Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 10 Jun 1935, p.12

General Article.

Pemandangan Kemajuan Anak Negeri Melayu.

Oleh A.N.P.

Anak Negeri Yang Diam Di Kampung.

Adapun anak negeri yang diam di kampung itu lazimnya disebut orang kampung pekerjaannya yang khas ialah bertanam padi, tetapi bukan sekadar itu sahaja pekerjaannya yang dibuat. Ada lebih banyak lagi, iaitu lebih kurang seperti di bawah-bawah ini:

Yang Pertama, Bertanam Padi. Yang Kedua, Bertanam Kelapa. Yang Ketiga, Bertanam Pokok Buah-buahan. Yang Keempat, Bertanam Pinang ialah bahagian di mana dengan sirihnya sahaja ((di setengah-setengah tempat)). Yang Kelima, Bertanam Sayur mayur ialah bahagian makan sendiri sahaja. Yang Ketujuh, Memelihara hidup-hidupan. Yang Kedelapan, Bertanam Kabung dan Tebu kerana manisan.

Yang Kesembilan, Pokok Kekabu kerana tilam dan bantal dan lain-lain.

Peraturan yang dibuat itu ialah suatu kemajuan orang-orang kita Melayu yang masih berkekalan yang ada hari ini, dan masa-masa yang akan datang.

Kanak-kanak Yang Lepas Daripada Sekolah Melayu.

Kanak-kanak sekolah Melayu yang khatam itu tiga suku kehidupannya ialah bertanam padi. Suatu sebutan yang mudah ialah Orang Kampung kanak-kanak, tiga suku inilah yang hendak diperbaiki untung nasibnya. Oleh penganjur bangsa kerana telah dilihat kanak-kanak apakala mereka itu telah lepas daripada bangku sekolahnya di dalam masa berumu 15,16,17 tahun. Kemudian daripada itu, mereka telah mengambil rehat di dalam masa 2,3,4 tahun bersenang-senang diri konon.

Ibu bapanya tiada upaya mengawali dan nasihat-nasihat yang diberinya tidak amat dihargakan dan pengajaran serta nasihat daripada guru-gurunya sudah luput semua sekali daripada telinga dan mata hatinya.

Pekerjaan yang diperbuat oleh pemuda-pemuda itu adalah sedikit-sedikit menolong pekerjaan ibu bapanya, yang lebih banyak membuang masa yang sia-sia sahaja.

Kemudian daripada itu, atau di dalam tempoh itu juga, mereka itu sudah berkahwin yang dijodohkan oleh ibu bapanya menurut adat yang biasa walaupun mereka itu tidak tahu mencari wang atau tiada faham mendidik anak isteri yang secara patutnya.

Apakala mereka itu sudah berkahwin, sudah tentu runsing kepada nafkah isterinya yang muda dan gemar berpakaian yang elok.

Jika tiada dapat terpaksalah ibu bapanya menyokong dan membelikan pakaian anak menantunya. Kemudian daripada setahun dua adalah ternasib baik telah dapat menimbang-timbang anak yang comel. Ketika itu semakin susah fikiran untuk mencari kesenangan ialah bekerja itu semata-mata mencari duit untuk membeli pakaian dan makanan hari-harian sahaja.

Jalan membuat harta sedikit pun belum ada, kenyangkannya mereka itu telah mengerjakan harta ibu bapanya mana-mana yang ada kalau tiada sudah tentu mengambil upah kepada orang-orang lain di dalam kampung itu.

Di dalam 5,6 tahun lepas, berkahwin belum ada memiliki tanah baru yang diusahakan oleh mereka itu sendiri. Jikalau ada sekalipun satu dua ekar ialah pemberian ibu bapanya. Di situlah mereka itu berusaha berbalik-balik dengan pendapatan yang sedikit. Beginilah kebanyakan yang telah didapati pada tiap-tiap kampung dan dusun kaum kita itu.

Ada pun pekerjaan yang lain itu serupalah juga bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Adakah suatu jalan yang boleh membaiki nasib anak-anak kampung yang telah bersekolah atau yang tiada bersekolah itu semasa ini????

