Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 13 Oct 1932, p.8

General Article.

Kesedaran Rakyat ((Oleh Abhi)).

Bukanlah bungkusan akhbar-akhbar kita yang dahulu sama ada yang masih hidup baik pun yang telah berkubur baliklah, banyaklah natijah-natijah yang penting fikiran yang tinggi dikeluarkan oleh penulis-penulis, pengarang-pengarang kaum kita yang tua-tua itu carilah mereka itu buat mengatur persidangan persatuan umat-umat Melayu.

Sekarang dapatlah kita meneka yang umat-umat Melayu sebahagian daripadanya adalah "Kesedaran Rakyat", yakni tahu akan perbezaan bangsa dan keutamaannya golongan rakyat bercita-cita hendak membela nasib bangsanya.

Satu pertanyaan dari Tuan Shamsuddin di ruangan Majlis 77 kemarin, adakah gunanya kita mempunyai suara di dalam bahasa Inggeris?

Ayuh! Itulah yang sangat-sangat mustahak!!!

Buat membela kebangsaan kita, sahabat!

Galangannya ialah ketiadaan persatuan kita, hanya masih di dalam kepala masing-masing sahaja atau masih di dalam program kata Tuan itu.

Sekarang susunlah persatuan, alangkah dukacita di hati apabila mengingatkan sebahagian besar daripada kesedaran rakyat itu ialah kaki tangan kerajaan. Sebab itu ialah kaki tangan kerajaan. Sebab itu Abhi nampak satu jalan sahaja, iaitu umpama bersama-sama angkatlah jawatan kuasa mempersuarakan suara Melayu ke bahasa Inggeris, iaitu kaum kita yang sedar dan mengerti di dalam hal percaturan politik, tak lain dari pengarang-pengarang akhbar kaum kita.

Jadinya, merekalah patut dibantu oleh golongan rakyat mengadakan rapat persidangan mengemukakan suara-suara umat Melayu umum dihadap kepada pemerintah terus ke hadrat Perdana Menteri Luar Kerajaan British, yang maha adil ini.

Kita bilanglah pengarang Saudara, Warta Malaya, Pengasuh, Bahtera, Lidah Benar, Dewasa, Suara Benar dan lain-lain kita pandanglah Majlis suratkhabar yang tunggal di Persekutuan Negeri Melayu adanya di Kuala Lumpur. Tentulah kerapatan persidangan ini dihalakan tampaknya di Kuala Lumpur ... tentu agaknya pengarang Majlis ini tidak dapat menyangkal kalau golongan rakyat bersetuju.

Dan dipintalah menghadiri kerapatan persidangan ini dihadiri oleh Yang Berhormat Raja Sir Chulan KBE, CMG, MFC, dan JP, serta Yang Berhormat Datuk Abdullah MFC, Datuk Rembau.

Inilah bagi dasar persatuan umum umat-umat Melayu, segeralah adakan kerapatan persidangan itu dengan dibantui dengan mencukupnya oleh golongan rakyat. Tentang ongkos-ongkosnya keluarkanlah wang derma buat belanja persidangan itu, tiap-tiap jajahan adakan seorang pengutip wang seringgit sahaja pun, bagi seorang cukup.

Tentu tidak ada alangan bagi kaum kita yang jadi kaki tangan kerajaan menolong dengan wangnya untuk tanda mencintai bangsa dan tanahairnya.

Kalau umat-umat Melayu bersetuju, segeralah bangkitkan putuskan rundingan sekali. Mengadap pada satu tujuan meminta supaya ((Semenanjung Tanah Melayu bagi orang-orang Melayu)).

Wahai tidakkah golongan rakyat takut akan bahaya Malayan?

Oleh Abhi percaya kesedaran rakyat hampir lima puluh percent, tetapi kebanyakannya ialah kaki tangan kerajaan. Sebab itu amat sukar hendak bergerak. Setengahnya bukan kerana sayang akan jawatan, tetapi ialah takutkan langsung melepas sesuap pagi dan sesuap petang. Jadinya dipinta untuk menolong ongkos dahulu. Orang-orang kaya kaum kita sememangnya tidak ada kalau ada pun leka hendak bergaya dengan motokarnya sahaja.

Keputusannya terpulang pada persetujuan yang diharapkan itu cakap saya kok elok di otak, di hati, kok buruk buang ke kaki.

Salam ikhlas kasih sayang dari saya.