Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 7 Oct 1935, p.8

General Article.

Harapan Umat Melayu.

Oleh Pemuda Melayu.

Di manakah pergantungan umat Melayu atas serba bagainya? Jawabnya tak lain ialah pada penganjur, orang-orang besar, serta ketua-ketua kampung? Kalau fasal ugama, tertanggung pada ketua-ketua ugama pula!

Bahagian Yang Pertama.

Di zaman kemajuan, di mana umat Melayu juga di setengah-setengah tempat sudah mulai membuat berbagai-bagai rupa kemajuan, tetapi di sebalik itu ada berbagai hal yang masih boleh kita belum terlurus di dalam percaturan hidup Orang Melayu.

Siapakah tidak akan bersuka hati mendengarkan kemajuan Orang Melayu di tempat-tempat di dalam negeri ini? bahkan, tiap-tiap umat Melayu mestilah "Suka" mendengarkan hal kemajuan itu.

Di Selangor banyak tempat orang-orang sudah mulai meneroka jalan-jalan kemajuan sekolah pertukangan anak Melayu, di Kelang kedai syarikat yang dahulu sudah saya beritakan.

Tetapi patutkah bagi tempat-tempat lain yang belum lagi menurut kemajuan itu, atau tidak hendak meneroka satu jalan kemajuan lain yang patut adanya, dan berfaedah pada anak-anak Melayu itu, tumpang suka sahaja?

Bolehkah dipadankan dengan satu dua kemajuan itu bermakna umat-umat Melayu sudah maju?

Sebagai bukti-bukti penganjur-penganjur yang berjasa yang telah mengeluarkan satu-satu jenis kemajuan itu tentu tidak akan hilang pesaka dari lidah dan kenangan anak-anak bangsanya.

Di sini biar saya beritakan sedikit nama ahli-ahli pengelola yang telah menimbulkan jasa bagi umat Melayu amnya, umpama Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor, mengelolakan dan memajukan berbagai perusahaan anak Melayu di sebelah pantai laut Selangor. Yang Mulia Encik Abu Samah, Pegawai Daerah bagi Kuala Lumpur dan Ulu Langat, yang dengan berbanyak-banyak nasihat dan syornya juga telah nampak kemajuan orang Melayu di dalam mukimnya!

Ada banyak lagi penganjur-penganjur yang seumpama itu. Saya ucapkan syabaslah umat Melayu yang telah menerima ketua yang seumpama itu. Jikalau tidak pun jalan yang diperbuatnya itu mendatangkan -- kemajuan! Tidakkah boleh dibuat contoh?

Wahai ketua-ketua! Tuanlah harap umat Melayu raya buat mengatur-atur menyusun dan menyelamatkan kehidupan Orang Melayu.

Sekarang cukuplah rasanya bagi membukakan perasaan Tuan-Tuan Pembaca. Di sini satu perkara yang besar kita berharap hendak melihat kemajuan umat Melayu di serata tempat dan ceruk di dalam Tanah Melayu ini! bilakah agaknya?

Bahagian Yang Kedua.

Fasal Ugama Islam: di sini biar saya bukakan balik fikiran Tuan-Tuan Pembaca tulisan "Agasca". Saya sendiri rasa agak pedas sedikit tetapi atas kebenaran walaupun perkara yang ditulisnya itu barangkali boleh jadi perkara yang akan datang tidak apa kita boleh juga gunakan akal dan sedikit fikiran.

Di dalam pemandangan kasar sahaja, boleh kata perjalanan ugama kita Islam ini sebenar-benarnya tidak begitu teratur. Beberapa banyak juga penulis-penulis telah mengeluarkan buah fikirannya di atas hal yang nombor satu penting ini. tetapi barangkali belum mendapat perubahan.

Tuan-Tuan Pembaca! Ingatkah lagi cadangan Tuan yang bertanda-tangan "A.Th" di dalam rencananya dalam Majlis ... yang lepas fasal yang ia mencadangkan perubahan jalan mengajar ugama bagi guru-guru ugama di negeri ini ((Majlis bilangan? Saya sudah lupa!)).

Dalam fikiran saya, sebenar-benarnya sekali kerana hendak mencari satu perselesaian dan fahaman yang benar.

Di setengah-setengah tempat, saya cukup hairan sekali yang perselisihan kaum tua dan kaum muda itu juga dikaji-kaji lima enam tahun dahulu di dalam suratkhabar-suratkhabar; memang-memang selalu memberitakan hal itu sahaja-sahaja. Pada fikiran saya ini, perkara itu cuma memandang masa dan mencari jalan pecah belah sahaja. Adakah itu dia suruhan ugama Islam? ((saya meleret sedikit!)). Sekarang tampak-tampaknya hal itu terpulang juga kepada ketua-ketua ugama, siapa dia harapan dan tempat pergantungan umat Melayu!

Bahagian Yang Ketiga.

Di sini, biar saya memberi pula sedikit sebagai nasihat kepada Orang Melayu; cubalah Tuan-Tuan memajukan apa-apa yang telah dibuat oleh orang-orang besar, ketua-ketua dan juga kerajaan untuk kemajuan kampung tempat tinggalmu. Mudah-mudahan cahaya-cahaya kemajuan kaum Melayu akan tampak berbuah dari sehari ke sehari.

Di sini biarlah saya selitkan sedikit perkataan Tuan Dussek, masa syarahannya di perjumpaan guru-guru Melayu yang lepas, bagaimana katanya di hujung syarahnya itu:

Bangkitlah Melayu! Berfikirlah Wahai Kaumku!!!