Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Nov 1932, p.335-337

General Article.

Roh atau Semangat Melayu.

Roh umat Melayu ditilik oleh orang yang lebih pandai: Sebenarnya roh tinggi dan bersemangat hidup. Akan tetapi berbalik dukacita kita iaitu manakala disiasat roh-roh dan semangat kita tidak sampai hingga ke mana ....

Sebenar-sebenarnya kita tidak melajakkan roh semangat sehingga jejak ke kemuncak, melainkan tertahan-tahan sahaja, sebentar naik, sebentar turun. Hal yang begitu kita boleh jumpa beberapa anak-anak Melayu kita yang sedang bercita-cita tinggi masih tertahan-tahan dan terkapung-kapung, seolah-olah sabut di lautan luas. Apakah sebabnya?

((1) Sebab takut dan gentar :

Umpamanya seorang yang telah mempunyai roh semangat hendak menimbulkan nama bangsa dan tanah airnya. Apabila ada sesuatu gendala yang, sekira-kiranya menghimpit aibnya, maka tergencatlah mereka itu, seperti pokok kepanasan -- diam sejuk tidak bernyawa. Padahal akal yang telah dicurahkah oleh Tuhan untuk memeliharakan roh semangatnya yang memang tinggi itu sedia ada di dalam usaha kemahuannya. Lajakkanlah sesiapa yang ber-roh sebenar-benarnya kasihankan negerinya dan tanah airnya.

((2) Sebab tiada pandai memeliharakan roh semangat :

sekarang kita katakan seorang dari bangsa kita yang telah berperusahaan luas dan bekerja dijawatan tinggi, tetapi sayang tidak pula pandai mereka itu membela dan membina akan kefaedahan roh semangatnya. Jika sekiranya mereka itu berwang -- sepatutnya roh semangat wang itu lebih hargakan -- tetapi sayang segala semangat wang itu yang disifatkan roh yang menimbulkan semangat Melayu hapus dengan jalan yang sia-sia tiada berjimat cermat: adapun jalan yang sia-sia itu tidaklah payah dinyatakan sini, memadai atas timbangan pembaca umat Melayu yang lebih ramai. Kita tidak mengata tiap-tiap orang Melayu demikian keadaannya, tidak! Kerana ada juga yang sekarang ini mereka itu sedang memperelokkan roh semangatnya dan kasih ia akan terbang segala darjatnya yang disebabkan kemahuannya yang menimbulkan sebenar-benar roh dan bersemangat hidup. Akan tetapi itulah tidak hitung bilangan ramai, hanya bilangan yang amat sedikit! Tidak pun sampai 1/10 hal itu kita harapan umat Melayu patut benar menjaga keselamatan dan jalan-jalan yang boleh mengelokkan roh dan semangat itu.

((3) Roh dan bersemangat tidak malu :

tidak malu bukan dibandingkan tidak malu dengan tabiat mencuri dan menyamun yang mengorbankan jiwa dan merosakkan tulang urat; tetapi semangat tidak malu di sini hendak dinyatakan yang kita tidak malu jadi "tukang tenggek" atas apa-apa kejadian yang berlaku di dalam negerinya. Kita ambil satu contoh daripada tidak malu kita: iaitu bermegah-megah dengan sebab ada sedia dan terletak elok keindahan alam Melayu. Umpamanya elok negeri kita dikurniakan usaha dan tenaga bangsa asing yang menjadikan seolah-olah taman yang permai tempat kita berehat-rehat dan bertindak-tindak dengan tidak menggunakan titik-peluh setitik pun. Kita tidak juga malu serta selalu pula mengeluarkan tutur kata negeri ini cantik ada kota ada itu dan ada ini ... maka ucapan dan tutur kata yang begitu samalah kita sebagai keadaan anak-anak kecil yang dibelikan bapanya patung-patung yang dijadikan untuk permainan dalam kelambu di mana perasaannya sangat elok dan dibual-dibualkannya pada rakan-rakannya. Pada masa abad yang kedua puluh ini wajib kita malu dan jangan mudah mengaku lagi elok negeri kita disebabkan oleh bangsa yang bukan Melayu. Tetapi cakap itu adakah boleh kita robohkan segala keindahan negeri ini disebabkan panas hati kita memikirkan hal dan tidak malunya kita itu! Ya, perkara itu kita tidak setuju sekali-kali, tetapi kita harus menebus dari permulaan tapak kita dengan pekerjaan membina perkara-perkara yang kecil. Bukankah kita memang dari zaman berzaman sudah pandai membina membuat gudang-gudang, rumah-rumah, alat perkakas, dan sebagainya dari datuk nenek kita dahulu? Keterangannya kita fikirkan: siapa yang membuat istana sultan-sultan Melayu zaman dahulu? Siapa yang menukangi meriam-meriam kereta-kereta, perahu-perahu bagi raja-raja Melayu yang lalu? Tentu jawabnya orang Melayu! Adakah kita jemput bangsa-bangsa asing itu datang menukangi dan membuat segala benda-benda itu? Oh tidak! Baiklah sekarang kita mesti mulai pekerjaan itu dengan tidak menyampai-siku lagi, supaya kita menjadi umat bangsa yang ada rupa berbuat sendiri -- bukannya umat tidak bermalu -- ketidak malu tentang lain kita boleh timbang sendiri.

((4) Ber-Roh dan bersemangat lalai :

lalai kita akan kesenangan direbut bangsa-bangsa asing dihadapan mata kita. Perkara itu walaupun beribu-ribu kali penulis yang lain menyatakan kepada kita umat Melayu bagaimana kelalaian kita, tetapi yang kita tidak harus jemu, wajib dipertunjukkan setiap masa. Kerana tidak sekali alpanya kita. Pada masa ini iaitu pun begitu disungutkan orang ramai dalam majalah dan surat-surat khabar, nampaknya kita tidak jua berperasaan masih terlena dengan rupa-rupa kesenangan bangsa asing dalam sebarang golongan bekerja. Kita lihatlah di pekan-pekan sahaja, siapa yang jadi kuli perniagaan, siapa yang jadi tukang bekerja membina, siapa pula yang jadi pengurus dalam urusan serba pekerjaan itu? Tak dapat tiada ialah bukan bangsa Melayu. Pada hal roh dan semangat pekerjaan itu semuanya sama dengan tidak membezakan Keling, Cina dan Melayu, tetapi berbeza tentang kelalaian bangsa kita sahaja.

Penutup kata ini yang ke hadapan hendaklah kita baiki segala kesalahan roh semangat kita Melayu daripada apa-apa yang dihuraikan di atas, bukannya pula kita bersuara ini mesti orang Melayu menentangkan seperti apa yang dikata di atas, lepaskan dakwat di mana ditulis, di situ hitam, tetapi kita wajib sama-sama memikirkan dengan neraca keadilan roh dan semangat kita masing-masing. siapa yang ada rohnya atau semangat yang gentar, hapuskan gentar kesalahan itu, teruskan kepadanya pusat yang dituju dan yang dirapah. Dan siapa yang tidak memeliharakan roh semangat, didiklah baik-baik jangan sampai jadi habu di atas awang-awangan sahaja, segala roh yang ada dalam kegelapan kita.

Marilah bersama-sama kita membela-pelihara roh kita sebagai mendidik anak kecil yang baru naik, himpunkan ke dalam satu himpunan yang luas, di antara umat-umat Melayu, sejahteralah hendaknya roh semangat Melayu!

Darus Abu.