Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 28 Jan 1935, p.12

Feature Article.

Sebabnya Orang Melayu Lambat Maju.

Ialah Kerana Sifat Takut Membuta Tuli Itu.

Dua pemerhatian dibandingkan.

Manakala kita menungkan dengan permenungan yang mengambil masa yang panjang pada dewasa fikiran yang sejahtera. Dan mengingatkan ehwal yang telah lalu. Dan kita bandingkan bagaimana keadaan di hari ini, daripada mana yang kita akan berkata bahwa inilah hari kebebasan dan kemerdekaan dan pelajaran. Bukan sahaja begitu juga ialah suara rakyat didengar oleh pihak yang berkuasa. Hatta di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan di Tanah Melayu ini setengah-setengahnya ada diuntukkan kerusi buat ahli-ahli yang bukan rasmi, wakil orang-orang Melayu; bagaimana di Singapura, di Johor, dan negeri persekutuan. Dan bolehlah kita berkata sebelum pemerintah British memerintah di bumi Melayu ini senantiasalah berlaku perkara-perkara yang dahsyat dan zalim dilakukan oleh penduduk bumi Melayu. Lebih-lebih pula mereka-mereka yang hampir kepada Raja dan Orang-orang Besar, amatlah menyombong, bengis dan ... dan ...

Kiranya adalah bumi kita ini masih adanya pemerintah yang adatnya bagaimana adat pemerintahan Raja-Raja Melayu zaman dahulu, maka sudah tentu yang kita tidak akan dapat merasai bagaimana nikmat dan kesenangan pada pemerintahan yang di hari ini.

Dengan demikian, ialah telah menunjukkan bahwa pemerintahan British yang ada hari ini ialah seadil-adil pemerintahan, lebih-lebih pula timbang rasa kepada rakyat yang mempunyai bumi Melayu ini ada sangat diambil berat. Dan kemerdekaan kita adalah boleh digalakkan berjalan dengan seterusnya. Maka daripada mana telah didapati gerak geri kaum kita hari ini ada sebab bagi dipercayakan akan maju yang sekarang sedang melangkah kepada tapak kemajuan yang kita berharap akan mendapat kemajuan yang dicintai, iaitu kemajuan dan tamadun yang berasas yang tidak tergelincir daripada landasan yang dibenarkan oleh Islam kita yang hak.

Langkahan kaum kita hari ini belum boleh dikatakan maju, tetapi tidaklah salahnya kita sedang pukul lima pagi, apakah sebabnya demikian?

Di sini biar penulis menjawabnya.

Iaitu ialah diumpamakan satu pokok yang baru hendak tumbuh selepas daripada himpitan dan lindungan kayu yang besar, kerana adalah dewasa pemerintahan raja zaman dahulu kebanyakan kemerdekaan yang ada kepada rakyat tidak berjalan dengan sebetulnya. Maka dengan pemerintahan yang bukan adil itu, rakyat-rakyatnya hanyalah dengan merendahkan diri dan taat yang membuta tuli. Sebarang titah perintah wajib turut, dan tidak boleh dibahas, diingkar lagi, sekalipun perintah yang tidak harus dikerjakan melainkan wajib diturut. Di sini bolehlah disifatkan bagaimana ketaatan seekor lembu yang dipukul gembalanya. Maka adat ketaatan itu telah menjadi adat yang rasmi kepada orang-orang Melayu tempoh itu. Dan kebebasan telah tidak dapat dengan sepenuhnya, maka daripada baki takut dengan membuta tuli itu masih ada lagi hingga ke kurun ini.

Oleh kerana yang demikian, boleh dijadikan satu sebab yang kelambatan kaum Melayu daripada mendapat kemajuan kerana selamatnya yang bangsa Melayu kita di bawah naungan dan terlindung daripada bahaya kemajuan adanya. Was-salam.

Bamboo Pontian Pian, Barat Terengganu.