Barangkali banyak ahli-ahli pembaca boleh memberi jawab di atas soal yang demikian itu. Sebelum kita mendengar jawapan ahli-ahli fikiran yang lain biarlah kita sendiri menjawabnya dan memberi pertolongan fikiran di atas hal yang tersebut itu.

Tiap-tiap kampung yang ada bersekolah hendaklah mendirikan suatu syarikat mentadbirkan kehidupan murid-murid tua sekolah di kampung itu. Atau syarikat membaiki nasib kehidupan pemuda-pemuda kampung. Maka jalannya mendirikan syarikat itu, bolehlah bermuafakat guru-guru yang ada di sekolah itu atau guru-guru yang bersara kalau ada di kampung itu, dijadikan setiausaha di dalam syarikat atau sesuatu pakatan.

Maka anak-anak kampung yang ada makan gaji diangkat menjadi ahli-ahli yang kehormat atau penasihat-penasihat yang khas kerana orang-orang makan gaji itu kita perjayakan ada sedikit kelebihan fikirannya dan banyak pendengaran yang telah diterimanya daripada suratkhabar-suratkhabar.

Agaknya tentulah mereka itu suka hendak mendengar riwayat kampung halamannya menjadi sesuatu tempat berkemajuan.

Syarikat Jimat Cermat Bagi Murid-Murid.

Kita menjemput kaum guru-guru kerana kaum gurulah penganjur anak negeri yang terlebih ramai di seluruh alam dunia Melayu ini akan mengadakan percubaan atau mendugakan fikiran sebagaimana dituliskan di atas ini.

Adapun kanak-kanak sekolah itulah kita berharap akan meninggikan nama Melayu semasa akan datang oleh yang demikian cubalah kita tanamkan benih-benih yang hak bagi anak tangga yang pertama di dalam pergaulan kehidupan.

Kita boleh ambil suatu bilangan yang sehabis rendah dan berpadan dengan pendapatan orang kampung yang pertengahan kehidupannya tiap-tiap seorang murid-murid hendaklah menaruh duit simpanan pada tiap-tiap sebulan 10 sen.

Bolehlah dinamakan "Syarikat 10 sen sebulan, kerana jimat cermat bagi Murid Sekolah Melayu" itu.

Adalah masanya seorang murid-murid itu bersekolah tidak kurang daripada 5 tahun terkadang-kadang mencapai 6,7,8 tahun. Bukankah sudah wang persimpanan kanak-kanak itu sekias-kias apakala dia berkhatam kelak. Kemudian apakala ia telah keluar daripada sekolah hendaklah dipindahkan wangnya itu ke dalam "Syarikat Murid-Murid Sekolah" itu pula bahwa dengan aturan yang demikian ini tidaklah murid-murid sekolah Melayu itu berlepas seperti kerbau tidak berkandung dan membawa tanduknya yang bengkok itu ke hulu ke hilir seperti yang ada zaman ini, dan semasa yang telah lalu itu.

Jikalau sekiranya kaum guru-guru membuat dan undang-undang kerajaan meluluskan aturan seperti dituliskan ini di dalam masa 10 tahun ke hadapan, nescaya tiadalah berani orang-orang kampung mengatakan sekolah Melayu itu tiada berapa berguna dan membuang-buang masa hidup sahaja sebagaimana ada terdapat tempoh ini.

Sekarang!!! Marilah kita mengubah atau memecah langkah kepada kemajuan yang lebih-lebih bermakna dan kena kepada hati anak negeri yang masih gelap dan kelam itu. Kita berharap kepada guru-guru Melayu itu janganlah segan mencurahkan akal ikhtiar kepada kaumnya yang di kampung-kampung itu supaya pekerjaan guru-guru itu lebih mulia dan berguna kepada kaumnya dan pelajaran sekolah Melayu.

Mudah-mudahan mendapat darjah yang pertama kepada akhir zaman kelak cubalah menungkan oleh kuasa pelajaran Melayu dan penyiasat-penyiasat penghidupan Melayu!!!!