Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 18 Aug 1932, p.6

Editorial.

Peredaran Hidup Umat Melayu Membaiki Penghidupan, Penghematan dan Pergaulan.

Di dalam masa yang akhir ini, bahwa peredaran hidup umat kita boleh juga diartikan telah mendaki selangkah arah kepada alam penghidupan, penghematan ((ekonomi)) dan juga pergaulan.

Jika dipandang dengan mata kasar sahaja, kita boleh menampak telah berkejiwaan serba sedikit di dalam masing-masing cawangannya. Akan tetapi sebaliknya jika ditilik dengan mata hati dengan sedihnya kita menampak bahwa pergerakan umat kita di muka sebarang barisan pergerakan adalah sedang menghadap dan menentang rupa-rupa halangan yang kebanyakannya sepah ditubuhkan oleh anak-anak bangsa kita sendiri yang suka hidup secara nafsu-nafsu di dunia sebelum sampai masa akhirat pada masa mana hidup nafsu-nafsu itu akan berlaku.

Syarikat bekerja-kerjasama bagi membaiki kehidupan orang-orang Melayu telah didirikan di Seremban di dalam tahun 1930 diketuai oleh Yang Amat Mulia Datuk Kelana Putera Makmur CBE Sungai Ujung.

Pergerakkan yang seumpama itu telah bertunas di Ipoh dengan anjuran Tuan Haji Muhammad Yusuf Pegawai-pegawai Melayu yang tertua di dalam Jabatan Bekerjasama, dan telah menjalar ke Taiping di mana persidangan telah diadakan di rumah Yang Mulia Orang Kaya Menteri Perak.

Haluannya boleh dihitung sama dan satu iaitu membaiki kehidupan orang-orang Melayu termasuk di dalam mana penghematan yang mesti perlu membuang segala adat-adat kuno yang termasuk di dalam bahagian membazir, terutama sekali di dalam hal yang berhubung dengan nikah kahwin dan khenduri mayat.

Lebih bererti lagi bahwa Majlis Orang-Orang Besar dan Ulama Perak di dalam persidangan yang akhir dahulu telah sebulat suara memutuskan bahwa adat-adat boros itu hendaklah dihapuskan. Telah terbayang juga bahwa adat Maulud, Berzanji, pada masa bersanding itu tidak diluluskan lagi dan lain-lain lagi semuanya patut diubah oleh orang-orang Melayu. Sedemikian, meski mereka belum menepat atau belum berani berakta kebanyakan adat dan amalan-amalan kuno; yang bercanggah dengan fikir-fikir kita sangat menghalang kemajuan dunia umat kita; itu. Tetapi yang demikian adalah sememang perkara bidaah dan terlarang di dalam hukum ugama Islam.

Di dalam Daftar Mesyuarat Majlis Orang-Orang Besar dan Ulama Perak yang akan diadakan pada hari Sabtu dihadap yang sepah kita kutip-kutip dari Saudara Penang; oleh kerana barangkali Majlis ini tidak layak dikirim; kedapatan 19 perkara semuanya daripada perkara-perkara yang kita sangat-sangat berhajat padanya.

Barangkali telah tiba pula masanya bagi orang-orang besar dan ulama kita di Selangor dan dan lain-lainnya mencontoh langkah Majlis Ugama Islam Kelantan tentang melarang kitab-kitab yang mengandungi ajaran yang karut-karut, mencontoh langkah ulama Perak itu lebih bererti dari berbayang-bayang menjaga orang-orang yang membidaahkan talqin atau lafaz ataupun khenduri mayat meniga hari dan menuju hingga sampai meratus itu.

Bahkan tak syak lagi lebih utama dari menjaga siapa-siapa kadhi atau imam yang berterawih delapan rakaat supaya kuku besi itu boleh dicakarkan mencabut Certificate atau tauliah hamba Allah yang tiada berderus kepada Tuhan itu.

Apa lagi semakin dahsyat pula juga kedapatan satu atau dua orang Minangkabau, sampai dihukum buang negeri semata-mata oleh kerana berlawan dan bertentang dengan ajaran-ajaran kuno di dalam perkara ugama Allah.

Syor ataupun tegahan Majlis Ulama Perak itu berserta dengan anjurat syarikat-syarikat yang berniat hendak membaiki penghidupan orang-orang Melayu itu sepanjang pengetahuan kita tidak diterima baik oleh orang-orang Melayu sama ada ulama-ulama, lebai-lebai kecil yang di kampung-kampung Melayu itu, apalagi oleh murid-murid mereka.

Boleh jadi anjuran-anjuran menegah berboros di dalam hal khenduri mayat itu diterima dan diamalkan oleh member-member syarikat itu sahaja; tetapi di luar syarikat itu barangkali tak berapa diiyakan orang. Tetapi oleh kerana perkataan-perkataan itu datangnya dari Majlis ulama namanya dan dari orang-orang besar negeri tidaklah siapa berani berkata sesat ataupun Wahabi, sebagaimana jika syor itu datangnya dari orang-orang yang dicap dengan Kaum Muda.

Oleh itu, tidaklah hairan jika khenduri menujuh hingga meratus hari bahkan fidyah sembahyang yang pakai hayun guni beras itu masih berjalan terus selain dari fidyah puasa, upah tahlil dan upah Qaul Hu-Allah, yang disangka itulah amalan Islam secara ahli al-Sunnah wal-Jamaah.

Kita berani berakta bahwa pergerakan yang demikian itu bermusuh keras di dalam batinnya dengan ulama-ulama tok buluh dan bahwa ulama-ulama dan lebai-lebai ketayap itulah satu daripada penyakit hidup orang-orang Melayu yang barangkali lebih berbahaya dari musuh-musuh dagang yang telah sempat menggenggam kekayaan negeri ini.

Jika lebai-lebai ketayap yang di kampung-kampung itu tidak dihapuskan sama ada dengan dari pengajaran ataupun dipujuk dengan halus nescaya pergerakan ini tidak akan berhasil.