Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 17 Aug 1933, p.1

Leader Article.

Semenanjung Tanah Melayu bagi Anak-anak Melayu Bukan Bagi Bangsa Asing.

Jangkanya kita tidak akan berdosa jika kita berkata walau kena di hadapan siapa sekalipun bahwa adalah Semenanjung Tanah Melayu ini ialah bagi anak-anak Melayu atau dengan lain-lain perkataan kepunyaan orang-orang Melayu yang mana telah dinaungi oleh kerajaan Inggeris yang maha adil, hingga sampailah bagaimana yang ada pada hari ini.

Tetapi sungguh pun begitu, jika kita memandang kepada penduduk-penduduknya yang mana kedapatan bangsa-bangsa asing itulah yang lebih ramai bilangannya daripada orang-orang Melayu hingga mana telah menyebabkan kekayaan Semenanjung habis dibolot oleh bangsa asing. Bahkan lihatlah pekan-pekan ((bandar-bandar)) sama ada yang besar-besar hingga sampai kepada yang sekecil-kecilnya melainkan bangsa-bangsa asing itulah yang mendudukinya. Pendeknya kaum yang kaya raya di dalam Semenanjung ini ialah bangsa asing.

Oleh kerana bangsa mereka itu yang kaya raya di Semenanjung ini jadi terbitlah fikiran mereka itu hendak menuntut persamaan hak dengan orang-orang Melayu hingga mana mereka itu telah mengeluarkan beberapa hujah sama ada di dalam suratkhabar-suratkhabar Inggeris, lebih-lebih lagi agaknya di dalam suratkhabar bahasanya sendiri. Sedang pula penganjur mereka itu yang di dalam Legislative Council di Negeri Selat, Federal Council di Negeri Persekutuan tidak jemu-jemunya memohonkan kepada kerajaan dengan meminta itu dan ini yang mana berkesudahan mereka itu telah beruntung jua oleh sebab kerajaan telah membukakan pintu telah terbuka di Negeri-Negeri Selat untuk bangsa Malayan.

Maka tak syak lagi di dalam tidak berapa lama di belakang tidak dapat tiada nescaya tentulah penganjur-penganjur Malayan di dalam Negeri-Negeri Persekutuan ini memohonkan pula kepada kerajaan meminta kepada kerajaan supaya mereka itu dibuka pula jawatannya FMS MCS untuk bangsa mereka.

Tetapi oleh Negeri-Negeri Persekutuan ini masih berlainan sedikit daripada Negeri-Negeri Selat terutama Negeri-Negeri Persekutuan ini masih ada Raja-Raja Melayu. Oleh itu kita cukup yakin tidaklah akan bermaharaja-lela sahaja sebarang tuntutan mereka itu, teristimewa penganjur-penganjur Melayu yang di dalam Federal Council itu masih kedengaran kuat, mempertahankan hak orang-orang Melayu.

Sampai sungguh hati bangsa-bangsa asing di Semenanjung melakukan muslihatnya terhadap kepada orang-orang Melayu. Bahkan hingga ada pula yang berani berkata bahwa katanya Semenanjung ini bukan negeri Melayu tetapi ... ha!

Beraninya mereka itu ((barang dijauhkan Allah kiranya kejadian yang demikian itu!)) di dalam kita tafakur menulis rencana ini, kita telah terkenang akan perkhabaran di dalam suratkhabar-suratkhabar mengatakan Cina-Cina telah terhalau dari negeri-negeri Mexico.

Oleh itu, timbullah pertanyaan kita di sini; iaitu mengapakah sampai begitu sekali bencinya kerajaan Mexico, terhadap kepada orang-orang Cina di dalam negerinya?

Adakah orang-orang Cina di sana hendak menjadi anak negeri Mexico ataupun adakah suara-suara Cina-Cina di sana mengatakan anak negeri Mexico asalnya dari negeri Cina? Begitu juga kita cukup hairan mengapakah agaknya jawatan Straits Civil Service di Negeri-Negeri Selat untuk bangsa Malayan.

Orang-orang Melayu sekarang patutlah sedar dan mengetahui bahwa adalah bangsa-bangsa asing di Semenanjung ini dari sehari ke sehari semakin mendesak jua di atas kehidupan orang-orang Melayu.

Bahkan bukan sahaja mereka itu hendak meminta jawatan-jawatan yang tinggi, tetapi jua jikalau getah dan bijih ini semakin terbenam, maka tak syak lagi mereka itu akan terburu-buru memintah tanah-tanah persawahan yang beribu-ribu dan berjuta-juta ekar di dalam Negeri-Negeri Melayu ini untuk bangsa mereka itu.

Dan pada masa itu bagaimana agaknya nasib orang-orang Melayu?

Penganjur-penganjur kaum Malayan itu tidaklah jemu-jemunya mencari hujah-hujah yang baru yang mana difikirkannya lebih munasabah buat menuntut hak di Tanah Melayu ini, di dalam mana baru-baru ini mereka itu telah bersorak sama sendirinya dengan beberapa kegirangan oleh kerana mendengar pidato Yang diHormati Dr. Von Stein Callenfels di Rotary Club Pulau Pinang mengatakan bahwa adalah kira-kira 40,000 tahun yang telah lalu kedapatan suatu tempat tanah kampung orang-orang Melayu di Selatan negeri Cina yang mana bererti orang-orang Melayu Semenanjung ini asalnya dari negeri Cina.

Hal ini kita tidak akan menulis pemandangan kita pula kerana Tuan Pengarang Bumi Putera Pulau Pinang telah menangkis di atas perkara itu dengan panjang lebar pada beberapa bilangan Bumiputera yang telah lalu, hingga mana Tuan Pengarang Majlis telah masuk bercampur.

Sebagaimana jawatan Straits S.C. orang-orang Cina di sana tidak bertegang meriah sebagaimana di dalam Semenanjung mengatakan haknya masih banyak, dan mereka berhak tinggal di sana buat selama-lamanya.

Di dalam pada itu, adalah jua perkhabaran yang boleh menyejukkan telinga orang-orang Melayu mendengarnya satu daripadanya bahwa askar Melayu yang di Port Dickson itu telah diakui oleh Tuan Yang Terutama di atas kejayaan hingga Tuan Yang Terutama berkata hendak mengadakan rumah-rumah yang kukuh buat tempat kediaman askar-askar Melayu. Oleh itu, maka tak syak lagi di dalam sedikit masa yang akan datang dapatlah kita orang-orang Melayu melihat negeri-negeri Melayu ini dijagai oleh askar-askar Melayu sendiri, Allah selamatkan Negeri-Negeri Melayu!

Hingga ini berhenti kita dahulu dengan harapan ampun dan maaf. Was-salam.

Majlis, Kuala Pilah.

14 August 1933.