Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 7 Apr 1932, p.6

General Article.

Nasib Orang-Orang Melayu di Bentong.

Oleh Encik di Bentong.

Kedengaran jua ke telinga kita banyak saudara-saudara merungut katanya Encik selalu menulis ke dalam akhbar mengatakan orang-orang Melayu miskin dan lain-lain.

Ya! Orang berkata itu ia belum berfikir jauh lagi terhadap pada bangsa dan tanahairnya. Daripada orang lain meludah muka kita baik kita meludah sendiri.

Apa kalau kita berdiam diri sahaja, tak tahukah bangsa-bangsa asing itu akan orang Melayu miskin? Aduh! Bangkai gajah tak akan boleh ditudung dengan nyiru. Adakah dan di manakah ada terbangun perniagaan, factory-factory, estate-estate orang-orang Melayu yang luas?

Siapakah pengisi bandar-bandar di Semenanjung ini? Fikir-fikir! Wahai sahabat kita tulis dan seru seberapa yang kita dapat berfikir bukan menjadi nama kemasyhuran dan manfaat diri sendiri. Tetapi atas nama bangsa yang telah abhi [?] cintai bersama-sama darah daging, kita kata terang-terang apa gunanya kesenangan, kekayaan, kemuliaan, kalau kaum bangsa kita Melayu terhina. Bahkan samalah kita terhina sekali, aduhai! Bangsa Melayu memang terpandang rendah dan hina daripada segala golongan bangsa di dunia.

Kalau satu perempuan Eropah atau Amerikan berkahwin dengan Melayu nanti itu perempuan dianggap hina samalah macam kita berkahwin dengan orang Sakai. Sila pembaca saksikan sendiri.

Jerit pekik di surat-surat khabar meminta orang-orang Melayu bersatu, bermuafakat, buangkan hasad, dengki dan ... dan ... dan ... itu Orang Melayu masih tidur.

Ya! Orang Melayu lebih suka jadi bangsa Red Indian iaitu putera asal negeri benua Amerika tidak mempunyai tanahair lagi, semuanya terserah kepada bangsa Amerikan, iaitu satu bangsa baru terbit pada kurun masehi kedelapan belas dahulu. asalnya daripada bercampuran bermacam-macam darah dari benua Eropah, bahasa yang lazim dipakainya bahasa Inggeris.

Sekarang orang-orang Melayu wajib sedar! Bangsa Malayan akan bangkit pula di Semenanjung ini. Agaknya harus memakai Bahasa Cina pula, yang akan dipakai ghalib, apa sukakah Orang Melayu demikian?

Ya! Kalau pandang arah ke Singapura memang telah jadi orang-orang Melayu tak ada tempat lagi, semuanya dipenuhi lain bangsa. Orang Melayu melarat .... Sudah tiga empat tahun kita mencampuri suratkhabar, tidak pernah kita berbahas-bahas hanya kita cari untuk berfaedah kepada bangsa sahaja. Di antara Pembaca yang berakal tentu maklum bagaimana luar biasanya kemahuan kita, tetapi tak pernah abhi [?] sebutkan dengan mulut hanya tertanam di kepala sahaja oleh tak ada pimpinan yang boleh diharapi. Sekarang sahabat saya ialah akhbar-akhbar sahaja. Walaupun ubun-ubun saya masih lembut dipandang orang. Tetapi abhi [?] berani berterus terang dengan tidak berasa ngeri dan takut kerana godaan darah kebangsaan yang mendidih itu. Biarlah orang nak kata.

Memang sebelum menerima kebaikan mesti menerima keburukan lebih dahulu, sebab buruk itu senang mendapatnya jalan terus. Well! Sudah lama saya meleret mari kembali ke dasar kepala rencana ini.