Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 19 Dec 1932, p.7

General Article.

Nasib Melayu Lagi. Mengapa Orang-orang Kita Yang Berpengetahuan Banyak Lagi Yang Tidak Bersetuju?

Oleh Amsal Talu.

Saya yang sedang juga dengan kebodohan ini amat bimbang dari semasa ke semasa, manakala terikkan hal berganda-ganda lagi banyaknya orang-orang kita yang berpengetahuan itu tidak mahu bersetuju satu sama lainnya. Tuan-Tuan Pembaca tidak hairan barangkali tentang itu sebab sudah tentu bilangan yang banyak juga begitu ((kecuali sedikit jua bilangan yang mahu bersetuju)).

Apa tanda yang menunjukkan banyak orang-orang yang tidak bersetuju?

Nah! Tak usah payah ke mana kita pergi, hanya perati sajalah di dalam-dalam suratkhabar kita Melayu. Kebanyakan yang suka bertengkar ((berlatihlah perkara yang patut dipertengkarkan kerana menuntut kebenaran daripada kesalahan)) ini, cubalah fikir kadang-kadang perkara yang sekecil huma dijadikan segadang gunung, kerana mencari jalan supaya menang tanda tak mahu bersetuju, hairan sekali mengapa begitu?

Gamaknya, pembaca-pembaca yang berhati suka kepada bertengkar itu tentu mentertawakan saya bodoh bingung.

Saya tak marah kalau ditertawakan begitu sekalipun, kerana saya tahu diri saya bodoh. Tetapi yang menyebabkan saya hairan itu dan sampainya saya menulis hari ini di dalam Majlis itu ialah kerana kebodohan saya itu berkalut-kalut sangat.

Pendeknya hendak bertanyalah saya hari ini pada Tuan-Tuan Pembaca yang kasihkan bangsanya. Iaitu tiap-tiap diri yang menuntut pengetahuan itu bila telah pandai ((bernama orang berpengetahuan)) sengaja ke pihak tidak mahu bersetuju dengan orang itukah maksudnya? Atau kepada hendak berlawan bertengkar-tengkar itukah? Atau? Atau?

Saya terfikir juga tidak begitu kehendaknya, tetapi bila memerhatikan ahli-ahli pengetahuan banyak yang menarik dirinya ke pihak begitu; maka itulah saya banyak hairan, sekarang artinya pada diri saya entah ia entah pun bukan hanyalah "nasib Melayu lagi", nasib yang dipernasib-nasib juga. Barangkali kalau benar sangka-sangka saya ini, patutlah orang-orang yang berpengetahuan itu mengubah langkahnya kepada bersetuju bersatu ((iaitu ahli pengetahuan yang suka bertengkar karut)) dan kalau salah sangka-sangka saya itu segunung harap saya supaya Tuan-Tuan sudi menerangkan yang sebenarnya harap harap harap!

Kita ketahui kiranya masa itu lebih-lebih banyak bilangan yang sepatut disusun dari bilangan yang patut dipertengkarkan; kalau kita ralit ((leka)) dengan bertengkar-tengkar jua, akhirnya kain pinggang pun diruntun orang ((bangsa asing)). Perhatilah haluan yang dituju oleh bahtera yang menggelarkan diri M.A.L.A.Y.A.N itu; kita bertengkar bertengkar, bertengkar juga sama-sama kita bangsa asing mengutip satu, satu, satu, hak kepunyaan bangsa kita lama-lama tinggal angin pada kita.

Sungguh juga barangkali boleh kita berfikir: bukan mudah sahaja bangsa Malayan itu hendak membolot sama sekali. Kerana kita Melayu di dalam negeri Melayu, beRaja Melayu, dinaungi oleh bendera Inggeris ((bukan bendera Cina)), ya, itu pun betul juga!

Kerana tak kan mudah sahaja kerajaan yang maha adil itu membiarkan kita Melayu bertelanjang bulat, ditelanjangi oleh Malayan manakala sempurna kehendaknya itu. Tetapi jika takdirnya kita berdiam-diam sahaja apa pula sebaliknya? Tentulah menandakan mahu sahaja kita apa kata orang?

Sekarang saya berkata tak payah ke mana kita pergi jika hendak tahu bagaimana dan tentang mana bahtera Malayan itu, lihatlah Majlis bilangan 102 diruangan Tuan Pengarangnya, begitu juga beberapa banyak bilangan Majlis yang lepas; tak kurang pula di suratkhabar-suratkhabar bangsa kita yang lain-lain itu yang membawa berita dari Malayan ((tak payah pandai membeli suratkhabar Inggeris pun kerana di suratkhabar-suratkhabar kita sudah ada)), tidakkah telinga kita? sekenyanglah makan kita?

Lenakah tidur kita? Buta perutkah kita? Allah! Allah! Selamanya kita Melayu pertama sekali bertelinga nipis bersopan bermalu, tetapinya sekarang banyak balik, oh! Agaknya itu pun asing padang kata orang, kami dagang, sama-samanya garang benar. Tetapi bila bertentang dengan orang lain, kecut kura!

Sebab kita kata begitu, lihatlah bertengkar sama-sama sendiri. Kita rajinkan sangat garang benar, wal-hal tuntutan Malayan kepada kerajaan berkehendakan hak kita yang patut sangat kita berserangkang itu didiamkan sahaja, terjerit-jerit Tuan-Tuan Pengarang kita bangkit seorang-orangnya ke tengah padang berjuang.

Wal-hal orang-orang kita berpengetahuan bilangan, bukan tak ada ((kecuali satu dua yang penyokong Tuan Pengarang di dalam Majlis itu tampaknya seperti Tuan Abhi Pahang dan Tuan Asmara Melaka dan satu dua lagi)) apa salahkah kita penulis perkara-perkara yang hak bagi kita?

Kalau salah, mengapa pula Malayan itu boleh menulis beberapa orang dan beberapa macam kulitnya.

((Akhirnya, Amsal berkata dengan sepenuh-penuh permohonan jua kiranya ke sisi Tuan-Tuan Penulis bangsa Melayuku! Berhentilah kita dari bertengkar sama-sama kita itu dahulu, dan marilah kita bersebulat suara menentang hak-hak kita yang diacan-acan dan di Warta-Warta Malaya oleh Malayan itu.

Sebab suara yang ramai itu lebih deras dan lantang bunyinya tiap-tiap benda yang berkawal berjaga itu ((hak-hak kita)) tentu silu dan segan juga sedikit orang asing walau bermuka tak malu macam mana sekalipun ((entahku bukan berasal manusia, tak tahulah)).

Maafkan Amsal dahulu kerana karangan sudah panjang sangat terima kasih banyak-banyak dan mesti suara nyaring dari sini kaumku Melayu yang diharapi adanya. Was-salam.