Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 6 Feb 1933, p.5

Editorial.

Cina Mengubah Langkah?

Di dalam masa yang akhir ini hingga kepada dewasa lawatan Brigadier General Sir Samuel Wilson ke Tanah Melayu; suara-suara bangsa Melayang itu terutamanya Cina telah kedengaran lebih dahsyat dari suara halilintar membelah gunung menuntut itu. Dan ini berhubung dengan persamaan hak dengan bangsa anak negeri sebagaimana tidak tersembunyi lagi kepada pengetahuan tiap-tiap pemerhatian.

Tuntutan mereka itu telah menyakitkan hati bangsa anak negeri ditangkap penjuru boleh dikata selama bangsa-bangsa Melayang itu terjerit-jerit; selama itulah pula darah kewatanan bangsa anak negeri dapat dikenal adanya di dalam tiap-tiap tubuh mereka-mereka yang berbangsakan bangsa Melayu bersamaan sahaja di Selat dan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu, istimewa pula di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Tidak Bersekutu, yang memang belum sampai dihimpit keras oleh manusia yang bertabiat kayu ara itu.

Bukan sedikit pekerti mereka itu yang menyakitkan hati kita yang boleh dikutip. Kita tak akan lupa kepada niat mereka itu hendak menjadikan bangsa kita sebagainya bangsa India Merah di Amerika dan tidak pula kita akan lupa akan peringatan bangsa Cina itu yang mengatakan Semenanjung Tanah Melayu ini akan menjadi wilayah Cina yang kesembilan belas, tetapi setelah mereka sedar bahwa jerit pekik mereka itu hanya akan menjadi udara yang kosong, mereka mulai mengubah langkah.

Di dalam Malayan Chinese Review Pulau Pinang, iaitu majalah bangsa Cina yang berpengaruh sekali, telah kedapatan gambar-gambar otak atau Kartun yang mengandungi nista pertentangan bangsa mereka dengan bangsa anak negeri.

Seekor bapa ayam yang besar yang dimisalkannya Cina sedang berlaga dengan seekor ayam kecil yang dimisalkannya inilah bangsa Melayu. Maka pada masa itulah pula bangsa-bangsa pemerintah bertepuk tangan menonton di dalam gambar otak itu.

Lebih jauh Malayan Chinese Review itu telah membawa gambar kartun yang baru yang bermakna atas mana saudara kita Bumiputera Pulau Pinang telah menulis sebagaimana kita kutip di dalam keluaran hari ini untuk pengetahuan pembaca-pembaca kita.

Kita tak tahu apakah pula gambar-gambar kartun mereka yang akan datang. Tetapi kita berkeyakinan kemudian daripada dua macam gambar kartun yang tersebut tidakkan terhalang keluaran gambar-gambar kartun yang lain yang telah dalam maknanya mengenai kedudukan bangsa kita di dalam Semenanjung ini yang sepah dimaksudkan untuk merasuk hati kita.

Kita tidak begitu runsing mendengarkan tuntutan-tuntutan mereka jika tuntutan itu bertentang dan berlawan dengan hak kita, tetapi kita sangat-sangat khuatir kalau-kalau bangsa kuning yang berbahadi ((berbadi)) itu dapat memperdaya hati anak-anak bangsa kita dengan jalan yang terlebih halus dan sulit.

Kita wajib memperingatkan bahwa bangsa kuning itu tak akan malu dan tak akan segan mengasut anak-anak bangsa kita dengan jalan menyamai benih yang beracun hingga berpaling kita daripada resam taat kepada raja dan kerajaan yang kita pusakai dari datuk nenek kita supaya kerajaan kelak tidak begitu percaya kepada bangsa kita lagi sebagaimana hari ini kerana sifat dan tabiat orang-orang yang dengki itu memang begitulah adanya selama-lamanya di muka bumi ini.

Ghalib orang-orang yang mendengki yang akan tenggelam itu akan bercita-cita kiranya orang-orang yang dengki itu dapat bersama-sama tenggelam dengan mereka itu. Tidaklah mustahil di sini jika bangsa Melayang itu tidak akan mendapat hak kelak, mereka tidak akan suka pula jika bangsa anak negeri pun tidak mendapat hak, biar sama-sama melepas.

Kita sangat-sangat khuatir juga jika bangsa kuning itu akan mencuba pula menarik hati kita cenderung ke sebelah pihak mereka itu dengan pujuk rayu yang dibeli dengan harta. Tidakkan mustahil yang mereka kelak sanggup bermuka dua jika tak lebih kerana orang-orang yang menapik itu memang mempunyai muka yang banyak sedang hatinya memang tetap di luar rencung di dalam.

Barangkali juga telah sampai masanya mereka akan berasa wajib berpura-pura kenal dan junjung kepada Raja-Raja kita terlebih dahulu dari lainnya supaya mereka diakui dan tidak dicemburui lagi.

Tuan Yang Terutama High Commissioner Negeri-Negeri Melayu telah bermadah di dalam Majlis Federal Council baru-baru ini katanya bahwa undang-undang pendaftaran bangsa-bangsa dagang diluluskan di Selat itu ialah oleh kerana kehendak Raja-Raja Melayu.

Tentu sahaja pihak yang berani memisalkan Raja-Raja Melayu itu buah catur kerajaan Inggeris akan terkejut mendengarkan madah Tuan Yang Terutama itu. Mereka tentu terpaksa yakin bahwa Raja-Raja Melayu itu bukannya Shah yang di atas papan catur itu tetapi sebenar-benarnya bertakhta dan berkerajaan. Manakala tuntutan yang telah hampa itu. Selamanya dihadapkan kepada kerajaan Inggeris sahaja. Adakah sekarang akan mustahil mereka akan menghadap Raja-Raja Melayu pula? Bidalan Melayu: menelan air liur.

Sekali pun mereka kelak berani membeli hati orang-orang Melayu dengan wang ringgit dan sekalipun mereka akan berpura-pura junjung kepada Raja-Raja kita, tetapi siapakah akan rajanya?

Jika benar apa yang kita teka tak lama lagi kita akan melihat pekerti kaum kuning itu iaitu akan menjadi lemah lembut terhadap kepada bangsa kita, tentu sahaja mereka akan mencuba seboleh-bolehnya menjauhkan perkataan-perkataan yang akan menyakitkan hati kita hingga barangkali harus-harus mereka akan mengambil bahagian mengenal hari-hari yang dimuliakan oleh bangsa kita seperti ulang tahun hari keputeraan Raja-Raja kita yang selamanya amat sedikit atau tak seorang jua pun daripada mereka itu pernah ambil hirau, lebih jauh kita boleh meneka yang mereka itu akan mengampu Raja-Raja dan Orang-orang Besar kita.

Tidakkan hairan kelak kedapatan mereka akan mengangkat Raja-Raja kita sebagai penaung persekutuan-persekutuan mereka itu yang besar-besar. Tetapi siapatah di antara umat Melayu yang akan tak tahu apa yang ditembak oleh mereka itu dengan peluru petunangnya?

Tidak lain, iaitulah persamaan hak!