Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 1 Dec 1932, p.6

General Article.

Majlis Perbahasan di Sultan Sulaiman Club.

Perbahasan ((Debate)) atas Adakah Perempuan Melayu Patut diBebaskan, telah dilangsungkan di Sultan Sulaiman Club Kampung Baru pada malam semalam, mulai dari pukul 7.20, sampai pukul 9.15, dihadiri oleh kira-kira 50 orang member-membernya termasuk Dr. Che Lah, Dr. Abdul Ghani, Encik Muhammad Amin bin Haji Mahmud, Yusuf, Mahmud Amir, Muhammad Yusuf bin Ahmad, Ahmad bin Muhammad, Fateh Akhir, Tuan Haji Muhammad Sidin, Tuan Zainal Abidin, Encik Amrah Haji Abdul Rashid, dan lain-lain. Engku Raja Uda menjadi Pengerusi.

Majlis yang demikian itu adalah majlis yang pertama sekali di dalam tarikh rumah baru Persekutuan Sultan Sulaiman. Kesudahan Majlis Perbahasan itu sangat-sangat menarik hati.

Sebagaimana diketahui bahwa pihak Pencadang ialah Encik Abdul Wahab, dan Penyokongnya Encik Hashim, dan lawannya iaitu Pembahas ialah Encik Mahmud Simin dan Penyokongnya Encik Lope Ahmad.

Buah butir yang telah dicadang dan dibahas itu tak dapat dimuatkan dengan lebar, tetapi memadailah kita wartakan bahwa pihak pendengar kedapatan sangat-sangat bergirangan terutama sekali apabila mendengar pembahasan Encik Muhammad Simin dan juga penyokongnya Che Lope Ahmad. Boleh dikata tak putus-putus pendengar ketawa.

Manakala keterangan Pencadang dan Penyokongnya diterima dengan siapa haruslah kita berkata bahwa keterangan pihak Pencadang telah menjadi halwa otak dan keterangan pihak Pembahas telah menjadi halwa telinga.

Sungguh pun pada masa dihitung oleh Pengerusi kedapatan lebih banyak yang menyebelah kepada pihak Pembahas, tetapi pada hakikatnya, kedua belah pihak telah bersatu pada mewadahi kebebasan yang berhad; sebagaimana boleh difaham bahwa Encik Pencadang pada permulaan huraiannnya telah menerangkan takrif "bebas".

Perkataan "Bebas" itu katanya, mengandungi makna yang luas sekali, termasuklah umpama melepaskan kebebasan kambing ke dalam kawasan tanaman. Dan adapun takrif "Bebas" yang akan dicadangkan itu ialah kebebasan kaum perempuan Melayu pada maruah kehidupan yang mesti berasaskan dua perkara:

1. Ugama, dan

2. Pengetahuan.

Yakni, bukanlah sebagaimana kebebasan kambing, hingga ke dalam kawasan tanam-tanaman.

Lebih jauh Encik-Encik Pencadang Abdul Wahab telah menghuraikan kebebasan perempuan di bawah hukum ugama Islam yang dinamakan Hukum Syariah dan kewajipan tiap-tiap melekap menuntut ilmu yang bukannya di atas kaum laki-laki sahaja, tetapi sama wajib di atas perempuan, sedang pergunaan pengetahuan itu dituntut untuk keselamatan rumah tangganya, suaminya, anaknya, dirinya dan negerinya.

Apabila berertilah bahwa perempuan-perempuan itu tidak bebas bahaya berpingit dan berkurung itu amat banyak, kerana terkurung pula kesihatannya, pencariannya dan fikirannya; begitulah ringkasan huraian Encik Pencadang.

Encik Pembahas Muhammad Sidin pula menghuraikan dengan panjang lebar, tetapi seterusnya meraih huraian Pencadang jua, katanya ia tidak dapat menentang tepat kepada huraian lawannya, oleh kerana mewadahi perbahasaan tidak begitu terang bertentang atau berlawan.

Encik Pembahas menerangkan bahwa bukannya maksud menentang kebebasan perempuan itu bermakna yang perempuan-perempuan itu patut dipingit seperti kuda, tetapi tidaklah patut diberi kepada mereka itu kebebasan yang tiada berhad.

Kebebasan yang tiada berhad itu terlalu banyak bencananya.

Lebih jauh Encik Pembahas menerangkan bahwa segala makhluk yang dijadikan Allah di muka bumi ini masing-masing ada dengan pekerjaan dan tanggungannya; matahari dan bulan juga memang mempunyai tabiat sendiri berlain-lainan. Tentu sahaja kaum perempuan mempunyai kewajipan dan tanggungan sendiri, yang mesti berlainan dari kaum laki-laki. Kejadian perempuan memang lemah, bukan sahaja otak dan anggotanya, tetapi hingga suaranya pun lemah juga.

Kewajipan perempuan memang telah berat seperti hamil, menyusukan anak, mendidik anaknya, menjaga rumah tangga, kerana di dalam sebuah-sebuah rumah itu perempuanlah gabenornya, hakimnya, polisnya, hingga Sanitary Boardnya perempuan juga ((dari mula huraian Encik Simin memang pendengar telah ketawa, apalagi tentang huraian ini)).

Encik Pembahas menyambung kata bahwa tentulah zalim jika perempuan-perempuan dibebaskan yang akhirnya akan berkewajipan membuat pekerjaan yang berat-berat yang memang kewajipan kaum laki-laki.

Sebenarnya, katanya perempuan-perempuan itu boleh membuat pekerjaan yang berat-berat sambil mengetengahkan tawarikh peperangan Arab dengan Rom, di dalam mana perempuan-perempuan Arab telah menghunus pedang bersama-sama dengan laki-laki, beberapa banyak jiwa tentera Rom melayang di tangan perempuan Arab, dan berapa banyak pula dapat ditawan.

Tetapi bukanlah yang demikian itu sebuah dalil yang kita mesti membenarkan perempuan bekerja yang seberat-berat, begitulah lebih kurangnya huraian pembahas.

Penyokong Pencadang Encik Hashim berdiri pula menghuraikan pendapatnya menyokong pihaknya serta membantah huraian pembahas sesudah mana disambut pula oleh Encik Lope Ahmad bagi pihak pembahas.

Di antara Tuan-Tuan yang masuk memberi keterangan ialah Encik Ramli bin Haji Muhammad Tahir dan Tuan Haji Muhammad Sidin. Kemudian dibalas oleh Encik Abdul Wahab dengan panjang lebar lagi dan penghabisan sekali disudahi oleh Encik Muhammad Simin.

Majlis ditutup oleh Tuan Pengerusi didapati lebih banyak menyebelahi pihak Pembahas.