Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 20 Oct 1932, p.7

General Article.

Medan Journalist Melayu.

Dan Mengadap Pada Penerbit-Penerbit Akhbar-Akhbar Kita.

Bahwa kita masih sempit dan kurang kalau dibandingkan dengan bahasa yang tertinggi umpama Inggeris, Arab dan sebagainya. Ketinggian bahasa ada di dalam tangan journalist-journalist ((Pengarang)) Melayu yang berusaha.

Di tanah Eropah, dan Amerika, banyaklah orang-orang yang berhidup dengan sebatang pena dengan berfikiran journalist, rasa saya jangan tak salah ingatan akan Tuan President Hoover, President Amerika sekarang, telah menghasilkan jasa journalist berpendapatan lebih daripada gajinya menjadi President dengan kerja membantu suratkhabar-suratkhabar sahaja.

Di tanah Indonesia negeri tangga kita, saudara kita berbahasa kita, banyak menghantarkan pujangganya ke Eropah menumpang hidup di suratkhabar, umpama Tuan Adi Negoro, Thabarani, Abdul Riaui, dan lain-lain lagi. Semenanjung apa?

Campian journalist Semenanjung belum ada! Medan akhbar-akhbar kita masih sempit! Perkhabaran dan rencana-rencananya tidak menarik hati! Ah! Saudara lama kita di Melaka, Encik Asmara, telah menulis, "suratkhabar yang bagus, yakni pandai pengurusannya mengisi kemahuan pembacanya berasa rugi kalau tak dapat membaca tiap-tiap bilangan akhbar itu ... bahagian politik, perkara kedua ekonomi, diutamakan".

Itu pendapatan masing-masing, tetapi kedua-dua wajib ada, iaitu di atas kecenderungan hati ahli-ahli pembaca.

Tetapi di sisi suratkhabar-suratkhabar kita, siapa akan ingin bersusah payah bongkok menulis termenung berfikir? Jasanya tidak ada, hanya bagi hamba Allah kaum kita yang mendidik darah kebangsaannya; rugilah mereka dengan wang duitnya, sanya kerana tak tahan hatinya melihatkan nasib bangsanya melarat; menjeritlah mereka di medan suratkhabar itu, tetapi apa?

Tak hairan dia jemu menulis bila merasai rugi dan malas membaca bila berjumpa pada perkhabaran yang basi ... akhirnya suratkhabar terbalik kut ... lenyap!!

Apa adakah diharap ruangan khabar kita diisi dengan rencana yang berharga?

Ya! Selagi penerbitnya mengambil kefaedahan ke sebelahnya sahaja, tentulah suratkhabar itu akan membawa rencana basi.

Sekianlah kita sokong tulisan saudara kita Asmara itu.

Sambut salam dari

Abhi.