Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 10 Oct 1935, p.8

General Article.

21 Tahun Bersama-sama Orang-Orang Melayu.

Sambungan dari Muka 9.

Berkenaan dengan ini, ada beberapa ahli-ahli di dalam syarikat-syarikat seluruh negeri ini ada menyimpan qadar 10 sen seminggu kerana membayar cukai tanah masing-masing. Perkara ini tampaknya kecil, tetapi pada tiap-tiap tahun banyak orang-orang kita terpaksa bergadai atau meminjam oleh tiada wang hendak membayar cukai tanah. Selalu jua kita dapati sudah keluar notis baru berbayar.

Terselamatlah kita daripada membayar wang notis ini sekiranya ada kita wang membayar cukai tanah, apakala sampai tempohnya.

Perkara menyimpan ini 10 sen disimpan tiap-tiap minggu terlebih baik daripada menyimpan $1 sekali setahun. Dengan menyimpan selalu walaupun sedikit-sedikit, terbangkitlah tabiat menyimpan.

Sesuatu perkara lagi yang diagakkan oleh Tuan itu ialah di antara orang-orang kita tiada ketua-ketua dan penganjur-penganjur hendak mempunyai tadbir yang sempurna dan perasaan yang luas bagi memajukan kaum. Ini bulan didapati dengan pelajaran dan latihan dan kemajuannya itu tergantung pada sokongan yang diberi oleh orang-orang yang hendak dipimpinya itu.

Barangkali pembaca-pembaca akan bersetuju sekarang tampaknya telah jadi tabiat bagi orang-orang kita bagi memadamkan cadangan dan perasaan yang baik yang dihidangkan oleh orang-orang kita. Barangkali jua pada dahulunya orang-orang kita sudah selalu terkena dan oleh itu sekarang takut terkena pula lagi.

Perkara ini amat besar bahaya atas kemajuan kaum kita perasaan tiada percaya satu dengan lain dan mempersia-siakan fikiran-fikiran dan cadangan-cadangan yang dikeluarkan orang-orang kita itu ialah sesuatu racun yang besar bagi mengganggui kejadian-kejadian yang boleh mendatangkan nikmat orang kita. Jalan yang boleh kita percayakan satu dengan lain dan mendengar nasihat itu ialah dengan bermahir-mahir satu dengan lain dengan selalu berjumpa-jumpa dan bermesyuarat-mesyuarat akan benda-benda yang patut dibuat oleh penduduk-penduduk sebuah kampung itu bagi membaiki jalan kehidupan di dalam kampung itu.

Perkara ini di dalam beberapa kampung sedang dicuba dijalankan dengan perdirian syarikat-syarikat bekerja-kerjasama. Pendeknya, pada fikiran penulis, segenap perkara bagi membangkitkan kaum Melayu seperti seruan Tuan Dussek itu boleh dijalankan dengan jayanya menerusi syarikat-syarikat ini. Inilah pandangan penulis daripada memperhatikan perjalanan syarikat-syarikat ini istimewa syarikat-syarikat kemajuan am. Itulah sebab barangkali Tuan Yang Berbahagia itu berkata:

Sebesar-besarnya pertolongan kepada kaum Melayu ialah syarikat bekerja-kerjasama.

Perkataan ini patutlah telah ditanamkan teguh-teguh di dalam hati sekalian kita yang kasih dan insafkan bangsa yang ada berhati hendak mempereloki keadaan orang-orang kita yang ada pada masa ini sangat daif itu adanya.