Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 14 Nov 1932, p.5

Editorial.

Mengurangkan Angka Pegawai-pegawai Kerajaan Untuk Mengurangkan Belanja.

Luas Jajahan dan Mukim dibesarkan.

Apabila diulang pemberita ((reporter)) Lembaga Pengurangan Kakitangan kerajaan bagi Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ((FMS)), nyatalah bahwa Lembaga yang telah diangkat oleh Tuan Yang Terutama High Commissioner itu telah meneruskan penyelidikan yang halus dan tidak segan menyegan lagi melainkan perbelanjaan kerajaan wajib dikurangkan 33 peratus dari anggaran yang telah lalu. Bahkan jika mustahak akan dikurangkan lagi hingga beban yang ditanggung oleh hasil mahsul negeri tidak berkeberatan.

Oleh kerana hendak mengurangkan pegawai-pegawai Malayan Civil Service telah disyorkan bahwa dua tiga buah jajahan yang dahulunya ditadbirkan oleh pegawai-pegawai Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu disatukan sahaja, oleh mana negeri Selangor ini yang dahulunya terbahagi kepada enam jajahan akan dijadikan tiga buah sahaja, iaitu ((1)) Kuala Lumpur dan Ulu Langat, ((2)) Jajahan Pantai Kelang, Kuala Langat dan Kuala Selangor, dan ((3)) Ulu Selangor.

Tetapi tidak pula jajahan-jajahan lama itu akan sunyi dari tadbir pegawai-pegawai Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu atau sekurang-kurangnya kelak pegawai-pegawai Melayu. Maka tentu sahaja bilangan pegawainya tidak akan berkurangan meski belanja pegawai tinggi satu-satu jajahan lama itu akan kurang sedikit. Tetapi boleh pula dikhuatirkan bahwa Pejabat Pegawai-pegawai Jajahan yang akan mentadbirkan dua atau tiga jajahan itu kelak terpaksa dibesarkan; dan apabila besar tentu sahaja berkehendakan pegawai, apa lagi kerani-kerani dan seumpamanya kerana pekerjaan pejabatnya boleh dikata akan menjadi seakan-akan Pejabat British Resident.

Barangkali akan tiba pula masanya pegawai-pegawai jajahan yang besar-besar itu berkehendakan Office Assistant dan Secretary Pegawai-pegawai Jajahan hingga memadai untuk pengedaran pejabatnya yang semuanya mesti mustahak kelak. Tetapi tidakkah yang demikian itu akan menambah belanja? Barangkali bukan sahaja akan menambah belanja, tetapi jua akan mengekalkan dan membanyakkan pegawai-pegawai tinggi yang diselindungkan di bawah nama "Kerani Super Scale" dan "Presentiment" yang sepatutnya dihapuskan pada masa yang akan datang itu.

Sebaliknya, patut pula difikirkan adakah tidak mengecilkan jajahan-jajahan itu lebih bererti untuk pengecil belanja?

Misalnya, jajahan yang dahulunya diedarkan oleh pegawai-pegawai Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dengan dibantu oleh dua orang pegawai-pegawai Melayu, tentulah tidak ada halangannya jajahan itu dibahagi dua sahaja; yang satu-satunya diserahkan kepada pegawai-pegawai Melayu yang mempunyai kuasa sebagai pegawai-pegawai Malayan Civil Service.

Pada fikiran kita, tentu sahaja perbelanjaan dapat dikecilkan atas satu wajah dan atas wajah yang lain. Bererti bahwa kepercayaan kerajaan di atas pegawai-pegawai Melayu akan bertambah-tambah, sedang pula pegawai-pegawai Melayu itu dapat bekerja dan bertenaga sendiri sambil berlatih memerintah negerinya beransur-ansur dari jajahan yang kecil-kecil.

Dan pada masa itu, mudahlah bagi kerajaan mengukur kelayakan dan kebajikan satu-satu pegawai-pegawai Melayu itu dengan tidak menerusi pegawai-pegawai jajahan yang di atasnya yang mana ghalibnya buruk, baik satu-satu jajahan itu hanya terhenti dan terpulang kepada pegawai-pegawai jajahan yang di atas itu, artinya kebajikan pegawai-pegawai kecil itu akan terlindung.

Zaman ini zaman perubahan baru dan kerajaan Inggeris selamanya wajib melatih anak Melayu akan selok belok ilmu memerintah. Tetapi jika jajahan-jajahan itu dibesarkan sebagaimana syor Lembaga Pengurangan Belanja itu, maka tak syak lagi bahwa peluang pegawai-pegawai Melayu itu berlatih pada zahirnya akan berkurangan.

Kita lebih suka melihatkan pegawai-pegawai Melayu itu menunjukkan taat dan jasanya, tetapi dikhuatirkan jika selamanya di bawah orang, tentu sahaja ketaatan dan jasa mereka selalu terlindung, ditakuti juga kalau-kalau mereka tidak begitu gembira bertenaga, dan akhirnya boleh membawa kepada kecacatan nama Melayu dan akan menjadi senjata pula bagi bangsa asing yang memang mendendam jawatan-jawatan itu.