Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 19 Jan 1933, p.8

Surat Kiriman.

Anak Melayu Jua Yang Rapuh dari Jawatan.

Masa ini barangkali tidak sunyi dari hati anak-anak Melayu memegangi titah siaran kerajaan yang berbunyi, jika memilih kaki tangan kerajaan, hendaklah didahulukan anak-anak Melayu, dan membuangnya dikemudiankan anak-anak Melayu.

Begitu kasih sayang dan insafnya pemerintah tinggi terhadap kepada umat-umat Melayu yang di dalam kemelaratan ini.

Buat permulaan kita menyebut tahun 1933 inilah suara Abhi yang sulung bagi tahun baru. Adakah titah itu dijalankan atau tinggal di muka kertas yang berwarna putih itu sahaja? Berat benar di hati saya mengenangkan hal ini dari beberapa sebab, maka sebelum saya berkata lebih lanjut harapkan maaf dari sidang pembaca kerana Abhi telah memang tidak ketinggalan daripada salasilah dan khilaf.

Anak-anak Melayu bolehlah dikatakan rapuh dari jawatannya. Bila buka tahun 1933 kelak, tentulah akan mengisi di dalam pension list ini banyak tersebut nama-nama Melayu tidaklah seperti tahun-tahun yang sudah lagi. Perkara pemerintahan dengan pension itu tidaklah begitu mendukacitakan.

Tetapi alangkah sayu dan sedih di hati kita setelah memperlihatkan beberapa orang darah Melayu yang termesti menggulung tikar bantalnya dengan umur yang masih muda dan termesti berhidup diri dengan sengsara, sepanjang mana yang kita dapat berita-beritanya dari beberapa orang sahabat kita sebagaimana yang terjadi di Kuala Lipis, di Pejabat Survey, dan di tempat-tempat lain jauh lebih dahsyat lagi. Seorang Orang Melayu mendapat notis lari malam balik kewatannya anak isterinya tinggal dengan diikhtiarkan oleh sahabat-sahabat sahaja menghantarkan pulang ke kampung.

Maka kejadian ini ialah daripada tidak sanggup mendengar rentap kaki dan .... Yang berkulit manggis. Lebih terang jika ditilik nasib seorang budak peon di Pejabat Raya ... pendeknya titah siaran kerajaan sebagaimana yang tertera di atas, hanya untuk menyedapkan hati anak-anak Melayu sahaja. Adalah sebahagian kuasa membuang kaki tangan kerajaan itu ialah di bawah lidah anak-anak India jua. Kecuali agaknya di Selangor.

Dengan perusahaan yang dukacita di atas nama bangsa dan tanahair Melayu di sini Abhi tuliskan sedikit dengan fikiran yang amat cetek pada rasanya sangatlah elok kuasa membuang anak-anak Melayu ataupun memberi pension anak-anak Melayu itu diletakkan di Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan ((untuk Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu)) dan di bawah naungan State Council bagi tiap-tiap negeri; supaya mana dapat ditimbangkan dan disiasat tiap-tiap anak Melayu yang termesti meletakkan jawatannya itu jangan teraniaya dengan cucu pesona anak-anak India lagi.

Buat hal ini, di sini Abhi tutup mulut memohonkan ampun dan maaf banyak-banyak kepada yang berkuasa.

Salam setia dari

Abhi Pahang,

8 January 1933.