Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 1 Sep 1932, p.5

Editorial.

Conference atau Congress Melayu.

Apabila kita berkata bahwa Conference Melayu itu hanya satu mimpi yang belum bermakna; bukanlah bermakna sebagaimana yang telah dimaknakan oleh wartawan kita "Bahtera" baru-baru ini. Dan apabila kita khuatir mengemukai suatu Conference sedikit masa dahulu; bukanlah ertinya kita menolak atau enggan sebagaimana faham rakan kita "Pengasuh". Tetapi yang sebenarnya kita menampak akan Conference yang dihajat itu tidak akan berhasil baik meski kita mengerti dan sedar bahwa Conference itu memang mengandungi satu makna yang berhikmat.

Kita bukannya tidak menerima kasih atas kepercayaan teman sejawat kita apabila mereka berkeyakinan bahwa kita patut menjadi pemoga dan layak berdiri pada barisan yang di hadapan sekali. Akan tetapi kita sendiri masih syak; kita masih syak atas siapa dan di manakah adanya penyokong kita. Tak usah dicari pengikut yang agak celik sedikit yang akan bertibaan dengan nama menghadiri "Conference" yang bukannya hanya bererti sebagai Mesyuarat Pekan-Pekan Mingguan atau Mesyuarat Memilih Anggota satu persekutuan yang sebesar tahi kuku persekutuan orang itu. Dan bukan pula sekali-kali umpama persidangan ulama di Balik Pulau dahulu, ataupun Darul Anak-Anak di Singapura itu.

Fahamkanlah apa erti Conference dan Congress dan bandingkan dengan keadaan kita Melayu pada kedudukan dan pekerti.

Mulanya kita sangat segan mengeja hal keadaan kita sendiri pada masa kita mengatakan "Mimpi Yang Belum Bermakna" itu. Tetapi kesenangan kita itu rupanya boleh jadi mengelirukan faham rakan-rakan kita.

Sekarang cuba perhatikan Conference orang baru diadakan di kota ini yang kita muatkan di dalam salah satu ruangan kita hari ini supaya ditatap oleh orang-orang kita Melayu.

Jika ditakdirkan suatu Conference Melayu Am telah dibubarkan akan diadakan katalah di Kuala Lumpur ini:

Mana Chamber of Commerce Melayu? Mana Chamber of Mines Melayu? Mana Planters Association Melayu? Mana .. mana ... mana ... mana lagi?

Ada tak adanya Setiausaha Pekan-Pekan Mingguan di Grik dan di Batang Berjuntai, Datuk-Datuk Empat, Datuk Seratus Seribu, guru-guru murshid madrasah, anak-anak dan lain-lain seumpamanya.

Sungguh pun orang-orang kita Melayu kedapatan juga bergelar Engku Nan Sejinjang Langit dan Datuk Nan Memangku Bumi, serta Sutan Seru Alam, barangkali mereka itu cuma harus dibawa kepada permedanan gelangang silat. Itu pun jika disuruh bersilat; harus-harus mereka membuat mahal.

Sekalipun hadir seribu orang Melayu pada Conference kita itu, tetapi dengan lidah mana harusnya kita perkatakan madah Conference itu?

Dan menerusi telinga manakah mereka itu harus mengerti?

Patutlah diingatkan terlebih dahulu bahwa pidato di dalam satu-satu Conference itu bukanlah seperti khutbah-khutbah Jumaat yang mengandungi "Itaqullah" sahaja.

Kita tidak menidakkan adanya orang-orang kita Melayu yang mengerti dan bertibaan menghadiri Conference itu. Tetapi sebahagian besar dari mereka itu adalah pegawai-pegawai kerajaan yang tentu sahaja tidak diluluskan oleh undang-undang negeri menghadiri Conference kita itu.

Tinggal sebahagian kecil yang agak mengerti sedikit, tetapi belumlah agaknya boleh menyamai bulu hidung orang.

Inilah maknanya perkataan kita apabila kita berkata bahwa tentang Conference ini, tidaklah patut kita berkata daripada cempedak baiklah nangka. Tetapi kita wajib berkata jika tak akan semangat biarlah tak ada langsung.

Saudara kita ((Bahtera)) berpendapatan bahwa orang-orang Melayu belum lagi berkehendakan Party atau Hizab, tetapi barangkali bukannya sebegitu kerana yang sebenarnya bahwa orang-orang Melayu belum mengerti dan belum layak mendirikan satu Party. Hatta, jika Party kewatanan pun selain daripada Party Qul Hu-Allah dan katanya lagi, cuma orang-orang Melayu mustahak memajukan permohonan dan permintaan dengan sebulat-bulat suara. Minta apa?

Kita percaya hingga jika hendak menetapkan sepatah; minta apa?

Itu pun di dalam Conference itu tak akan selesai biar Brigadier General Sir Samuel Wilson datang empat kali lagi.

Oleh itu, pada fikiran kita, ialah kita membelakang kepada kalimah Conference itu hingga sampai kepada suatu masa orang-orang Melayu itu berhajat kepadanya.

Masa ini kita berkata yang orang-orang Melayu itu kebanyakannya belum mengerti apa makna Conference yang pernah disebut-sebutnya itu. Cuba perhatikan siapakah di antara umat kita yang telah menyokong syor Conference yang telah lalu itu?

Sementara itu, marilah kita bentangkan sahaja fikiran-fikiran kita tentang perubahan baru itu supaya dapat diperhatikan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan kita supaya mana-mana yang bernas daripadanya boleh dikutip dan yang sumbang biarlah tertinggal di atas kertas, janganlah cemas bahwa suara yang kita keluarkan di dalam ruangan akhbar kita itu memang dipandang sebagai suara am juga.