Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 7 Sep 1932, p.5

Editorial.

Kaum Kuli Semenanjung.

Adapun tubuh kaum kuli Semenanjung ini selamanya terdiri dari bangsa dagang: Cina, India dan sedikit dari Jawa.

Kaum kuli itu dibawa oleh kaum modal kepada negeri ini guna untuk mengimbang-baikkan modalnya yang ditanam pada ladang-ladang getah atau lombong-lombong itu. Dan kedatangan mereka itu diurus oleh pejabat perkulian menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh kerajaan. Sedang muslihat dan kesihatan mereka itu dikawal dengan secukupnya. Dan sebab iktulah kaum-kaum kuli itu selamanya dengan muka yang jernih datang menjual tenaganya atau peluhnya yang tidak akan laku di negerinya.

Bagaimana pun adanya, boleh dikata bahwa tak seorang jua pun daripada kaum kuli itu yang datang dengan maksud dihendak berbudi membuka negeri orang. Dan ada pun angka kedatangan mereka itu yang terbanyak ialah pada zaman modal banyak tercurah-curah kepada ladang-ladang getah dan lombong timah. Dengan lain-lain perkataan, iaitu pada zaman gaji mewah oleh kerana pekerjaan lebih banyak dari timbangan kuli. Pada hakikatnya bahwa kaum kuli itu ialah hamba abdi jua sedikitnya bukannya belian atau tebusan, tetapi tidaklah pernah mereka sendiri bermimpi hendak menjadi anak negeri atau menjadi Malayan, meski bukan sedikit anak-anak mereka diperanakkan merata-rata ladang dan lombong-lombong itu apa lagi pula agaknya akan membongkakkan bahwa mereka telah berbudi membuka meramaikan dan menggayakan negeri ini.

Setelah matahari makmur itu gelap didatangi oleh malam meleset mulai dari tahun 1930; harga getah terhempas dan harga timah melepas. Maka modal yang di ladang-ladang dan di lombong-lombong itu pun bergoyang dan keriangannya terpaksa menghumbankan beratus-ratus, bahkan berpuluh-puluh beribu kaum kuli ke dalam laut tiada berpekerjaan. Tetapi kuli-kuli yang dijemput oleh kompeni itu peratusan yang terbanyaknya dikirim pulang atas perbelanjaan kompeninya dengan manis muka.

Sejenis kuli lagi ialah kaum kuli yang datang sendirinya mencari rezeki sedapatnya sahaja, untung-untung kok dapat menjadi tauke di belakang. Mereka ini 100 peratusnya datang dari benua Cina walau pun kedapatan jua dari India. Mereka ini juga terpaksa terhumban dari pekerjaannya oleh kerana peluhnya tidak mendatangkan faedah lagi kepada kaum penggaji.

Kaum kuli yang tiada berpekerjaan itu hampir-hampir mengganggu keamanan negeri, tetapi mujur kerajaan telah muafakatkan sebahagian besar dari hartanya untuk menolak atau menumpil mereka balik ke negeri masing-masing. Maka bilangan kaum kuli "yang dihalau" keluar itu pun semakin besar tiap-tiap hari. Tetapi tidak kedengaran orang-orang yang khuatir kepada kekurangan kuli jika matahari makmur memancar semula.

Dengan kehendak Raja-Raja Melayu maka undang-undang bangsa dagang yang dibantah keras oleh kaum Cina itu pun diluluskan di Negeri Selat dan di negeri-negeri Melayu. Dengan undang-undang ini, bangsa dagang pun tersekat datang. Boleh juga dikata Semenanjung telah menutup pintu.

Apabila harga getah bergerak sedikit, kira-kira 8 bulan dahulu, dengan serta merta kedengaran kaum penggaji ada yang mengatakan kekurangan kuli dan ada pula yang mengesyorkan supaya undang-undang bangsa dagang itu dilonggarkan sedikit. Tetapi dari pihak lain kedapatan pula perkataan mengatakan Semenanjung tidak kekurangan kuli, tetapi kekurangan pekerjaan.

Sekarang ada pula yang mengesyorkan supaya dipindahkan kaum kuli India itu kepada perusahaan tanah, kononnya pertama-tama: supaya membiasa budi mereka itu membuka negeri ini, dan kedua supaya senang mendapat kuli di belakang hari, bila-bila dikehendaki. Bahkan lebih jauh ada yang menggugut mengatakan jika paya sawah yang dicadangkan di India itu jaya, kuli-kuli India kelak tidak akan diperoleh lagi. Maksudnya ialah berkehendakan hak mendapat tanah sebagaimana hak orang-orang Melayu.

Alasan-alasan ini boleh dijawab dengan ringkas, iaitu jika maksud berkehendakan kuli sediakan sahaja gaji! Adapun pekerjaan menyediakan kuli sebelum ada pekerjaan itu samalah seperti orang-orang yang menyediakan buian anaknya sebelum ia berkahwin. Dan lagi pula, jika kuli-kuli India itu diberi tanah kelak, tentu sahaja mereka tidak ingin menjadi kuli lagi, dan anak-anak mereka-mereka lebih-lebih tak dapat diharap kerana mereka itu akan mengaku berbangsa Malayan. Apa yang mereka berkehendak kelak ... nak jadi pegawai-pegawai Malayan Civil Service.