Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 8 Sep 1932, p.7

Surat Kiriman.

Bangsa Menolong Bangsa?

Di mana-mana pejabat kerajaan di dalam negeri persekutuan di Semenanjung ini ((Federated Malay State)) khasnya Pahang, kebanyakan kerani-kerani di dalamnya dikira kasar sahaja hanya 30 peratus daripada bangsa kita Melayu lain daripada itu terhapus kepada bangsa-bangsa Malayan ((Keling, Cina)).

Sungguh pun bangsa Malayan itu berpangkat kerani, tetapi politik-politik mereka itu boleh menghapuskan segala cita-cita kemauan yang dihajati oleh bangsa kita Melayu, sama ada berpangkat besar atau kecil. Dari itu tak dapatlah bangsa kita Melayu menaiki kepada tempat yang dicita-cita itu dari sebab kebanyakan kerani-kerani bangsa kita Melayu bekerja dibawa telunjuk bangsa Malayan itu.

Di sini kita ceritakan lebih kurang sahaja bagaimana hasad dengki khianat bangsa-bangsa Malayan itu kepada bangsa kita. Jika surat-surat pengaduan atau permintaan dan lain datangnya daripada bangsa kita Melayu yang tiba ke atas meja Tuan yang berkuasa ((Pemerintah)). Kita percaya Tuan itu telah mengambil keberatan dan berfikir dengan panjang lebarnya.

Maka tak dapat tidak surat itu dikirimnya ((dipostnya)) kepada kerani surat-surat ((Correspondent Clerk)) supaya diregisternya ((Minute File)). Jika kerani itu bangsa kita Melayu adalah harapan akan berhasil permintaan atau pengaduan kita itu. jikalau kerani itu bangsa Malayan tidak dapat tiada dicuai-cuaikannya surat kita itu dipersorokkannya di bawah sekali. Lama kelamaannya terlupa langsung dibolot-bolot dihumbannya ke dalam bakul sampah kertasnya yang tak berguna itu. Teruslah tak boleh nampak lagi surat-surat itu. Maka perbuatan mereka sangat hina dan menyedihkan hati kita Melayu bukan? Ya! Begitulah!

Ayuhai Encik-Encik Kerani bangsa kita Melayu yang jadi penolong kepada kerani-kerani bangsa Malayan itu, patut sangat memandang rata sedikit apakala surat-surat permintaan atau pengaduan bangsa kita yang keluar daripada meja Tuan Pemerintah kepada kerani bangsa Malayan itu bagaimana diperbuat oleh mereka itu. Jika ia memperbuat hasad dengki khianat di atas permintaan atau pengaduan bangsa kita, bahwa pada waktu ini telah tibalah masanya bangsa menolong bangsa mudah-mudahan terjauhlah kita daripada bahaya hasad dengki khianat itu; oleh kerana kuat tepis-kuis bangsa kita.

Dewasa itu barulah dikatakan bangsa menolong bangsa dan terlindunglah daripada bahaya-bahaya itu.

Was-salam kepada Tuan-Tuan Pembaca dan terima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya.

Benih Rakyat Negeri Pahang.

Pengarang: Ini suatu perkara yang barangkali pernah juga berlaku, tetapi bukanlah daripada suatu perkara yang boleh dibawa ke tengah dijadikan suatu pengaduan.