Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 26 Mar 1935, p.12

Feature Article.

Kemajuan Melayu Pahang Melangkah Setapak.

Berbahas Mencari Jalan Kebajikan.

Oleh N.P.

Kalau ditilik kepada Orang Melayu di sebelah negeri ini, iaitu Pahang, boleh dikatakan tidak sebegitu banyak percampuran dengan Orang Melayu Sumatera dan Jawa, serta orang-orang Islam India, melainkan sejati-jati Pahang. Dengan sebab itulah, lambat benar mereka itu bergerak atau hendak mengubahkan kehidupan secara yang dikehendaki di zaman ini.

Tetapi di dalam masa itu tidak pula berputus harap penganjur-penganjur yang muda-muda berteriak dan berseru berkehendakan perubahan secara kemajuan bangsa dan negerinya. Buka ruangan-ruangan akhbar Majlis ((tarikh Perkhabaran Pahang)), tentulah boleh didapati ada tersebut sebuah kedai syarikat Melayu di bandar Kuala Lipis hendak didirikan orang yang berjawatan kemajuan disyorkan oleh seorang penganjur Inggeris sebagai Tuan dia.

Di jajahan Lipis itu suka kerajaan hendak melihat orang-orang Melayu maju di dalam hal perniagaan, tetapi beberapa kali mesyuarat, belum didapati keputusan yang menepati bagi kehendak oleh yang sebenar. Hanya di dalam angan-angan kehidupan juga. Tetapi di dalam tahun yang bertuah ini, 1935, seorang penganjur kebangsaan telah diadakan di Pahang, buat menguruskan secara kecermatan anak negeri dan hal syarikat-syarikat itulah suatu alamat negeri ini akan melangkah dari setapak ke setapak.

Hatta, setahu kita, tatakala mana suatu seruan daripada setengah-setengah ahli fikiran berkehendakan sebagai ketua-ketua kampung Melayu itu, bangun dan sedar akan ketinggalan kaum kita di dalam hal-hal kemajuan bangsa. Buah seruan semacam itu telah diterima baik oleh segala Datuk Datuk Penghulu di sebelah jajahan Kuala Lipis, tatakala suatu Mesyuarat Terbuka berkenaan dengan kedai syarikat Melayu bandar Kuala Lipis itu.

Kita sangat-sangat sukacita melihatkan kesanggupan penganjur bangsa itu telah bercakap dengan ketulusan hatinya kerana sedia menyokong kemajuan kaumnya yang sedang tertinggal begitu jauh ke belakang. Kita nampak tiadalah akan berkemunduran lagi jika penganjur-penganjur kampung Melayu itu telah sedar sebagaimana yang telah diketahui tatakala diadakan Mesyuarat Kedai Syarikat Melayu pada 1.3.35 yang lalu itu, di atas kemahuan dan kesanggupannya yang berpatutan dengan jawatan dan cita-cita yang maha baik itu.

Kemudian daripada itu, kita telah mengetahui hati guru-guru Melayu yang di kampung-kampung memang telah sedia dan idamannya akan kemajuan kaum dan tanahairnya, mengaku beserta dan setia dengan ketua-ketua di kampung-kampung itu dengan tidak mahu undur ke belakang benang arang pergaulan dan persyarikatan seumpama itu. Oleh mana ada harapan mendapat sokongan yang besar daripada Encik-Encik Kerani Melayu dan kakitangan kerajaan yang sedia berkediaman di bandar-bandar itu, hari-hari mencurahkan wangnya ke kedai-kedai bangsa lain untuk keperluan dapurnya, tak usah pula disebut tentang pakaian dan lain-lainnya sudah tentu masuk ke poket Cina dan lain-lainnya.

Faedah-faedah bersyarikat dan bertolong-tolongan sesama sebangsa dan satu ugama itu banyak orang yang telah mengerti dengan kasar sahaja. Tetapi tatakala ada kedai syarikat Melayu itu kelak, datanglah lagi mendalamkan kajiannya kepada ahli-ahli syarikat itu khasnya. Tetapi Melayu Raya tidak ketinggalan. Pada fikiran kita pada perhatian gerak geri pengawas-pengawas dan ahli-ahli syarikat itu semasa akan datang. Jika dipandang di atas penganjur-penganjurnya yang telah terbentang ke medan kemajuan dunia sekarang pergerakan kedai syarikat Melayu bandar Kuala Lipis itu, bukan sahaja menjadi tawarikh di jajahan Lipis, melainkan menjadi suatu asas tawarikh Melayu Pahang, sama ada kemajuannya dan kemundurannya.

Yang demikian itu, seelok-eloknya segala pengawasnya dan ahli-ahlinya bekerja keras dan banyak-banyak mengeluarkan buah fikiran supaya hidupnya berpanjangan kepada anak cucu kita di belakang. Bukannya faedah diri sendiri, atau faedah semasa hidup kita sahaja. Tujuan semacam itu adalah salahnya dan kurang tepat kena tujuannya.

Dan lagi, pada pemandangan kita yang kedai syarikat Melayu di kepala negeri ini sudah tentu besar faedah jika diluaskan dan dilebarkan pemandangan kepada fikiran dunia sekarang kerana di jajahan ini ada mengandungi 20 buah mukim yang ada pendiam-diamnya semua Orang Melayu belaka yang berkehendakan membeli sebilang-bilang saat dan waktu barang-barang makanan dan pakaian. Tidak ada jalannya yang mendatangkan kerugian atau tak dapat untung. Jika segala ahli-ahlinya memegang rahsia dan nama persyarikatan serta amanah dan membuangkan hasad dengki sesama sendirinya, terkecualikan ahli-ahlinya yang gemar memecahkan amanah kaum dan tanahairnya itu tak dapat dikirakan walau seberapa banyak modal sekalipun akan habis.

Kita mengesyorkan kepada orang-orang kita yang di sebelah sini sampailah masanya kita mencari ikhtiar membaiki pergaulan kehendak kita di antara satu dengan jalan beramah-ramah dan berkenal-kenal di dalam perjumpaan seumpama bermesyuarat atau bersyarah dan berbahas mencari jalan kebajikan yang belum berapa digemarkan oleh orang kita di negeri ini supaya tiap-tiap orang boleh mengerti jalan-jalan peraturan hidup bertamadun zaman sekarang dengan dididiki dan dilatihi oleh penganjur-penganjur yang bijaksana tatakala kita sekalian sudah mengerti akan faedah-faedah sesuatu benda. Tentulah gemar dan tidak sayang membuangkan wang kepada jalan yang ada berfaedah kepada ramai dan negeri.

Cubalah kita rasa sesuatu yang sudah kita dapat lazatnya dengan kemudahan sahaja kita mengeluarkan wang dengan tidak ada rasanya lagi seumpama menengok wayang itu. Tetapi hendak memasukkan diri menjadi ahli syarikat; tentu ada rasa lainnya di hati kita bukan?

Oleh kerana kita belum tahu kegunaannya yang sejati, demikianlah fikiran kita dahulu akan diri pula pemandangan lain kali tentang lain-lain hal bersangkutan dengan bersyarikat dan persatuan.

Was-salam.