Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 19 Sep 1935, p.12

General Article.

Fikiran di atas Kemajuan Melayu. ((sambungan))

Oleh Abdul Majid Fadhil al-Muari.

Sambungan dari Muka 1.

Pertolongan kerana membangunkan sekolah tinggi umpamanya pada ketika itu berkatalah orang yang di pihak Selatan di negeri saya pun belum dapat membangunkan sekolah tinggi, inikan pula hendak menolong Tuan, sabarlah dahulu ...demikian jua yang lain-lain lagi. Tetapi kiranya sudah ada perasaan satu, nescaya terpeliharalah daripada yang tersebut kerana pada ketika itu, kita tiada memandang kepada negeri siapa? Di sebelah mana? Nama siapa?

Bahkan kita memandang semata-mata muslihat amlah ((semuanya Islam)) dan kiranya terdiri sekolah tinggi di Utara, dengan perbelanjaan orang Melayu, nescaya atas nama Melayu juga jadi manakala sudah ada perasaan yang demikian tiadalah tersekat lagi pada tolong menolong dan sebagainya itu.

Tolong menolong. Daripada tolong menolong dan bantu membantu terbit beberapa kejayaan, sekalipun perkara-perkara yang besar, kerana faedah tolong menolong itu memang telah sedia di ingatan semua manusia betapa tidak!!!! Alangkan ((serong)) semut putih yang begitu kecil boleh mendirikan busut dengan membantu antara satu sama lain, begitu juga keadaan manusia ((mereka-mereka yang telah berkemajuan itu)).

Kerana Allah subhanahu wa-Taala telah membahagikan kita kepada beberapa bahagian seperti kaya, miskin, alim, jahil, besar, kecil, mulia, hina, jarang benar didapati berhimpun semua bahagian-bahagian itu di atas seorang melainkan kebiasaannya; manakala alim miskin, dan manakala kaya jahil. Begitu jua yang lain-lain dari itu, kiranya tiada tolong menolong, betapakah boleh berjaya segala pekerjaan mereka seperti orang yang alim atau bijak pada serba-serbinya? Maka kiranya pihak yang kaya tiada mahu membantu menghamburkan ilmunya itu kerana pekerjaannya itu berkehendakan belanja.

Menaruh kepercayaan. Menaruh kepercayaan ini boleh dibilangkan setengah daripada syarat-syarat bagi kejayaan tolong menolong dan lain-lainnya ... tetapi kiranya kita tiada menaruh kepercayaan nescaya kelak tiada berjaya juga, betapa tidak?

Seperti seorang kaya ada cita-cita hendak menolong siapa jua yang berhajat ataupun ia hendak membantu modal perniagaan ke atas siapa jua yang hendak berniaga, tetapi manakala miskin yang dihajat itu terbitlah dihatinya cemburu atau tiada percaya. Pada ketika itu bukankah terbantut citanya yang telah menumpahkan kebajikan itu. Demikian juga seperti orang-orang Eropah kiranya mereka tiada menaruh kepercayaan nescaya tiada terdiri beberapa gudang besar-besar dengan diwakilkan mereka kepada manager-manager dan sebagainya. Demikianlah penulis contohkan sedikit sebagai pandangan sahaja.

Oleh yang demikian berharaplah penulis moga-moga pendita-pendita bangsa kita yang redha dengan ikhlas hendak membangunkan bangsanya boleh berikhtiar mencari jalan-jalan dan syarat-syarat kemajuan itu dengan lanjutnya. Demikian jua hartawan kita; moga-moga tiada mendiamkan diri jua pada mengorbankan di atas yang tersebut.

Had inilah sahaja penulis berhentikan kalam dengan mengucapkan terima kasih yang bersih dan salam keselamatan jua adanya.