Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 1 Aug 1932, p.5

Editorial.

Bolehkah Kita Menjadi Rakyat Bagi Sebarang Negeri yang Kita Sukai?

Soal di atas barangkali telah masak diperbincangkan orang di dunia semenjak kaum manusia telah tahu kasihkan watannya. Bahkan boleh dikata barangkali tidak kedapatan sebuah negeri di muka bumi ini yang tidak menyimpan atau menaruh takrif bangsanya mau pun negeri atau pulau itu di bawah perintah orang, apalagi jika merdeka sendiri semuanya; supaya dapat dipelihara dan dikekalkan hak-hak bangsanya dari diperkaburkan oleh bangsa-bangsa luar.

Begitu pula barangkali soal itu baru sahaja bagi Semenanjung Tanah Melayu. Lebih baru apabila sebahagian besar dari kaum penumpang yang bukan Melayu itu berkira akan mendakwakan bahwa mereka telah menjadi sebenar-benarnya anak negeri yang boleh dianggarkan lagi kerana mereka telah diperanakkan di dalam negeri ini daripada benih manusia yang dijemput dan telah berjasa membuka negeri ini.

Dan bahwa bangsa mereka namanya Malayan barangkali ibarat pulut yang diperam dengan ragi itu telah menjadi tapailah! Bukan pulut lagi!

Di negeri-negeri lain seperti di Amerika dan di Eropah, bahkan di dalam England pun, sememang bahagian dari anak negeri itu berasal dari luar bukan sahaja dari sebekasnya, bahkan hingga dari keturunan Yahudi, sama ada mereka itu berkekalan berbangsa kepada bangsa yang asal ataupun telah menjelma ((bersalin kulit)).

Akan tetapi tak seorang jua pun ingin mereka nama baru seperti Englandian atau Americanian ataupun Jermanian, meski mereka telah memilih dan mengaku menjadikan negeri-negeri yang didiami mereka itu watan jati mereka dan tidak pula pernah kedengaran hak-hak mereka itu dianggarkan atau digalang disekat ataupun dikunci-kunci oleh anak-anak jati.

Bersalahan anak-anak luar Semenanjung ini.

Mereka hendak mengaku menjadi anak negeri akan tetapi bangsa mereka namanya Malayan. Mereka tidak akan mencontoh syarat-syarat bagaimana Yahudi mendapat hak di England dan bagaimana pula bangsa Parsee mendapat hak di India ataupun bangsa Melayu mendapat hak di Ceylon dan di Afrika Selatan.

Akan tetapi mereka Cuma mau hak sahaja. Kita tak lupa berapa banyak Cina dan Keling mengaku dengan mulutnya telah Masuk Melayu; oleh kerana nak kahwin dengan perempuan Melayu!

Dan baru-baru inikan hendak mempertahankan seorang Malayan daripada hukuman buang negeri telah dibela oleh lawyernya dengan mengakukan bangsanya konon Melayu Negeri Sembilan. Akan tetapi oleh kerana ibu bapanya yang dibela itu Cina, maka pengakuan lidah itu tidak diterima oleh Tuan Hakim.

Pada fikiran kita, pengakuan kidah seseorang berhubung dengan pengakuan menjadi rakyat satu-satu negeri itu tidak pula akan diterima orang di mana-mana di dunia ini selagi syarat-syarat menjadi rakyat itu tidak ditunaikan lebih dahulu.

Dan menunaikan syarat-syarat menjadi rakyat itu bukanlah dengan lidah, tetapi mahulah dengan perubahan diri yang diperdapat dengan tabiat alam. Ibarat binatang, maka ayam itu tidak akan diakui orang itik, selagi belum tahu berenang.

Sebab itulah barangkali tak pernah manusia bertengkar dan teraku-aku hendak menjadi rakyat. Yang biasa hanya kerajaan pernah bertengkar mensabitkan rakyatnya.

Kita tidak akan menerangkan bagaimana syarat hendak menjadi rakyat kerana yang demikian itu adalah kewajipan orang-orang yang hendak menjadi rakyat satu-satu negeri. Sungguh pun negeri-negeri Melayu ini belum tetap takrif rakyatnya, akan tetapi tidaklah akan diterima bulat sahaja oleh kerajaan dan raja negeri akan siapa yang tahu berkata: saya anak negeri, saya Malayan dan saya diperanakkan di sini.

Kita suka menerangkan bahwa rakyat jati; bukan rakyat tiru; itu sememang berhak di dalam negerinya. Tetapi negerinya, rajanya dan kerajaannya juga berhak atasnya secara hak raja dan hak rakyat.

Sebelum kerajaan kita memberikan hak kepada bangsa asing dan sebelum mereka itu diakui rakyat yang berhak, patutlah jangan dilupakan akan orang-orang Jerman yang mengaku rakyat Inggeris di England atau di Perancis sebelum berbangkit Peperangan Besar 1914 atau orang-orang Jepun yang telah berhak menjadi rakyat Amerika Syarikat yang dengan tiba-tiba telah menjadi belang apabila Amerika Syarikat bertelingkah dengan Jepun baru-baru ini.

Sebenar-benarnya Melayu di Pulau Ceylon dan Parsee di India telah diberi hak. Akan tetapi bukanlah oleh kerana mereka itu telah me-reka bangsa Ceylonese atau Indianian. Sebenar-benarnya ialah oleh kerana mereka itu menjelma; bersalin kulit; menjadi anak negeri di mana mereka telah beranak pinak hingga putera-putera bumi yang asli tidak bermasam muka mengakukan mereka saudaranya.

Dan tidak pula akan dicememehkan orang apabila mereka mengaku diri anak negeri.

Kita tahu bahwa orang-orang Melayu yang berhak di Ceylon dan di Afrika itu tidak diperhubungan lagi dengan Semenanjung atau Indonesia, meski mereka masih mengaku bangsa Melayu. Barangkali Melayu tak tahu bah besar di dalam Pahang tahun 1932 dan tidak pula mereka hiraukan lahar dari Gunung Keluwit atau Gunung Merapi, ataupun gempa Sumatera yang telah mengorbankan bukan sedikit jua saudara-saudara mereka.

Sesungguhnya kita bingung jika dibandingkan kepada Malayan, apabila utusan-utusan mereka di dalam Legislative Council Kerajaan Selat mau pun di dalam Federal Council pernah meminta supaya hari kebangsaan Tiongkok 10 November itu dimuliakan dan dijadikan Public Holiday, pada masa mereka mengaku berwatankan Semenanjung iaitu selain daripada Malayan-Malayan yang telah berbalik menjadi bangsa yang asal dengan tidak dihiraukan oleh kerajaan di sini.

Barangkali juga datang ke sini tidak dijemput tentulah pulangan tidak dihantar pula.