Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 16 Jan 1933, p.7

General Article.

Pemalas.

Oh! Ya! Sudah memang kita ketahui berapa lama yang perkataan pemalas itu sudah menjadi suatu ejek-ejekan bagi bangsa lain kepada kita Orang Melayu. Akan tetapi bagi fikiran kita tiada apalah nasihat yang boleh diberi kepada orang-orang kita Melayu melainkan sendirilah sahaja mengambil timbang rasa di atas hal kehidupan kita orang-orang Melayu kerana sudah menghabiskan beberapa zaman yang telah lalu melainkan dengan kehidupan kesusahan sahaja dari sehari ke sehari, sebulan ke sebulan, habis tahun berganti tahun.

Bukankah patut sudah kita Orang Melayu mengambil insaf semuanya itu terbit daripada penyakit pemalas juga agaknya?

Dan lagi, semenjak hari ini, patutlah kita Orang Melayu yang mana ada memegang jawatan pemalas itu akan menghapuskan sama sekali kerana bukan masanya lagi jawatan itu akan dipangku. Patut akan digantikan pula dengan jawatan usaha dan rajin. Kerana itulah yang memberi lebih berfaedah kepada kita masa sekarang. Lihatlah salah satu dalam ruangan Majlis bilangan 109 yang ada dikemukakan dua gambar ahli syarikat telur ayam orang-orang Melayu kita.

Tidak dapat tiada tentulah oleh sebab usaha dan rajin Tuan-Tuan itu maka dapat ia mengadakan syarikat itu dan tiada lupa juga Tuan itu meminta doa kepada Tuhan seru sekalian alam akan melanjutkan usia syarikatnya. Bukannya Tuan-Tuan ahli-ahlinya itu sahaja akan menadahkan tangannya ke langit, sepatutnya kita segala umat Melayu pun akan menadahkan tangan ke langit juga bersama-sama meminta doa supaya akan dilanjutkan oleh Tuhan akan usia syarikat Tuan itu.

Dan juga jangan lupa kita akan memperhargakan segala perniagaan syarikat-syarikat bangsa kita. Itulah yang lebih lagi boleh membawa usia yang lanjut bagi syarikat-syarikat kita Melayu. Barangkali di sinilah baru hilang segala tuduhan-tuduhan bangsa lain mengatakan Melayu pemalas itu. Was-salam.

Oleh Abat, Bukit Peringai.

11.1.33.