Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 6 Dec 1934, p.7

General Article.

Adakah Perniagaan dan Rumah-Rumah Asap Getah Kepunyaan Orang-Orang Melayu?

Sekarang ini memang disebut orang zaman perkongsian banyak kita melihat atau mendengar syarikat-syarikat perniagaan bagi orang-orang Melayu dengan membangunkan share-share sama ada perniagaan barang-barang makanan, pakaian dan kedai-kedai minuman.

Penulis bermusykil hati kerana didapati di seluruh Semenanjung ini mesti ada orang-orang Melayu yang mempunyai kebun-kebun getah dikecualikan seorang dua tiap-tiap sekampung. Tetapi sebaliknya pula, kebanyakan teraju-teraju perniagaan ini tergenggam di dalam tangan bangsa-bangsa asing.

Mengapa kita mesti berkata demikian?

Pembaca-pembaca akhbar yang budiman cuba saksikan dan menungkan darihal perniagaan ini! jika ditilik dengan pemandangan yang kasar sekali pun nescaya kita dapati segala-galanya, terutamanya perniagaan kecil seumpamanya, di kampung-kampung; apatah lagi di pekan-pekan, getah-getah orang Melayu terpaksa di jual kepada bangsa Cina yang sememang hendak melonggokkan harta pesaka dan kekayaan di bumi orang-orang Melayu buat bekalan akan dikirimkan ke Tongsan.

Saya berani berkata di halaman Majlis ini, kerana saya telah pernah melihat di kampung-kampung satu daripadanya di mukim Ulu Langat, penduduk di sini lebih tiga suku orang-orang Melayu yang hampir-hampir semua mempunyai kebun-kebun getah, tetapi terpaksa berpikul-pikul dan berlori-lori getah orang-orang Melayu dijualkan kepada bangsa-bangsa Cina dengan pakai harga lebih kurang sahaja; walau sebagaimana elok sekalipun getah-getah perbuatan bangsa kita, jika dibandingkan dengan mengikut syarat-syarat yang sempurna dikehendaki.

Sungguh pun begitu, tak pernah getah-getah itu melebihi getah perbuatan bangsa mereka itu.

Jangan tidak tau bahwa Cina-Cina sekarang tengah berfikir, kita hidup di sini mesti "bungkus", perbendaharaan anak negeri Melayu. Sekarang ia tidak mendapat dari perniagaan barang-barang makanan dan seumpamanya, tetapi meresap pula seperti di dalam sekam, dari perniagaan getahlah pula ia mesti memperdayakan kita dengan seberapa bolehnya.

Kita sekarang anak-anak negeri wajib sedar bahwa pada tiap-tiap bulan anggaran seribu tan getah-getah keluaran di dalam Selangor mesti dihisab oleh mereka itu, kecualikan kepunyaan mereka itu sendiri, dan kepunyaan saudagar-saudagar bangsa asing.

Jika ditilik dari situ berapakah banyaknya kerugian orang-orang Melayu pada tiap-tiap bulan, seperti anak air melurut keluar melimpah dari perbendaharaan anak negeri kepada bangsa asing.

Sebagaimana jalan anak-anak negeri Melayu mesti berikhtiar supaya terselamat nasib bangsa Melayu sekarang telah banyak kongsian perniagaan bangsa-bangsa kita seperti yang saya kata di atas, bersusah hati saya kerana syarikat perniagaan membeli getah-getah belum sampai dibilang sepuluh peratus, kalau dibandingkan dengan lain perniagaan yang tengah berjalan dengan peraturannya.

Penulis berharap kepada penganjur dan ketua tiap-tiap kampung supaya mengetahui membuka teraju-teraju perniagaan getah bagi orang-orang Melayu dengan bayaran share-share seperti membuka kedai-kedai syarikat yang lain-lain juga.

Bahkan tentang perkara ini wajib kita bersegera mendirikannya, supaya kelak sedikit hari lagi tiada orang-orang Melayu berjual getah kepada bangsa-bangsa asing. Dengan jalan ini, dapat pula kita menolong anak-anak muda Melayu yang tiada pekerjaan iaitu diambil dan dilatih di dalam kedai-kedai itu.

Demikian juga penulis belum mendengar atau terbaca di dalam suratkhabar-suratkhabar perihal rumah-rumah asap getah kepunyaan orang-orang Melayu ataupun syarikat orang-orang Melayu kerana mengasap getah-getah bangsanya.

Hanya saya pernah melihat sendiri getah-getah Orang Melayu terpaksa diasapkan kepada bangsa Cina. Cuba lihat bangsa-bangsa Cina di dalam tiap-tiap sebuah kampung yang berkebun sendiri, serta mengambil sewa yang telah berpatutan kepada bangsa-bangsa kita. Jika kita ada sebagai yang demikian, alangkah baiknya?

Pada fikiran saya, di dalam tiap-tiap kampung walau seberapa banyak sekalipun ada rumah-rumah asap getah orang-orang Cina, wajib juga ada sekurang-kurangnya satu kepunyaan syarikat-syarikat orang-orang Melayu.

H.A.