Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 21 Jul 1932, p.12

General Article.

Bahana Kemelesetan. Semua orang telah mendapat penyakit yang teruk!

Oleh Abdul Majid Salleh al-Latiff.

Pada permulaan Penyakit Meleset ini dahulu menimpa ke atas dunia kita ini, maka banyaklah kita dengar orang-orang Melayu kita berkata dengan berbagai-bagai merayu bermacam-macam: hai! Entahkan mati tak makanlah sudahnya kita ini lagi siapa yang lain hendak diperbuat; getah sudah tak berharga!

Maka berbagai-bagai yang lainnya lagi berkata yang lebih-lebihnya sekali ialah pihak orang-orang kampung yang mengharapkan semata-mata ladang getah sahaja itu, begitu juga pun bangsa-bangsa asing itu agaknya berkata sama-sama mereka. Tetapi pada masa kini umpama penyakit ialah telah teruk sangat merasuk di dalam diri semua orang terutamanya orang-orang yang memang miskin dari dahulunya.

Maka tiadalah dapat berkata apa-apa pun lagi, dan juga hendak bergerak ke sana ke mari, oleh itu tidak dapat tiada tentulah masing-masing berkehendakan bantuan daripada bangsanya juga siapa-siapa yang boleh membantu, umpama mencarikan ubat supaya menyembuhkan penyakit itu ataupun mengurangkannya supaya dapat bergerak-geri.

Adapun ubat yang dikehendaki atau bantuan yang dicita-cita itu bukanlah wang ringgit dan beras atau lain makanan sahaja. Tetapi ialah membantu dengan fikiran, merentihkan jalan yang semak samun di hadapannya yang ia masing-masing akan rempuh ataupun berapa merbahaya yang ditakuti dihadapan yang harus membawa maut pula kepadanya juga.

Dari sebab itu, tidaklah ada yang menyimpan bantuan yang sebagai itu melainkan pihak Tuan-Tuan bijaksana dan Datuk-Datuk serta orang-orang yang berpengetahuan juga diharap tidak akan sunyi kiranya daripada merintihkan jalan itu, dan diharap pula pada pihak ramai jangan walang dari menurutnya. Mudah-mudahan supaya terlepaslah sedikit dari kesempitan meleset itu.

Kita berani berkata sekiranya masa ini jika ada satu-satu jalan yang Tuan-Tuan bijaksana tunjukkan walau sedikit sekalipun adalah ia memberi faedah yang besar juga. Sebab apa? Ialah kerana sememangnya masa ini banyak anak-anak bangsa kita yang ternanti atau akan menurut apa-apa jalan jua yang baik, bukanlah sebagai di masa getah mahal dahulu itu lagi yang kerapkali memberi sia-sia sahaja tegur sapa, tunjuk ajaran orang-orang bijaksana dan berpengetahuan itu ((laksana air tertumpah ke atas daun keladi sahaja)) jerih tiada berjasa itu.

Sekarang ini Melayu kita sudah ketahui langit yang mana tinggi, alam yang tiada bertepi, sebab telah merasa dan terkena oleh bidal-bidal orang tuanya yang dibantah, iaitu ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Sekarang ini kalau ingat pun sudah terkena dan berjimat pun tak ada hendak dijimatkan lagi, kerana sudah habis lancung semuanya. Diharap hanyalah untung nasib yang baru akan timbul itu juga kalau-kalau beringat dan berjimat.

Dari sebab itu, percayalah kita menyangkakan rasanya jika sekira berlaku kemakmuran bumi Melayu kita ini sekali lagi jangankan sebagai getah mahal dahulu itu, separuh daripanya itu pun cukuplah. Nescaya tampaklah kelak perjalanan kemajuan bangsa kita sendiri-sendiri. Tentulah tiada mau sebagai yang telah sudah itu lagi, yang tiada menghiraukan kiri kanan dan tiada mengingat anak cucu yang kemudian, betapa halnya melainkan hura ke sana hura ke mari menghabiskan wangnya dengan tak berfasal memandang ke atas langit sahaja itu. Kita yang berkata-kata ini bukanlah sebab bencikan orang-orang yang berperangai yang demikian atau hendak mengada-ada begitu-begini tidak ialah kerana bencikan kelakuan itu sahaja, bukan benci pada orangnya. Sebab sekarang ini telah kita ketahui sebab dialah menjadikan kita termakan bidalan orang tua-tua, bukankah patut kita semua bencikan kelakuan yang demikian hingga beberapa lamanya? ... menjadikan sesal yang tidak bersudah di dalam diri masing-masing yang melakukannya.

Luputkanlah dari hati yang berbagai-bagai itu, berbuatlah kita akan cadangan baru supaya mendapat untung nasib baru, mudah-mudahan itulah membawa maju.

Had inilah saya mohon berhenti dan minta maaf kepada Tuan-Tuan Pembaca yang budiman, kalau-kalau saya terlanggar bahasa di dalam rencana yang buruk, dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Tuan Pengarang yang mulia kerana halaman suratkhabarnya yang berharga adanya.

Was-salam.