Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 1 Sep 1932, p.1

Leader Article.

Kongress Melayu Wajib Diadakan Oleh Orang-orang Melayu Sendiri.

Kita percaya bahwa ura-ura akan mengadakan Kongress Melayu itu bukannya suatu ork [?] yang tak patut difikirkan dalam-dalam, kerana angan-angan itu bukannya diayunkan oleh sebatang dua batang kalam sahaja. Bahkan telah menggerakkan berpuluh-puluh tangan jauhari Melayu dan telah memenuhi ruangan-ruangan akhbar-akhbar bangsa kita yang semuanya itu hampir-hampir setuju mengadakan, kecuali seorang berdua yang tiada menyukakan sebab terlalu berserah diri kepada takdir agaknya.

Sebelum cita-cita itu berbuah maka peladang-peladang itu haruslah jangan berhenti daripada berusaha dan berikhtiar memupuk dan membaja tanamannya agar kiranya benih yang telah disemai itu tumbur subur berbuahkan buah yang lazat cita rasanya.

Jikalau boleh hendaklah kiranya ke muka umum -- kalau fardhu, beberapa kali -- dengan dalil dan hujah yang baru pula supaya yang kita bahaskan itu tampak betul-betul dan meresap sungguh-sungguh ke dalam urat, meresap sampai ke benak tulang hingga menjadi darah daging oleh bangsa kita yang dikasihi ini.

Bahwa Kongress Melayu itu bukan alang kepalang wajibnya. Janganlah kita tidak mengerti atau pura-pura tak tahu bahwa terhormatnya bangsa Indian di dalam Tanah Melayu ini lebih daripada umat Melayu sendiri pada pemandangan kerajaan sebagaimana yang kita boleh periksa hari ini. Bukanlah kerana pandainya bangsa itu mengambil hati orang-orang besar di sini dan bukanlah kerana tabiat mereka itu suka menjilat, dan bukanlah pula kerana pemuda-pemuda loyal atau taat mereka itu pada kerajaan negeri ini.

Tetapi ialah semata-mata kerana kerajaan kita ini terpaksa menghormat kepada mereka itu kerana beberapa perkara terutama sebab pengaruh daripada pergerakan bangsa mereka itu bukannya tidak boleh jadi. Bahwa rahang pergerakan bangsa India yang di negerinya itu berpengaruh juga ke atas kedudukan bangsa itu di negeri ini.

Demikianlah gamaknya Indian berkebun di India, di sini rakyat bangsa itu dapat juga merasai lazat buahnya.

Begitu pula bangsa Cina bukan tidak terendah dihadapan mata kerajaan lebih daripada umat Melayu. Bukan sedikit pengaruh bangsa itu di negeri ini hingga kerajaan terpaksa mengendahkannya.

Suarau wakilnya di dalam tubuh-tubuh kerajaan terdengar keras dan dahsyat hampir selalu terpaksa wakil-wakil kerajaan mempersetujui buah butir syor-syor mereka itu. Itulah tidak menghairankan kita kerana kita tahu harganya suara suatu wakil di dalam tubuh-tubuh kerajaan itu ialah menurut gerak-geri dan pengaruh umat yang diwakilinya.

Demikianlah adab kehormatan dan perendahan bangsa-bangsa asing itu di sini oleh kerajaan bukanlah buah daripada loyal -- taat dan penurut; hanyalah buah daripada kedegilan dan kenakalan mereka itu. Siapakah yang tidak kenal atas kedegilan bangsa India dan kenakalan bangsa Cina itu?

Tambahan lagi, belumlah berjumpa di dalam tawarikh yang mana pun juga bahwa nasibnya tanah jajahan itu akan lebih baik kalau semata-mata diserahkan sahaja kepada kerajaan yang memerintahinya, apa lagi yang seumpama Semenanjung.