Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 6 May 1935, p.8

General Article.

Ke Manakah Orang-Orang Melayu Patut Menuju Dengan Sebenarnya?

Oleh Samat.

Maha besar tempik sorak kaum Melayu seluruh alam Melayu ini menyeru kaum bangsanya kepada sedar, jangan lalai, segera maju ... dan ...dan ... dan sebagainya.

Maka adakah segala tempik sorak itu telah memberi bekas kepada Orang Melayu di seluruh alam Melayu ini?

Boleh jadi sedar dan boleh juga dikatakan belum perkara ini penulis tinggalkan kepada pengetahuan ahli pembaca semua pada menerangkan. Dan sekarang berbaliklah pula penulis pada hendak melajakkan perjalanan kalam penulis pada perkara yang awal dibentangkan ini.

Syahdan adalah kebanyakan buah qalam yang dapat dijumpa di akhbar-akhbar dan majalah-majalah Melayu pada masa ini ialah berasas kepada kemodenan, iaitu laki-laki begitu juga perempuannya.

Maka ke manakah tujuan yang sebenarnya?

Patut mesti kita semua cebiskan fikiran pada menujunya; kepada modenkah?

Tetapi pada fikiran penulis tentulah tak begitu molek kiranya kita mesti berkata mesti menuju kepada haluan kita yang sebenarnya kepada kesemodenan itu. Dan begitu juga tak begitu molek kiranya kita mesti meninggalkan sama sekali yang sebenarnya kita jadikan tujuan tiruan kemodenan itu seolah perisai sahaja; bukanlah patut mesti kita jadikan pakaian kita apa kata pengarang dan membaca!!!???

Maka sebenarnya patut kita menujukan haluan kita semua orang-orang Melayu baik laki-laki mahu pun perempuan ialah kepada ugama kita. Bahwa adalah sebenarnya sedar dan maju tiap-tiap bangsa itu ialah mereka yang senantiasa berpegang kepada ugamanya. Maka sejahat-jahat dan sebodoh-bodoh manusia itu mereka yang tidak menurut akan segala hukuman ugamanya, telah diketahui adalah semulia-mulia ugama yang di dunia ini dan di akhirat kelak, ialah ugama Islam.

Maka satu daripada bangsa yang berpegang kepada ugama Islam itu ialah orang kita Melayu. Maka tidaklah wajib kita semua orang-orang Melayu menerima syukur atas kurnia Tuhan ke atas jenis kita itu? Jika patut apakah mesti kita buat? Maka bolehkah kita berharap jika sekiranya diri kita telah termasuk kepada suatu kumpulan yang mulia. Maka kita pula tidak hendak bertugas membuat pada perkara yang boleh jadi memuliakan diri kita sendiri.

Maka kita membuat suatu perkara yang ditegah oleh kumpulan itu. Pada hal kita berharap pula akan mendapat kemuliaan seperti orang yang sangat bertugas pada mengerjakan segala yang disuruh. Maka adakah mereka itu akan dapat merasa akan kemuliaan yang dihajatnya itu?

Tentu tak syak lagi bahwa mereka itu kelak akan putus harapnya daripada mendapat yang demikian itu tidak dapat tiada mereka itu kelak akan menanggung kesesalannya yang amat sangat pada akhirnya selama-lamanya.

Maka apakala telah diketahui sayogianya bagi barangsiapa yang tiada berusaha kepada perbuatan yang kelak boleh memuliakan dirinya kelak, ianya akan terhina. Maka tidakkah wajib kita semua menujukan haluan kita kepada ugama kita ((Islam)), pada hal telah kita ketahui dengan jelasnya adalah ugama kita ((Islam)) itu ialah semulia-mulia dan sebenar-benar ugama. Dan sayogianya bagi barangsiapa yang berpegang kepadanya dengan sebenarnya. Mereka itulah kelak akan mendapat kemuliaan dari dunia hingga ke akhirat kelak.

Oleh yang demikian sebagaimananya wahai orang Melayu sekalian wajiblah menungkan atas apa yang telah kita lakukan yang telah lalu itu dengan timbangan neraca keadilan supaya kelak tidaklah kita terjumlah kepada kumpulan yang berharapkan kelak mendapat kemuliaan, pada hal tidak ianya sedar bahwa adalah segala perbuatannya itu boleh jadi menyebabkan yang ia terpaksa tercebur ke dalam suatu kumpulan yang hina selama-lamanya kelak.

Maka jika sekiranya telah kita jalankan timbangan yang tersebut adalah kita dapati yang diri kita telah terjumlah kepada suatu kumpulan yang kelak boleh mendapat kemuliaan, wajiblah kita menerima syukur kepada Allah subhanahu wa-ta`ala, yang telah mengurniakan kita pada yang demikian. Dan demikian juga jika sekiranya telah tercebut ke dalam kumpulan yang boleh menjadikan hina wajiblah kita menarik diri kita daripada kumpulan itu dan bermohon ampunlah kita kepada Tuhan kita yang amat murah lagi yang amat mengasihani kepada sekalian hambanya dan kelak ianya akan mengampunkan kealahan kita itu, selagi ada masa bagi kita pada memohon keampunan itu adanya.