Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 25 Sep 1933, p.8

General Article.

Hendak Seribu Daya. Jika Tidak Seribu Bencana.

Bahwa adalah suatu pekerjaan yang sukar pada mendapat itu jika diusahakan mudah-mudahan mendapat dan akan merasa jua bagaimana kelazatannya di belakang kelak.

Berniaga itu memang suatu pekerjaan yang susah juga pada sisi kita orang-orang Melayu kerana oleh sebab orang-orang kita Melayu belum ada berhati tulen pada jalan hendak berniaga. Hanya semata-mata berharap pada penghidupan dengan jalan makan gajinya. Tetapi jika difahamkan apa kepala rencana ini, nyatalah senang pada tiap-tiap orang yang berkehendak dan susah pada orang yang tidak berkehendakan padanya.

Baru ini penulis telah terbaca diruangan pengarang Warta Malaya yang berkepalakan, "Peraih-Peraih Ikan". Penulis tidak hendak menyebutkan di ruangan Majlis ini ada dia perkataannya yang berkepalakan seperti itu. Kerana Tuan Pembaca sedia maklum di Warta Malaya yang bertarikh 6 September ini, jadi penulis sukalah pula pada penyokong sedikit bagaimana fikiran wartawan kita itu.

Syahdan, adapun orang-orang Melayu kita yang menduduki kampung-kampung pulau Singapura ini memang telah diketahui pencarian mereka itu selain daripada makan gaji, ialah ke laut, iaitu pengail dan bermacam-macam lagi. Oleh sebab ketiadaan orang-orang Melayu kita hendak menambah mata pencariannya dengan jalan menjadi peraih ikan. Jadi terpaksa jualah pengail itu menolakkan segala ikan pendapatannya pada peraih-peraih bangsa-bangsa Cina. Harganya itu Tuan-Tuan Pembaca sedia maklum, pengail bangsa kita Melayu agaknya tentu bersuka hati jika segala ikan-ikan pendapatannya itu dibeli oleh bangsanya sendiri. Tetapi apa-apa yang penulis sebutkan ini semuanya angan-angan tiada termasuk ke dalam kandungan cita-cita mata, senantiasa melayang ke udara sahaja.

Jika selagi ketua-ketua kampung dan pengail-pengail Melayu itu tiada menjalankan pakatan sama sendiri supaya terselamat jua pendapatannya itu daripada peraih-peraih bangsa Cina.

Dengan sungguhnya penulis ini seperti mana kata Tuan Wartawan itu, cuma pandai mencacat dan menulis ke dalam suratkhabar sahaja. Tetapi perlu jua rasanya memberi suatu ikhtiar kepada orang-orang kita supaya moga-moga terbuka pintu hati mereka itu pada menambah mata pencariannya dengan jalan menjadi peraih-peraih ini bukan dikhaskan di Singapura sahaja, tidak!

Ialah pada segala orang-orang Melayu kita di kampung-kampung jua.

Sekarang penulis balikkan pada pakatan ketua-ketua kampung dan pengail seperti di Singapura ini. Tidak apa yang lain daripada mencari jalan bagaimana hendak menyewa suatu bangku dalam pasar-pasar di Singapura ini, kerana akan diuntukkan pada menjual segala ikan pengail kita Melayu itu. Barangkali tidak akan menjadi apa-apa kesusahan pula. Entah kok Pejabat Municipal ini disewa oleh orang-orang Melayu. Jika telah dikhaskan bagi untuk orang-orang Cina sahaja ((maaf penulis kurang periksa tentang ini)).

Dan lagi, barangkali orang-orang Melayu berkhuatir juga pada hendak menambah mata pencariannya dengan jalan menyewa satu bangku di pasar-pasar Singapura. Kerana oleh sebab ketiadaan orang-orang Melayu pada hendak membelinya, mustahil tidak ada Orang Melayu ke pasar. Penulis telah biasa jua memperhatikan di pasar besi, boleh dikatakan ialah tempat tumpuan perniagaan bangsa Cina.

Lagipun banyak jua orang-orang Melayu kita ke pasar itu.

Betapa hal jika dekat dengan kampung Melayu seperti Geylang dan lain-lainnya itu, tentu banyak orang-orang Melayu di sana mustahil tidak akan laku. Penulis percaya orang-orang Melayu kita masa sekarang mengutamakan perniagaan bangsanya terlebih dahulu. Haruslah boleh laku jika diperbuat adanya.

Anas.