Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 25 Oct 1932, p.5

Editorial.

Pemberita dan Cadangan Mengurangkan Belanja.

Kita terpaksa mengaku bahwa cadangan-cadangan yang dibentangkan oleh Lembaga yang diangkat kerana menyelidiki belanja dan hasil negeri itu sangat berpatutan dan tidaklah sepatutnya akan berbangkit sungutan dari sebarang cawangan pejabat atau cawangan pegawai-pegawai; sama ada rendah-rendah atau tinggi; jika dibanding kepada hasil negeri yang boleh diharap dengan mengukur zaman meleset yang ada.

Bahkan kita harus berkata jika meleset semakin dalam tidaklah kerajaan akan terhalang menghayun pedang menutuh tunas atau dahan yang tidak dikehendaki lebih kencang dari cadangan-cadangan yang telah dibentangkan oleh Lembaga tersebut hingga perbelanjaan dapat ditimbang oleh hasil negeri.

Cadangan mempersatukan dua tiga jajahan dengan maksud mengurangkan pegawai-pegawai Malayan Civil Service dan pegawai-pegawai Melayu yang bererti mengurangkan belanja dan cadangan mempersatukan dua atau tiga mukim dengan maksud mengurangkan penghulu; yang bererti juga mengurangkan belanja dan lain-lain seumpamanya di atas 32 cawangan pejabat di dalam persekutuan tersangatlah berpatutan atas wajah penghematan. Iaitu hendak mengurangkan belanja; tetapi kita tersangat musykil apakah sebabnya kedapatan kebanyakan cawangan pegawai-pegawai jajahan, terutama sekali di dalam Perak, diuntukkan kepada pegawai-pegawai Malayan Civil Service orang putih?

Kita tidak berfikir menguntukkan jawatan-jawatan itu bagi pegawai-pegawai orang putih ada bersangkut paut dengan penghematan atau pengurangan belanja yang dikehendaki dengan mengangkat Lembaga atau Jemaah mengurangkan belanja itu.

Kita tidak menyangkal jika jawatan Resident-Resident itu dikhaskan bagi pegawai-pegawai tinggi Inggeris sahaja, tetapi kita tidak suka jika pegawai-pegawai Malayan Civil Service itu diperbezakan di antara Inggeris dan Melayunya.

Kita suka jika jawatan-jawatan itu diuntukkan atau disukatkan untuk pegawai-pegawai Malayan Civil Service sahaja dengan tidak disyaratkan dirinya mesti orang Inggeris.

Kemudian daripada itu, tidak ada halangannya meletakkan pegawai-pegawai Inggeris dengan kekal. Orang-orang Melayu tidakkan berkecil hati jika tidak merasa menjadi pegawai-pegawai Jajahan Kinta sekalipun misalnya. Tetapi jika diuntukkan begitu, tak syak lagi seolah-olah bersepah supaya orang-orang Melayu berkecil hati meski jawatan-jawatan itu pernah kelak dipangku oleh OG Malayan Civil Service Melayu, tetapi tidaklah mereka akan lupa rupanya ada perbezaan di dalam golongan pegawai-pegawai kulit putih dan pegawai-pegawai kulit hitam biar sama-sama Malayan Civil Service sekalipun.

Pada fikiran kita, amat mustahak jangan diuntukkan begitu melainkan jawatan Resident. Kerajaan memang bebas dan berhak meletakkan pegawai-pegawai yang lebih layak bagi mana-mana jawatan yang difikirkan patut dan tidaklah orang-orang Melayu akan merasa perbezaan itu. Biar jawatan itu kekal dipegang oleh pegawai-pegawai Inggeris hingga jawatan-jawatan yang diuntukkan bagi pegawai-pegawai Melayu yang bukan Malayan Civil Service itu tidak terhalang diberikan kepada pegawai-pegawai orang putih.

Malay College Kuala Kangsar.

Menurut pemberita itu bahwa Director Pelajaran telah mengesyorkan supaya ditutup sahaja sekolah Malay College Kuala Kangsar oleh kerana hendak menyelamatkan wang yang dibelanjakan bagi sekolah itu sebanyak $80,000 setahun. Atas syor itu, Lembaga tersebut telah bersetuju; tetapi adakah Malay College Kuala Kangsar itu akan ditutup adalah suatu perkara yang akan di jawab pada masa yang akan datang.