Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Nov 1932, p.306-307

General Article.

Membaiki Kerosakan Sekolah-Sekolah Melayu.

Dalam Tanah Melayu ini ada beberapa banyak sekolah-sekolah dan rumah-rumah guru yang memakai atap nipah. Kerapkali apabila rumah-rumah yang seperti itu rosak atau bocor sahaja sedikit, maka diberilah tahu kepada pejabat raya supaya akan menghantar pegawai Kelingnya dan pemborong Cinanya membaiki kerosakan itu. Dengan jalan itu perbelanjaan kerajaan yang sepuluh ringgit boleh jadi empat lima puluh ringgit. Pekerjaan dan pencarian yang boleh didapati oleh orang-orang Melayu kampung, semuanya habis dibolot oleh orang-orang bangsa asing dan biasanya pula kerosakan atau bocor yang dibaiki itu tidak memberi puashati.

Di salah satu sekolah dalam Selangor baru-baru ini telah didapati atap sekolah dan rumah gurunya bocor. Kemudian daripadanya telah disiasat maka gurunya telah berkata adalah atap yang dikehendaki hanya lebih kurang 300 keping. Harganya tiap-tiap seratus 45 sen. Harga rotan untuk memasang atap itu pula telah dikira tidak pula berapa sen benar. Pada akhirnya telah dapat diadakan sekalian perkakas itu dengan belanja yang tidak lebih dari $2 dan sekalian pekerjaan menaikkan atap itu diperbuat oleh murid-murid yang besar-besar dengan latihan guru-gurunya. Bukannya sahaja duit kerajaan yang berpuluh-puluh ringgit yang akan termasuk ke dalam saku baju kuli bangsa Tionghua itu telah diselamatkan tetapi jua murid-murid dan anak-anak orang kampung itu dapat berlatih membuat kerja yang telah biasa dikerjakan oleh nenek moyangnya. Tentang kerosakan-kerosakan yang besar yang difikirkan tidak terdaya oleh murid-murid membaiki, maka guru-guru akan disuruh menyiasat kira perbelanjaan dan perkakas yang dikehendaki daripada orang-orang Melayu yang di dalam kampung itu dan kiraan itu akan dihantarkan kepada pejabat raya dengan permintaan menggunakan orang-orang Melayu kampung itu membaikinya.

Dalam pada itu bukannya tidak boleh orang-orang Melayu kampung itu memerhatikan dan belajar bagaimana membaiki lantai simen, atap genting, atau tembok batu-bata, supaya pada akhirnya dengan perlahan-perlahan sekalian pekerjaan membaiki rumah kerajaan yang dalam kampungnya boleh terpulang kepada mereka itu.

Tidak berguna kita melaung mengatakan bangsa-bangsa Cina dan Keling itu semakin mencurah-curah datangnya ke negeri kita serta meminta pula supaya kedatangan mereka itu disekat atau diberhentikan, jikalau sekiranya lorong-lorong pencarian mereka itu tidak kita tutup, iaitu dengan mengilirkan kerja-kerjanya yang melapangkan kehidupannya di negeri ini.