Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 3 Nov 1932, p.1

Leader Article.

Nasib Suratkhabar-suratkhabar Melayu.

Minta berfikir jika siapa-siapa yang kurang suka.

Di sedikit masa yang telah lalu, rasa-rasanya telah acap juga diperbincangkan orang-orang di dalam suratkhabar-suratkhabar akan nasibnya suratkhabar-suratkhabar bangsa Melayu amat banyak lagi bilangannya yang kurang suka kepada membacanya ((betapa pula hendak membelinya?)).

Akan tetapi sesungguh begitu pun banyaknya seruan-seruan atau rayuan-rayuan; minta supaya Melayu berjinak-jinak dengan suratkhabar-suratkhabar Melayu atau banyak kata-kata yang lainnya lagi umpama harapan yang tinggi lebih dari orang minta sedekah lagi; mengapa yang kita-kita banyak juga yang buat-buat tak dengar? Hai! Kasihan! Kasihan!

Kita sesungguhnya tidak lain yang dicita-cita hari ini maka menulis balik seperti yang acap kali terjumpa diruangan suratkhabar-suratkhabar sedikit hari dahulu itu; ialah kerana telah bersedih hati sebab mendengar dengan telinga sendiri dan memandang dengan mata kepala sendiri iaitu dari beberapa orang rakan yang telah berkata aturannya memang sama, apa suratkhabar Melayu?

Begitulah kata setengahnya alangkan suratkhabar-suratkhabar budak-budak kanak-kanak bangsa Inggeris pun tak teratasi olehnya. Macam manalah hendak maju? Kata pula yang lain.

Benarlah itu kita sudah membeli dan membaca beberapa kali akan suratkhabar-suratkhabar Melayu. Pada hal satu pun tak ada yang boleh menarik hati, yang mendatangkan gemar bagi kita membacanya. Beginilah kata mereka, bukankah sedih hati kita?

Sekarang baiklah! Oleh di masa itu tak dapat saya menjawab yang panjang, bahkan hari ini juga dengan suratkhabar Majlis ini ((barangkali mereka belum lupa lagi)), saya pinta juga supaya Tuan-Tuan itu berfikir menungkan sekejap dan juga kepada siapa-siapa yang lainnya menaruh ingatan sebagai ini.

Iaitu; siapa-siapakah orang asing kita harap akan menaburkan perkataan yang lemak manis ke dalam suratkhabar-suratkhabar Melayu kita, supaya barulah kita gemar membaca dan terus menerus menarik hati sekali?

Dan siapakah daripada bangsa-bangsa asing itu akan berlumba membeli suratkhabar-suratkhabar bangsa kita sebagai suratkhabar-suratkhabar orang-orang putih?

Agaknya kalau sudi Tuan-Tuan itu mencemarkan fikirannya yang mulia itu barang sebentar tentang mengenangkan nasib suratkhabar-suratkhabar bangsanya. Nescaya hapuslah cita-cita yang suka berkata-kata sebagai yang telah lalu itu, Ah! Ah! Nasib suratkhabar-suratkhabar yang kusayangi!

Sekarang berani pula saya berkata, tampak-tampak pada kasarnya teranglah mereka itu berputus asa tentangan suratkhabar-suratkhabar Melayu itu tak akan boleh bersemangat. Gamaknya, pada fikiran mereka, oi jangan! Jangan! Jangan! Sementang kita pandai bercakap, Sir Francis [illegible] meminjam hak kepunyaan orang bahasa Inggeris yang sedap manis serta digemari di serata-ratanya itu. Maka akan kita benamkan sahaja lagi bahasa kita yang amat mulia ini? Hai! Hai! Hai! Hubaya-hubaya kiranya hilang bahasa harus menghilangkan bangsa pula.

Fikirlah! Kenangkanlah! Cari jalannya supaya memajukan suratkhabar-suratkhabar bangsa sendiri; betapa agaknya yang boleh menarik hati dan membawa kepada gemar, kalau intan sekali pun bahasa orang itu, batu bahasa kita, tetapi mulialah kita dengan batu itu lagi; kerana hak kepunyaan kita. Ketahui kiranya hak orang tak boleh jadi hak sendiri, walau macam mana diaku-aku sekali pun.

Bagi diri siapa yang suka berkata sebagai tersebut di atas itu, semoleknya diam-diam sahajalah sebab takut barangkali boleh jadi mengikut seperti seumpama pula beberapa yang lainnya. Maklumlah, benda yang baru!

Tentu mudah keliru, bukan?

Kalau tak kuasa mencarikan jalan-jalannya supaya suratkhabar-suratkhabar Melayu menggemarkan hati, dan menarik hati ((hendak ditarik keluar langsung takkan boleh!)). Maka nanti-nanti sahajalah!

Inshallah, akan sampai juga manakala tiba masanya.

Was-salam.

Rakan Pemuda. Perak.

31.10.32.