Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 15 Feb 1932, p.6

Editorial.

Bagaimanakah Menghidupkan Perniagaan Kita?

Di dalam keluaran yang baru lalu di bawah ikhwan "Kesukaran Perniagaan Melayu", kita telah menerangkan setengah daripada sebab-sebab kesukaran kita di dalam perniagaan di dalam mana kita telah berkata bahwa satu daripada sebab-sebab yang besar dan punca yang berbahaya sekali ialah kerana kita tidak mengutamakan perniagaan sendiri oleh mana dengan tak sedar sahaja sebahagian besar dari mata pencarian kita hanyut ditunda arus.

Boleh jadi setengah daripada kita akan berkata: perniagaan Melayu tidak semangat dan oleh itulah tidak diutamakan bangsanya.

Kita tidak menukarkan perkataan ini tetapi kita berkata: jika tidak kita utamakan betapa perniagaan kita boleh bersemangat?

Artinya, jika kita halusi nescaya kita dapati bahwa sebenarnyalah perniagaan Melayu itu tidak semangat, tetapi orang-orang Melayu tidak mengutamakan perniagaan bangsanya itu lebih benar. Oleh itu, fikiran kita tidaklah lebih utama pada hari ini bahwa kita mulai membaiki perniagaan kita dengan menerus langkah perniagaan orang dan yang lebih utamanya hendaklah kita tanam benih perasaan baru ke dalam dada anak-anak bangsa kita. Benih yang mana kelak apabila cambah maka tumbuhlah daripadanya perasaan baru dan hiduplah satu daripada pedoman hidup yang lebih utama, iaitu mengutamakan perniagaan bangsa sendiri; pada masa itulah kelak pengharapan kita.

Untuk memberangsang hati anak-anak bangsa kita supaya mengutamakan perniagaan bangsa sendiri kita ingatkan bahwa perjalanan bangsa-bangsa asing itu sama sendiri tersangat halus dan tajam tak salah jika kita katakan bahwa membeli di kedai bangsa kita itu adalah suatu "pantang" kepada mereka. Kita tidak menyeru anak-anak bangsa kita mesti berpantang pula membeli di kedai mereka, tetapi kita hanya menyeru supaya utamakan perniagaan bangsa sendiri supaya perniagaan kita bertambah dan tidak berganti-ganti gulung tikar!!

Menghidupkan perniagaan kita itu bukanlah daripada suatu perkara yang mudah. Kita tidak berharap dapat memulakan perniagaan di dalam kota kerana,

1. Kurang pengetahuan dan, 2. Kurang modal.

Keduanya rukun berniaga.

Tetapi kita berharap sekiranya perniagaan itu dimulakan di dalam kampung-kampung Melayu terutama sekali di dalam kampung-kampung Melayu yang berhampiran atau di dalam kawasan Malay Reserve itu, dan bahwasanya di sinilah kita mesti melumbaan bangsa lain dengan perniagaan juga.

Di dalam kampung-kampung yang tersebut sekiranya orang-orang Melayu itu mengutamakan perniagaan bangsanya, kita percaya tak lama lagi kedai-kedai bangsa asing yang menghisap darah bangsa kita itu akan berganti-ganti pula gulung tikar; kerana apabila hilang langganan, hilang pulalah perniagaannya.

Penghulu dan ketua-ketua kampung, ketua-ketua sidang, masjid, guru-guru sekolah, dan mereka-mereka yang berhati perut, wajiblah bekerja menanam perasaan suka dan mengutamakan kedai bangsanya rata-rata dengan sehabis-habis daya hingga tertanam hidup dengan segeranya. Kerana apabila perasaan yang demikian itu telah hidup kelak, bertambahlah bilangan kedai-kedai bangsa kita di dalam kampung-kampung itu untuk keperluan kita hari-hari, bulanan dan tahunan. Dan apabila bertambah bilangan kedainya nescaya bertambah pula semangatnya kedai-kedai Melayu itu.

Pada masa itulah kelak pengharapan kita akan memperoleh kedai-kedai bangsa kita di dalam kota yang akan menjadi ibu bagi kedai-kedai yang kecil-kecil di dalam kampung-kampung itu. Sedang hasil-hasil bumi kita pada masa itu tidak pula akan dapat dipakatkan orang sebagaimana nasib kelapa dan padi yang selalu menjadi mangsa mereka itu.

Tanamlah perasaan tersebut dan mulakanlah perniagaan di dalam kampung-kampung itu.