanam getah dan jua menetapkan harga getah supaya boleh dijual dengan harga yang boleh mendatangkan keuntungan.
Di bawah inilah ringkasnya ikhtiar mengaturkan keluaran getah dibawa keluar negeri dengan sekatan.
1. Adapun keluaran kependapatan kebun-kebun itu tidaklah akan disekat.
2. Pengeluaran akan dikurangkan dengan menghadkan dibawa ke luar negeri.
3. Membawa keluar getah akan disekat dengan jalan dikenakan cukai dengan getah jua, bukannya dengan wang.
4. Getah yang diambil jadi cukai itu bolehlah dibayarkan dengan satu harga di dalam satu masa yang akan ditentukan.
5. Wang yang dikehendaki bagi bayaran itu akan diperolehi daripada cukai yang khas pada masa membawa keluar getah yang akan datang kelak.
6. Getah yang tiada dibawa keluar bolehlah dipergunakan jadi minyak umpan api atau barang-barang lain yang boleh diperniagakan..
7. Penguasa yang akan menjalankan ikhtiar ini bolehlah diserahkan kepada suatu anggota yang mengandungi beberapa bangsa yang dibenarkan oleh kerajaan dan penguasa itu akan jadi wakil bagi ke semua Tuan-Tuan kebun getah.
8. Bagi menanam getah yang di ke hadapan kelak akan ditanam dengan dihadkan selagi jumlah keluaran hasil kebun-kebun getah yang ada sedia ini mencukupi sebanyak mana yang dikehendaki.
top |