Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Aug 1931, p.156

Feature Article.

Kemajuan Apa?

Riuh-rendah bunyi suara sekalian manusia berseru-seru dan bersahut-sahut dalam beberapa kertas khabar menyebut-nyebut "kemajuan". Kita belum faham kemajuan yang bagaimana dikehendaki oleh mereka itu. Kita tahu adalah perkataan kemajuan itu asalnya daripada "maju", artinya laju atau mara ke hadapan jika kepada kapal atau perahu atau motokar. Dan jika kepada pelajaran "maju" itu artinya mendapat kebajikan dalam perkara yang dipelajarinya, maka sekiranya tujuan perkataan mereka itu berkehendakan maju seperti bangsa-bangsa di sebelah Barat, dapatlah kita meneka salah-satu daripada empat perkara,

Pertama "Maju Kekuatan", kedua "Maju Kekayaan", ketiga "Maju Pengetahuan" dan keempat "Maju Kebebasan bercampur gaul laki-laki dan perempuan -- tiada bersekatan".

Tetapi bangsa Barat mendapat keempat-empat kemajuan itu tidak sama serampak, dan mereka itu mendahulukan dengan asas bersekutu negeri dengan berbagai-bagai perusahaan. Maka dari perusahaan pekerjaan itulah telah menambahkan cerdik dan luas akalnya dapat mengaturkan berbagai-bagai pengetahuan. Maka dari berbagai-bagai pengetahuan itu dapat diadakan berbagai-bagai perhiasan, makanan, pakaian, kenaikan, hingga menjadi kaya yang besar.

Dari kekayaan dapat menambahkan kekuatannya dan membangunkan beberapa sekolah daripada berbagai-bagai pelajaran yang menyenangkan anak-anak bangsanya yang miskin dapat belajar hingga mencapai setinggi-tinggi darjat. Kemudian daripada itu barulah mereka itu mencuba membuka pintu-pintu kebebasan bercampur gaul laki-laki dengan perempuan, meskipun mereka itu telah terasa salah berbuat demikian itu, dan menyesal dengan sebab bertambah-tambah besar kerugiannya dan kebinasaan bangsanya. Tetapi tiadalah dapat dipulihkan dengan serta-merta atau ditahan dengan kuat kerana pintu kebebasan yang telah dibukakan itu makin bertambah-tambah biak dan lekas menambahkan banyak bilangannya dan cawangannya. Maka dengan kenyataan yang ringkas ini, agaknya dapatlah kita fahamkan kemajuan yang mana patut kita haluankan supaya kita tidak menjadi kelakut mati berkaparan dengan sebab menerkam cahaya kandil yang terang-benderang itu, istimewa kita sekalian baka Islam yang mengaku berugama Islam, tentulah tidak boleh menyamai atau menanding kebiasaan bangsa-bangsa Barat, meskipun kita mengadakan beberapa hajat yang barangkali dapat peluang mengharuskan bercampur gaul itu kerana ugama Islam telah menegah.

Jikalau kita cuba juga hendak bercampur-gaul di antara laki-laki dengan perempuan, seperti bangsa Barat itu seolah-olah kita telah melawan tegahan Tuhan, bahkan akal yang sihat tentulah dapat memikirkan bukanlah kejadian manusia itu berkeinginan adakah boleh terselamat daripada berlaku sebarang merbahaya apabila bercampur-gaul itu? Ini perkara yang sangat mustahil pada akal dikecualikan akal yang telah tertakluk di bawah perintah nafsunya. Maka berbagai-bagailah tipu dayanya menunjukkan kebenaran dan kebersihannya. Malah setengahnya mengaku dengan sebab sempurna pelajaran tidak akan berlaku perangai-perangai haiwan itu di antara manusia sama manusia, tetapi apa ada kekurangan pengetahuan bangsa Barat, kenapakah mereka itu telah melampaui had sempadan? ... Oh! Kita orang Islam, apabila telah sempurna dalam pelajaran agama Islam, tidak merosakkan kehormatan perangai kemanusiaan meskipun bercampur-gaul. Hal ini tidak boleh diterima oleh akal yang sempurna. Mustahil mereka yang sempurna dalam pelajaran agama Islam itu suka bercampur-gaul kerana mereka itu telah mengetahui iaitu perbuatan yang ditegah -- dikecualikan bagi mereka yang mengaku sahaja beragama Islam, tetapi tidak menyempurnakan kehendak-kehendak ugamanya.

Mahal harga manusia itu dengan kerana berperasaan malu, dan tiada iman bagi mereka yang tiada malu. Manusia yang tiada malu itu binasalah maruahnya dengan sebab hilang akal, kerana maruah manusia itu ialah akalnya. Manusia yang sempurna akalnya nescaya eloklah maruahnya. Barangsiapa yang berakal tidak sekali-kali suka bercampur-gaul laki-laki dengan perempuan dengan tiada bersekatan, bahkan mereka yang selama bercampur gaul itu nyatalah tiada perasaan malu lagi kepadanya. Sayogialah jangan dibiarkan anak-anak kita yang hendak mencuba menghilangkan perasaan malu iaitu perangai yang terhak bagi kemanusiaan meskipun dengan sedikit akhirnya penuh cenderungnya dengan keadaan tiada malu yang mana tiada syak akan membawa kepada kebinasaan adanya.

Jentera.