Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 8 Sep 1932, p.8

General Article.

Kehibaan dan Kesayuan Mengenangkan Nasib Orang-Orang Melayu.

Sungguh pun bunyinya orang-orang menyebut Semenanjung ini dihujungnya Tanah Melayu ((Semenanjung Tanah Melayu)), tetapi yang bersenang lenang di dalamnya bukan Melayu, melainkan ialah bangsa-bangsa asing, terutama bangsa Cina dan Keling.

Merekalah yang menunggu bandar-bandar di dalam Tanah Melayu; sama ada bandar-bandar yang kecil mau pun yang besar-besar malahan bangsa mereka jualah mendudukinya dengan menjalankan bermacam-macam perniagaan; sama ada menjual makanan dan sebagainya.

Bahkan hingga makanan Orang Melayu ((Islam)) pun sanggup jua mereka itu menyediakannya. Pendeknya, bangsa-bangsa asing itu serba boleh jadi, atau dengan lain-lain perkataan, iaitu bangsa yang sudah biasa di dalam dunia perniagaan.

Oleh kerana bangsa mereka itu yang menunggu sekalian bandar-bandar di dalam Tanah Melayu ini, lantaran sebarang apa jua barang-barang perniagaan yang masuk ke negeri ini ((Tanah Melayu)) tidak dapat tiada mestilah menempuh tangan mereka dahulu; kemudian mana barulah sampai ke tangan orang-orang Melayu dan lain-lainnya. Oleh sebab itu, bukanlah sangat-sangat terdesak kehidupan orang-orang Melayu dihimpit oleh bangsa-bangsa asing. Sedang orang-orang Melayu makin sehari makin jauh lari ke dalam hutan ke gunung-ganang; oleh mana seolah-olah orang-orang Melayu itu tak layak menunggu rumah batu yang berderet-deret itu. Atau pun belum berani bercampur diam di bandar-bandar bersama-sama dengan bangsa-bangsa asing.

Maka semakin lama semakin undur. Yang demikian itu, hati mana yang tidak menanggung kehibaan dan kesayuan? Kemunduran orang-orang Melayu bukannya di dalam satu dua fasal sahaja. Tetapi serba-serbinya. Jikalau hendak dituliskan satu persatu di sini, nescaya sahaja bukan sedikit memakan ruangan Majlis ini. Bahkan hingga barang-barang yang boleh dapat diperbuat sendiri atau boleh dapat dengan perusahaan sendiri pun masih orang-orang Melayu asyik dengan membeli kepada bangsa asing.

Inilah jua sebab-sebab yang pertama orang-orang Melayu boleh jadi miskin dan papa, istimewa orang-orang Melayu jauh daripada tolong menolong bangsa. Mana-mana Orang Melayu yang ada senang sedikit kehidupan mereka, atau mana-mana yang ada masin sedikit lidahnya di dalam satu-satu .... Itu sedikit pun tiada mengambil hirau akan jerit pekik orang-orang miskin ((bangsanya)).

Seolah-olah di dalam hatinya berkata: diriku seorang mendapat senang sudahlah, orang-orang lain apa aku peduli.

Akan tetapi bangsa-bangsa asing tidak begitu. Malahnya, kuat menolong kaum bangsanya. Buktinya: lihatlah pada Musim Meleset sekarang ini, berapa banyak orang-orang bangsa mereka yang tiada berpekerjaan ditanggung makan oleh mereka itu. bahkan hingga sanggup jua mereka itu mengumpulkan wang untuk tambang bangsa mereka yang miskin akan dihantar balik ke Tongsan.

Di dalam mana oleh terlalu ramai ((banyak)) bilangan bangsanya yang tiada berpekerjaan di tanah Semenanjung ini, hingga terpaksa setengahnya dihantar oleh kerajaan balik ke negerinya.

Kasihan, anak-anak Melayu mana-mana yang tak dapat masuk di sekolah Inggeris kerana kebanyakan yang masuk mengaji di sekolah Inggeris itu semata-mata mengharapkan kasihan belas kerajaan sahaja ((jika tidak diperikan oleh kerajaan tiadalah akan masuk)). Dan pada masa sudah berhenti daripada mengaji di sekolah Melayu itu lain tidak yang dihiraukan hendak mencari kerja makan gaji; sama ada kepada kerajaan atau di pejabat saudagar. Apatah lagi mereka-mereka yang telah pass di dalam sekolah-sekolah Inggeris, lain tidak tujuan mereka itu hanya hendak jadi kerani-kerani sahaja.

Pada hal beberapa banyak ilmu yang patut dipelajari lagi seperti masuk di sekolah pertukangan, sekolah doktor dan banyak lain-lain lagi. Di sini barangkali ada orang berkata: bukannya dia tiada mau melanjutkan pelajaran-pelajaran pada tempat yang tersebut, tetapi hanyalah semata-mata oleh kekurangan belanja!

Ya! Itu benar sekali, tetapi inilah menunjukkan yang orang Melayu belum ada persatuan yang teguh buat atas nama persekutuannya.

Jikalau dikenang-kenangkan untung nasib orang-orang Melayu yang seumpama bulu sehelai terlayang-layang atau seumpama kerakap tumbuh di batu sekarang ini.

Nescaya bercucuran air mata jatuh ke pangkuan.

Tetapi apa hendak dikata kita rakyat yang lemah sebab itu berseru sahaja yang terdapat oleh kita sebagai tanda sama-sama mencintai kaum bangsa. Mudah-mudahan dengan yang demikian itu mendapat perhatian jua daripada pembesar-pembesar kita yang berhati kasih sayang kepada bangsanya bagi memperbanyakkan anak kaumnya yang telah tercicir di dalam serba-serbinya itu adanya.

Salam hormat dari yang rendah.

Majil, Kuala Pilah.