Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 5 Jan 1932, p.5

Editorial.

Seruan Kita, Hidupkanlah Perusahaan Bangsa Kita.

Seruan yang tertera di atas boleh dikata tak pernah putus di dalam suratkhabar-suratkhabar kita dari dewasa, yang telah lalu, mau pun dewasa kini. Itulah suatu dalil menunjukkan bahwa perusahaan bangsa kita sangat kurang diutamakan oleh bangsanya sendiri, apalagi oleh bangsa lain.

Mengutamakan perusahaan bangsa sendiri itu memang dipandang wajib oleh tiap-tiap bangsa yang berkemajuan di muka bumi ini. Tetapi sebaliknya, bangsa-bangsa yang masih di luar garis kemajuan itu memang belum mengerti bagaimana mengutamakan perusahaan bangsanya dan tidak pula hairan jika mereka itu tidak menampak aliran kebajikan yang akan diperoleh oleh bangsanya apabila ia sama mengutamakan perusahaan bangsanya sendiri.

Kita mesti menyebut meski sebutan itu menyedihkan hati bahwa pernah kedapatan circular-circular yang ditaburkan oleh anak-anak bangsa kita yang mengandungi seruan Majukanlah Perusahaan Bangsa! Hidupkanlah, Bertolong-tolonglah! Dan lain-lain seumpamanya. Pada masa menyerukan perniagaannya tetapi sayang circular-circular itu dicetak bukannya pada percetakan bangsanya, apa sebabnya?

Jangan keliru! Bukanlah kita menyebut yang demikian itu oleh kerana pejabat kita mempunyai matbaah sendiri.

Semua orang memang bebas pada fikiran dan hartanya, tetapi kita berdukacita kerana ia merasa harus menyeru kaumnya minta memajukan perusahaannya, tetapi ia sendiri lupa memajukan perusahaan bangsanya.

Kita tidak akan terkasar jika kita katakan anak-anak bangsa kita yang menggembirakan dirinya bagi orang yang kasihkan bangsanya hanya pada lidah sahaja kerana yang kasihkan bangsanya dengan amalan belum berapa kerat.

Jika diselidiki siapakah yang memajukan dobi menyesalnya akan dapati iaitulah mereka-mereka yang tak pernah terjerit-jerit minta memajukan perusahaan bangsanya dengan lidah mereka, tetapi mereka bekerja memajukan bangsanya dengan amalan mereka.

Jika diselidiki lagi bahwa dobi Melayu yang baru tiga tempat ((di Kampung Baru, Gombak dan Batu)), itu boleh dikata adanya sebagai sekolah dobi untuk mengajar anak-anak bangsa kita ilmu mendobi.

Orang-orang yang boleh memandang jauh sedikit dari hidungnya akan menampak sekurang-kurangnya faedah persekolahan.

Mengadakan sekolah dobi itu tentulah akan menjadi keberatan kepada bangsa kita, tetapi jika dobi itu diutamakan sahaja, artinya berdirilah sekolah itu sendirinya dan perlahan-lahan akan mengeluarkan murid-murid yang boleh mengemudikan sebuah kedai dobi pula sendirinya.

Bagi orang-orang yang menampak faedah yang lebih jauh tidaklah akan menjadi halangan kepadanya jika bajunya berkerumut sedikit atau kurang bersih sedikit dari bangsa lain kerana ia tahu tukang dobi bangsa itu semakin lama semakin cekap. Sedang pula ia seolah-olah bersama mendirikan sekolah dobi. Jika kurang bersih sedikit, itu akan menjadi halangan siapakah yang akan menghidupkan dobi itu? Dan bilakah anak-anak bangsa kita faham satu-satu perusahaan?

Tukang-tukang dobi itu bukan sahaja sekadar menghidupkan perusahaan dobi tetapi harus pula akan menghidupkan perusahaan membuat sabun. Kerana tukang-tukang dobi itu perlu memakai banyak sabun. Semakin banyak kedai dobi bangsa kita, semakin banyak pula mereka menggunakan sabun. Dan tak syak lagi di dalam itulah pula akan terdiri sendirinya kilang sabun bangsa kita.

Boleh jadi pada mulanya sabun buatan bangsa kita itu tidak begitu terpuji; tetapi jika diutamakan oleh bangsanya tidak pula ada halangannya sabun-sabun buatan Melayu itu, akan bertambah terpuji dan boleh mengganding buatan lain.

Apabila kilang-kilang sabun terdiri, kilang-kilang itu akan menjadi sebagai sekolah pula. Tidak ada halangannya kilang-kilang sabun bangsa kita terdiri di sana sini. Pada masa itu kilang-kilang itu pula akan melakukan berapa banyak minyak kelapa, iaitu satu daripada perusahaan dan penghidupan bangsa kita yang asli di Semenanjung.

Begitulah seterusnya apabila minyak kelapa semakin laku, perusahaan minyak kelapa itu akan menarik perusahaan yang lain pula bertali-tali hingga sampai ke gudang.

Sanya rugilah mereka-mereka yang tidak mengutamakan perusahaan bangsanya.