Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 15 Apr 1935, p.7

Editorial.

Di Manakah Jalan Keselamatan Bagi Orang-Orang Melayu.

Tidak akan bertengkar bahwa jalan keselamatan bagi orang-orang Melayu itu jika dikata memang di tangan Orang Melayu sendiri, kerana belum kedapatan suatu kaum di bawah awan yang hijau ini yang telah maju dan terselamat kehidupannya melainkan dengan bersungguh-sungguh mereka sama mereka tegak dan berdiri di atas kakinya sendiri.

Mana-mana yang kuat memimpin yang lemah yang celik memimpin yang rabun, yang cerdik memimpin yang bodoh, yang kaya memimpin yang miskin. Begitulah seterusnya mereka bersama-sama menjaga keselamatan dirinya dan kaum bangsa suatu tanahairnya.

Orang-orang Melayu boleh kata telah beruntung dengan kedatangan kerajaan British yang telah menjaga dan menyelamatkan daripada segala jenis kebutaan dan kesengsaraan hidup di zaman sebelum datangnya. Tetapi keuntungan itu jika kita umat Melayu hanya seperti si kudung mendapat cincin, yakni tidak kita tau menghargakannya, apalagi tidak mencari atau membuka jalan untuk menambah modal-modal yang telah ada itu, nescaya untung itu akan menjadi sia-sia sahaja.

Pada masa yang akhir ini, kita boleh menyombong melihatkan keadaan umat Melayu kita telah beransur-ansur bergerak dan berdiri sekalipun di sana terdiri, di sini terjatuh, tetapi kesombongan kita itu jika hanya kita bersama-sama bersorak-sorak sahaja, tidaklah boleh diharap akan kekal, apalagi akan bertambah pergerakan itu.

Oleh itu sudah sewajibnya bagi orang-orang Melayu yang ada berdarah keMelayuan walaukan sebesar parah sekalipun, hendaklah bersungguh-sungguh bersama-sama pula menjadi beberapa jalan bagi menambahi keselamatan diri dengan kaum bangsa serta tanahair.

Kita umat Melayu mesti berfikir bahwa percaturan hidup semakin hebat, perjuangan hidup semakin dahsyat, pergaulan hidup semakin kelat, mata pencarian semakin tersumbat. Di manakah jalan keselamatan bagi anak-anak Melayu yang akan datang?